Rakyat Perlu
Kaji Sejarah Untuk Bina Tamadun Baharu Yang Cemerlang….
KANGAR, 19
MAC (Bernama) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu
rakyat mengkaji sejarah lampau yang pelbagai untuk membina tamadun baharu yang
lebih cemerlang.
Menurut
baginda, rakyat perlu belajar untuk mencapai kehidupan lebih baik, teratur dan
lebih berjaya melalui penghayatan sejarah dan penambahbaikan dalam usaha
menjamin masa depan lebih baik dan melahirkan masyarakat bertamadun tinggi.
Bertitah
merasmikan Program Keunggulan Naskah Lama dan Artifak Menerusi Kegemilang
Melayu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama PNM Perlis
di sini selasa, baginda berharap program itu menggamit rakyat menyingkap
sejarah lampau yang telah membentuk zaman yang sedang dilalui.
Tuanku Syed
Faizuddin bertitah dengan penemuan naskah dan artifak itu membuktikan tamadun
Melayu zaman silam begitu hebat malah banyak manuskrip Melayu yang telah lama
dibawa keluar dari negara ini dan menjadi bahan kajian negara lain.
Menurut
baginda, sebagai contoh sebuah manuskrip lama tulisan Jawi yang dihasilkan penduduk
Perlis lebih 200 tahun lalu menjadi antara ratusan manuskrip lama seluruh dunia
yand disimpan di British Library, London, selain dokumen rasmi lain.
“Menurut
catatan manuskrip bertajuk ‘Hkayat Nabi Yusuf’ setebal 60 muka surat ditulis
oleh Muhammad Lebai pada 1802, dan saya berkesempatan melihat manuskrip
tersebut semasa mengetuai lawatan kerja ke London tahun lalu,” titah baginda.
Berdasarkan
maklumat dalam manuskrip Hikayat Nabi Yusuf itu, selain tertera nama penulis
Muhammad Lebai, ia menyatakan manuskrip itu juga hasil ‘kerja tangan’ Cik Mat
Tok Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda Anak Raja Inderawangsa di Perlis.
“Ada yang
berpendapat bahawa Muhammad Lebai, Cik Mat Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda
adalah orang yang sama,”titah baginda.
Sebelum itu,
Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar dalam ucapan berkata pihaknya telah
menterjemah dan membukukan kandungan manuskrip lama melalui penerbitan catalog manuskrip
Melayu, jurnal dan risalah untuk kemudahan orang ramai.
Menurutnya,
pada masa ini PNM menyimpan lebih 4,000 koleksi naskah manuskrip Melayu berusia lebih
150 tahun yang mencakupi pelbagai genre termasuk kesusasteraan, sejarah, kitab
agama, perubatan, undang-undang, ketatanegaraan dan petua serta azimat.
Berangkat
sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen
Akashah Khalil disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Yazid Mat
yang mewakili Menteri Besar.
Program yang
mempamerkan nashkah dan artifak di bangunan PNM perlis itu berlangsung selama
lima hari dan terbuka kepada orang ramai.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment