Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

30 September 2012

SHEIKH WALID: NASIHAT KEPADA PENCINTA ILMU ISLAM DI MALAYSIA


Ingatlah bahawa Iblis itu pintar. Perangkapnya telah dirancang sejak nenek moyang kita, Nabi Adam a.s. Berhati-hatilah dengan strateginya yang teramat halus.

Semoga penjelasan dari Sheikh Walid al-Nasr di USM, Pulau Pinang ini dapat bantu menyedarkan remaja dan semua umat Islam di Malaysia dari terpesong kepada jalan yang lurus. Insya-Allah...

Sheikh Walid bin An-Nasr telah dijemput dari Madinah al-Munawwarah untuk menyampaikan daurah kepada siswa-siswi di USM Pulau Pinang.

Syeikh al-Walid Bin Muhammad Nabih Bin Sayf al-Nasr adalah pengarang Syarh Usul al-Sunnah. Kitab asalnya ditulis oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Edisi Bahasa Indonesia Syarh Usul al-Sunnah oleh Syeikh al-Walid dimurajaah oleh Ustaz Abdul Hakim Abdat, serta diterbitkan oleh Penerbit Darus Sunnah di Jakarta Timur

28 September 2012

Raja Muda: Pelajar perlu berminda strategis dan telus

Berita ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia keluaran 28 September 2012, pautan http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120927/dn_22/Pelajar-perlu-berminda-strategis-dan-telus-Raja-Muda juga boleh dirujuk.

KANGAR 27 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin para pelajar institusi pengajian tinggi mampu menjadi modal insan terhebat untuk negara jika mereka berminda strategis dan bersifat telus.

Menurut baginda, mereka yang berminda strategis mampu menyusun tindakan dengan bijak dan jika digabungkan pula dengan sifat telus akan menjadikan mereka lebih dihormati.

Merasmikan Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-7 di sini malam tadi, baginda bertitah negara memerlukan modal insan hebat yang boleh ditingkatkan melalui pelbagai kegiatan positif.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah, modal insan terhebat ynag lahir daripada gabungan minda strategis dan sifat telus akan mencetus nilai murni termasuk berdedikasi, berdisiplin, berakhlak mulia, bermoral tinggi, progresif dan patriotik. - BERNAMA

26 September 2012

BERNAMA: Liga Islam Sedunia kecam filem hina Islam

Akhbar Bernama melaporkan maklum balas Setiausaha Rabitah al-'Alam al-Islami pada 18 September 2012. Laporan mengenai ucapan Setiausaha 'Rabitah' atau Liga Islam Sedunia ini boleh dirujuk terus di http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=695198


BANGKOK: Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky, berkata hari ini filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat. "Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama dan Proses Perdamaian di Asean, di sini. Liga Islam Sedunia, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajuk 'Innocence of Muslims' yang memutar belit fakta berhubung Nabi Muhammad.

Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara dan meragut banyak nyawa, termasuk seorang duta Amerika.

Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.

Beliau turut diminta mengulas permintaan sekumpulan pengganas yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat. "Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.

"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya. - BERNAMA

UTUSAN: Jangan mudah terpesong dan dipesongkan - Raja Perlis

Peringatan ini dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 19 September 2012, ianya boleh dirujuk terus di pautan http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120918/dn_23/Jangan-mudah-terpesong-dan-dipesongkan

GEORGETOWN 18 Sept. - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan anak-anak muda supaya tidak mudah terpesong dan dipesongkan oleh perubahan nilai yang berlaku ketika ini terutamanya yang bersifat kebendaan dan mementingkan diri.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah perubahan yang ingin dilakukan oleh golongan itu adalah digalakkan, bagaimanapun perubahan itu bukanlah melibatkan perkara asas yang telah dipertahankan sebagai jati diri sejak sekian lama.

"Meskipun negara kita telah merdeka, tetapi bukanlah bermaksud untuk kita bebas segalanya sehingga melanggar tatasusila dan budaya kita.

"Kemerdekaan yang kita perolehi seharusnya memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan membuat keputusan mengikut acuan kita sendiri dalam membawa negara ke mercu yang lebih gemilang dan disegani," titah baginda pada majlis perasmian Ekspo Konvokesyen USM ke-46, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. - BERNAMA

RAJA PERLIS: Renung keperitan hidup rakyat di negara lain

Laporan ini telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 26 September 2012, ianya boleh dibaca terus melalui pautan http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120926/wu_02/Renung-keperitan-hidup-rakyat-di-negara-lain

PULAU PINANG 25 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat mengambil iktibar terhadap nasib malang yang menimpa sesetengah negara.

Titah baginda, rakyat di beberapa negara ketika ini hidup dalam keadaan sengsara akibat perang dan pergaduhan sesama sendiri sehingga keadaan menjadi kucar-kacir.

"Renungkanlah keperitan yang mereka alami dan ambil pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan itu.

"Justeru, beta menyeru agar kita menginsafi kejadian itu secara serius," titah baginda ketika berucap merasmikan Konvokesyen Ke-46 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, bagi graduan pula ilmu pengetahuan yang dimiliki haruslah digunakan untuk membawa masyarakat dan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.

"Ilmu yang dipelajari tidak akan berguna jika tidak diamalkan dan akan membawa kesan buruk jika digunakan dengan cara yang salah.

"Selain itu, beta juga ingin menasihatkan supaya menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Jagalah ibu bapa dan keluarga kerana inilah perkara asas yang perlu disemai," titah baginda.

Pada sidang pertama majlis konvokesyen hari ini, seramai 750 graduan menerima ijazah masih-masing dan 150 daripadanya merupakan penerima ijazah doktor falsafah (PhD).

UTUSAN: Pupuk minat sains, teknologi

Laporan ini telah dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 25 September 2012 dan boleh juga dibaca terus di laman http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120925/wu_01/Pupuk-minat-sains-teknologi

KANGAR 24 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengelompokan pelajar atau pool of students di dalam jurusan sains dan teknologi di semua sekolah di seluruh negara wajar diperbesarkan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertanyakan sesuatu kepada 'doktor muda' sambil diperhatikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah ketika melawat pameran sempena Sambutan 100 Tahun SK Utan Aji di Kangar, semalam.

Titah baginda, adalah lebih baik jika ia dilaksanakan pada usia seawal peringkat sekolah rendah lagi.

"Ini kerana dengan pergerakan dan peredaran sistem teknologi yang semakin pantas maka ia perlu disegerakan bagi mempertingkatkan bilangan semasa pakar dalam bidang sains dan teknologi," titah baginda ketika merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji di Utan Aji di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Guru Besar SK Utan Aji, Noraini Othman.

Dalam perkembangan sama, baginda berharap, kerajaan dapat memperkasakan kurikulum bersepadu di peringkat sekolah rendah khususnya dalam subjek sains.

Sehubungan itu, titah baginda, pertandingan mereka cipta dalam kalangan pelajar di seluruh pelosok negara perlu dipergiatkan.

"Para pelajar juga mestilah memupuk minat dan keserasian dalam kedua-dua bidang ini serta mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa," titah baginda.

Untuk mencapai matlamat tersebut titah baginda, para pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang pengetahuan berkaitan sains dan teknologi.

"Ini akan memudahkan mereka untuk menterjemah pengetahuan sedia ada apabila berada di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

"Jika nisbah pelajar dalam bidang sains dan teknologi meningkat ke tahap maksimum maka negara ini nanti akan memiliki ramai tenaga pakar dan berkemahiran tinggi," titah baginda.

Dengan penumpuan tersebut titah baginda, inovasi sains dan teknologi negara akan berkembang dengan pesat.

BERNAMA: Dengki Dan Benci Halang Pembentukan Mentaliti Kelas Pertama - Raja Muda Perlis

Berita ini dipetik dari akhbar Bernama keluaran 12 September 2012 atau boleh juga terus lawati pautan http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?cat=ut&id=694114

KANGAR, 12 Ogos (Bernama) -- Sikap dengki dan benci di kalangan masyarakat boleh menghalang proses pembentukan mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Rabu.

Sehubungan itu, baginda berharap sikap buruk itu yang menjadi barah dalam masyarakat perlu disingkirkan kerana ia boleh menyumbang kepada masalah yang lebih besar.

Bertitah merasmikan program motivasi Titian Kasih Mega Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan pelajaran Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau hari ini, baginda berharap masyarakat berusaha membudayakan amalan murni termasuk hormat-menghormati.

Program motivasi bertemakan "Rakyat Perlis ke arah Mentaliti Kelas Pertama" itu diperkenalkan oleh YTSP yang dipengerusikan Raja Muda Perlis sejak empat tahun lalu.

Ia antara lain bertujuan membentuk masyarakat yang berjiwa murni dan berupaya menjaya pembangunan negara melalui pemikiran dan mentaliti kelas pertama.

Pada program itu, baginda turut merasmikan Bilik Program Rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan program Pendidikan Khas SMK Arau.

-- BERNAMA

24 September 2012

UTUSAN: Cabar kemampuan maksimum dalam diri

KANGAR 22 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat di negara ini perlu berusaha mencabar tahap kemampuan maksimum dalam diri masing-masing.

Baginda bertitah, perkara itu akan memperlihatkan masyarakat yang memiliki jiwa berani, menginjak kemampuan dari kebiasaan kepada sesuatu yang luar biasa dan dapat mencipta kejayaan.

"Sentiasalah melibatkan diri dalam kegiatan berpersatuan yang boleh meningkatkan kualiti diri, kemahiran dan pengetahuan dari semasa ke semasa dan menjadikan kejayaan orang lain sebagai pembakar semangat kepada kita untuk lebih berjaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Larian Utara 2012 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Larian sejauh 10 kilometer itu turut mendapat kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAP) dan bermula dari Kampus UniMAP Kubang Gajah, Arau sehingga ke Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.

Turut berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Baginda bertitah, usaha mencabar diri pada tahap maksimum itu akan membezakan antara masyarakat biasa dengan luar biasa yang mana masyarakat luar biasa akan sentiasa mencari dan mengenal pasti platform memajukan diri.

Gambar hiasan
"Beta percaya program sebegini merupakan langkah sihat dalam memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara penuntut dan masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah, apa yang penting adalah menanam sikap sukakan aktiviti kecergasan kerana ia akan menghasilkan fikiran dan minda sihat.

Baginda turut menarik perhatian acara Larian Utara 2012 itu yang mana baginda menyifatkan para peserta terlibat mempunyai semangat kesukanan tinggi.

"Ini kerana apabila melibatkan jarak jauh, ia lebih mencabar fizikal dan mental dan jika seseorang itu memiliki jiwa yang berani, maka ia merupakan kekuatan baginya," titah baginda.


SINAR: Rakyat perlu 'melabur' untuk kesihatan demi pembangunan negara

23 September 2012
KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat 'melabur' untuk kesihatan kerana ia bukan sekadar menjamin kehidupan yang sempurna tetapi demi kepentingan masa depan negara.

Baginda bertitah banyak yang beranggapan penjagaan kesihatan untuk kepentingan diri sendiri tetapi hakikatnya negara yang ingin membangun juga memerlukan rakyat yang sihat.

Sesebuah negara akan runtuh jika majoriti rakyatnya gagal mencapai tahap kesihatan yang baik, titah baginda ketika merasmikan karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti dan pelancaran Program Siswa Sihat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis 2012 di Arau hari ini.

Baginda bertitah jika rakyat tidak sihat, ekonomi negara akan terjejas kerana banyak perbelanjaan perlu disalur untuk program kesihatan dan rawatan yang kosnya sentiasa meningkat.

Antara pelaburan yang perlu dilakukan setiap rakyat bagi menjamin kesihatan yang baik ialah berjalan 10,000 langkah sehari dan melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 30 minit lima hari seminggu di samping mengelak daripada merokok, titah baginda.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengarah Kesihatan Perlis Datuk Dr Ghazali Othman dan Rektor UiTM Perlis Prof Dr Khudzir Ismail. - Bernama

17 September 2012

SHEIKH WALEED: HADITH AKHIR ZAMAN, ARAB SPRING DAN MENDAKWA IMAM MAHDI (...



Mari dengar penjelasan tentang bagaimana Barat, Yahudi dan pengaruh Syiah menjatuhkan negara Islam.

Sheikh Waleed bin An-Nasr telah dijemput dari Madinah al-Munawwarah untuk menyampaikan daurah kepada siswa-siswi di USM Pulau Pinang.

Syeikh al-Walid Bin Muhammad Nabih Bin Sayf al-Nasr adalah pengarang Syarh Usul al-Sunnah. Kitab asalnya ditulis oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Edisi Bahasa Indonesia Syarh Usul al-Sunnah oleh Syeikh al-Walid dimurajaah oleh Ustaz Abdul Hakim Abdat, serta diterbitkan oleh Penerbit Darus Sunnah di Jakarta Timur

14 September 2012

SINAR: Jamil Khir: Rakyat Malaysia diingat tidak hina agama lain

Berita ini dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 13 September 2012, pautan berikut boleh juga dirujuk http://www.sinarharian.com.my/nasional/jamil-khir-rakyat-malaysia-diingat-tidak-hina-agama-lain-1.84780

YAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan rakyat negara ini agar tidak menghina agama kaum-kaum lain.

Jamil Khir berkata penghinaan terhadap sesuatu agama yang diterbitkan dalam bentuk tulisan, lukisan atau filem boleh mencetuskan keganasan dan pembunuhan seperti yang berlaku di Benghazi, Libya semalam.
Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Beliau berkata ini kerana soal agama yang dianuti oleh setiap individu amat sensitif dan jika berlaku satu pencerobohan terhadap agama, ia boleh mengheret kepada hal yang lebih besar.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar pegangan agama dan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW tidak wajar dipermainkan sehingga boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai penerbitan sebuah filem 'Innocence of Islam', yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Katanya isu tersebut boleh menimbulkan ketegangan masyarakat dunia sehingga boleh menyebabkan kematian seperti pembunuhan Duta Amerika Syarikat ke Libya yang ditembak mati.

Semalam Kedutaan Amerika di Benghazi diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan dipercayai kerana membantah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW sehingga menyebabkan Duta Amerika Christopher Stevens dan tiga lagi terbunuh.

Filem tersebut arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman Youtube dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti-Islam, Terry Jones yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran untuk kempen membenci Islam di Amerika sehingga mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

Terdahulu Jamil Khir menyerahkan kunci rumah baharu kepada Choo Sin Kooi, 58, kerana rumahnya terlalu daif dan hampir roboh dengan kos RM30,000 di Kampung Padang Makau dekat sini hari ini.- Bernama

18 June 2012

AHMAD HAMAD: Hudud tidak wajar jadi isu politik

Berita ini dipetik dari akhbar Mingguan Malaysia keluaran 17 Jun 2012.

KUALA LUMPUR 16 Jun - Mana-mana pihak yang menggunakan hukum pelaksanaan hudud sebagai modal politik untuk menang dalam pilihan raya disifatkan hanya mencari keredaan pengundi dan bukannya keredaan Allah.

Ahli Akademik dari Arab Saudi, Ahmad Hamad al-Jilani berkata, Islam menuntut umatnya mengutamakan pelbagai perkara asas yang lebih utama seperti isu pendidikan, ekonomi dan sosial sesebuah negara itu.


SEBAHAGIAN peserta mencatat maklumat penting semasa menghadiri
sesi pembentangan kertas kerja oleh ahli panel pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Jelas beliau, sebelum mewajuikan hukum hudud, pelbagai aspek lain perlu diambil kira termasuklah semua masyarakat perlu menerima pelaksanaan itu.

''Apa yang penting kita perlu mencari keredaan Allah bukan keredaan manusia.

''Sesiapa yang menggunakan hukum hudud untuk menang pilihan raya maka tujuannya bukan kerana Allah tetapi mencari keredaan pengundi," katanya. 




Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Adaptasi Kepimpinan Nabi Dalam Pentadbiran Negara pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Sesi kedua seminar itu dipengerusikan oleh Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Turut hadir Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.
 
Mengulas isu sama, Bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata, pelaksanaan hukum hudud merupakan sebahagian kecil atau satu persepuluh daripada syariat Islam.

Menurut beliau, pemimpin negara Islam perlu mengambil kira keadaan dan pengetahuan yang membolehkan pelaksanaan hukum itu selain masyarakat dan negara sudah bersedia.

''Hukum hudud tidak boleh dilaksana begitu mudah kecuali ada keadaan membolehkannya kerana ia bukan satu perkara utama dalam Islam.

''Ini termasuk jika timbulnya keraguaan, maka ia tidak wajib dilaksanakan kerana Islam telah menggariskan prasyaratnya,"katanya.

04 June 2012

SHEIKH ISMAIL: Pelihara kemaslahatan umat


MINGGU lepas akhbar ini telah menyiarkan wawancara bersama ulama tersohor Arab Saudi yang juga Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi.
Reaksi dan pandangan yang diterima terhadap wawancara tersebut begitu menggalakkan memandangkan beliau menjelaskan isu pokok iaitu, seharusnya tidak timbul sebarang masalah jika umat Islam saling menggalakkan perpaduan sesama mereka.

Minggu ini satu lagi wawancara diatur, kali ini melibatkan anak murid kepada Sheikh Dr. Sulaiman iaitu SHEIKH ISMAIL OMAR.

Anak Melayu kelahiran Pulau Pinang ini telah menetap di Mekah hampir 31 tahun namun sering berulang-alik ke negara ini sama ada untuk urusan berkaitan bidang ilmu, pengkajian, memberi ceramah mahupun perniagaan.

Wartawan Mingguan Malaysia NIZAM YATIM dan HAFIZAHRIL HAMID yang menemu bual Sheikh Ismail baru-baru ini telah mengajukan beberapa soalan susulan daripada wawancara dengan Sheikh Dr. Sulaiman.

Menurut Sheikh Ismail yang juga Pengarah Eksekutif dan salah seorang Pengasas Yayasan Kebajikan Nusantara, Malaysia adalah negara yang amat dihormati dan dicontohi oleh negara-negara Islam.

Beliau sehubungan itu mengingatkan segala nikmat yang dikecapi umat Islam di negara ini boleh musnah dalam sekelip mata jika mereka sendiri menolak usaha perpaduan.

“Kita orang Melayu Islam bernasib baik mempunyai satu kontrak sosial yang tersedia difahami dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia iaitu prinsip Ketuanan Melayu dalam konteks Manhaj Melayu," katanya.

Beliau tidak menafikan perbezaan pendapat wujud sesama manusia. “Tetapi Allah menyuruh kita berbincang dan berdamai dalam konteks Fiqh Al-Ikhtilaf (fikah cara berbeza pendapat) serta saling menghormati dalam suasana persaudaraan Islam dan menghindar perpecahan," katanya.

MINGGUAN: Apa yang mendorong saudara meninggalkan Malaysia dan pengajian konvensional lalu menetap di Mekah serta mendalami ilmu agama serta menguasai Bahasa Arab dengan baik?

SHEIKH ISMAIL: Alhamdulillah dorongan utama adalah supaya saya dapat baca al-Quran dan tahu maknanya. Setelah saya merantau ke negara barat, memperolehi Ijazah Kelas Pertama tetapi merasakan tiada lengkap ilmu tanpa boleh membaca al-Quran dan mengetahui maknanya. Dorongan kedua adalah merasai ketidakpuasan menimba ilmu agama melalui buku-buku terjemahan tidak melalui bahasa asli al-Quran dan hadis. Ketiga, saya merasai ada kekurangan dalam modul-modul “dunia-akhirat" yang dikemukakan oleh pengkaji agama tradisional terutamanya dalam bidang profesionalisme, urusan korporat, guna pakai sumber asli agama dan masalah duniawi semasa. Maka ini mendorongi saya terus mengkaji ilmu agama.

Apa kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang menjadi ilmuan yang banyak mendidik saudara dalam bidang ilmu takhasus?

SHEIKH ISMAIL: Kekuatan ilmuan utama Sheikh Dr. Sulaiman ialah beliau seorang profesor dalam bidang akidah iaitu usuluddin. Takhasus atau kepakaran utama beliau adalah berkenaan ilmu perpecahan puak atau firqah-firqah dalam dan luar agama. Bahkan beliau mengajar di Universiti Ummul Qura subjek puak-puak yang masih dalam agama dan puak-puak yang menggelar diri mereka “Islam" tetapi pada hakikatnya telah terkeluar daripada agama Islam sesuai kupasan hadis (yang bermaksud); “Umatku akan berpecah kepada 73 puak; kesemuanya dalam neraka melainkan satu".

Saya juga menghadiri kuliahnya dua semester berkenaan ayat-ayat dan hadis berkaitan akidah Islam. Adapun kekuatan amali dan rohani beliau ialah Sheikh Dr. Sulaiman menjadi tonggak iaitu Pengerusi Pejabat Dakwah, Bimbingan dan Kebajikan Masyarakat Mekah yang banyak membantu hal ehwal masyarakat khususnya para pelajar asing di Mekah. Beliau amat memahami masalah mereka bahkan sering menziarahi pelosok dunia menimba maklumat waqi’ dunia semasa.



http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm&fb_source=message#.T8vboVnBl8c.facebook

UTUSAN: Raja Perlis bimbang perpecahan bangsa Melayu

KANGAR 1 Jun - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bimbang dengan perpecahan bangsa Melayu yang kini wujud dalam empat kumpulan.

Titah baginda jika tidak dibendung, tidak mustahil isu perpecahan Melayu akan menjadi lebih besar.

"Malang sekali sejak kebelakangan ini bangsa Melayu semakin berpecah, seolah-olah telah lupa slogan dalam pepatah Melayu sendiri "bersatu teguh, bercerai roboh"," titah baginda ketika merasmikan Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantek Bangun, dekat sini malam tadi.

Titah baginda, perpecahan bangsa Melayu adalah “bom jangka" bagi musuh yang bersedia untuk meletupkannya apabila tiba masa bagi memenuhi agenda kepentingan mereka.

Sehubungan itu, Raja Perlis menasihati bangsa Melayu agar kembali bersatu demi menjamin kestabilan negara selain menunjukkan kepimpinan yang baik kepada kaum lain di negara ini.

"Kita juga akan merasa malu kepada anak cucu kita jika kita tinggalkan negara dalam keadaan huru hara untuk mereka," titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Perempuan Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu. - BERNAMA

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_26.htm&fb_source=message

19 May 2012

Rakyat perlu membudayakan transformasi sikap

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

ARAU 17 Mei - Rakyat perlu membudayakan 'transformasi sikap' iaitu berubah daripada malas menjadi rajin dan pengotor kepada pembersih jika mahu memastikan negeri ini selesa didiami.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, transformasi tersebut juga harus dilakukan kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan dalam industri pelancongan.

''Kebersihan dan keceriaan sesebuah negeri merupakan imej terpenting yang perlu dijaga dan dipertahankan.

''Amalan kitar semula perlu dididik dan digalakkan dalam kalangan rakyat Perlis bagi mengurangkan penjanaan sampah terutamanya bahan-bahan yang tidak mudah reput,'' titah baginda pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 di Istana Arau di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu.

Titah baginda, keindahan semula jadi Perlis perlu dipelihara kerana kerosakan alam sekitar akan mendedahkan rakyat kepada pelbagai bencana alam seperti banjir, pemanasan global selain penyakit seperti malaria, taun dan denggi.

Dalam titahnya, baginda juga melahirkan rasa bangga kerana Perlis kini muncul sebagai negeri tunggal dalam pengeluaran mempelam Harumanis.

''Beta difahamkan bahawa mempelam Harumanis telah berjaya dieksport ke pasaran Jepun dan akan menembusi pasaran Singapura nanti," titah baginda.

Baginda bertitah, melalui pewartaan Mempelam Harumanis sebagai harta intelek negeri Perlis seperti diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia baru-baru ini, membolehkan ia menjadi ikon utama kepada negeri tersebut.

''Beta yakin dengan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sedang dijalankan oleh Universiti Malaysia Perlis akan menjadi platform untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti Harumanis bagi memenuhi permintaan tempatan dan eksport yang semakin meningkat," titah baginda lagi.

18 May 2012

BERNAMA: Raja Perlis Yakin Gagasan 1Malaysia Bukan Retorik

Dipetik dari http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=666901 


KANGAR, 17 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail percaya konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia bukan sesuatu yang retorik tetapi janji harus dikotakan. 


Sehubungan itu, baginda bertitah para penjawat awam perlu mengamalkan budaya kerja yang cekap, berintegriti dan mesra rakyat bagi memastikan sistem penyampaian awam tidak menghampakan. 


 "Tambahan lagi dengan kenaikan gaji dan imbuhan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini menjadi motivasi kepada penjawat awam meningkatkan produktiviti kerja," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Arau Khamis. 


 Raja Perlis turut berharap setiap rakyat menyemai semangat kerjasama kerana perpaduan menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara dan menjadikan tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang mencalar ikatan perpaduan sebagai satu iktibar. 


 Sehubungan itu, baginda berharap segala program sempena hari keputeraan baginda menjadi manifestasi kepada pengukuhan perpaduan di Perlis. -- BERNAMA

13 May 2012

UTUSAN: Utama Maslahat Umum

Dipetik dari pautan asli http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
MUKADIMAH
KEPUTUSAN Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang menfatwakan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara telah menimbulkan polemik pelbagai. Bagi pihak pembangkang keputusan ini dilihat agak lambat dan berat sebelah. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia SHOLINA OSMAN telah mewawancara Mufti Perlis, DR. JUANDA JAYA baru-baru ini. Ujar beliau, pengaruh fatwa masih amat menebal dalam masyarakat Islam Malaysia. Namun katanya, “Saya lihat, di pihak kerajaan, keterbukaan sudah berlaku, tetapi pihak penentang tetap berkeras dengan segala dakwaan mereka seolah-olah mereka maksum daripada kesilapan. Ini tidak wajar. Saya fikir rakyat kita semakin cerdik menilai, maka pada saya, bertindaklah secara waras dan terbuka, ia akan bawa kebaikan kepada negara kita,".


MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang menfatwakan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara? 


 JUANDA JAYA: Terlebih dahulu saya ingin fahamkan masyarakat bahawa kenyataan Pengerusi Fatwa Kebangsaan baru-baru ini menurut kefahaman dan maklumat yang ada pada saya adalah suatu bentuk nasihat keagamaan daripada para Mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Ia bukanlah suatu fatwa khusus sebagaimana yang dilaporkan oleh sesetengah pihak. Ia lebih kepada bentuk nasihat dan kerunsingan Fatwa Kebangsaan terhadap isu yang sedang melanda umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada hakikatnya tidak hanya memfokuskan Bersih sahaja, ia melibatkan semua perhimpunan yang membawa kepada kerosakan. Agak jarang Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan sebegini. Bagi saya ia sesuai untuk diluahkan walaupun bagi sesetengah pihak ia agak lambat, berat sebelah, senget, sebelah mata dan pelbagai anggapan negatif ahli masyarakat kita. Saya yakin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara ini. 

 Suka saya nyatakan juga bahawa keputusan ini dibincangkan oleh 13 Mufti yang hadir (kecuali Wilayah Persekutuan) dan ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dilantik. Ertinya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati sama ada pihak BN atau PR, berjumpalah mufti negeri anda kalau anda tidak berpuas hati. Saya sudah menjangka respons negatif, tetapi bagi menjaga kepentingan seluruh umat Islam, para mufti bertanggungjawab untuk memberi nasihat. Bagi yang enggan menerima, itu hak mereka. Kita faham sebab ia tidak memenuhi kehendak nafsu mereka. Kalau nak pertikai sekalipun, jagalah adab dan akhlak sebagai seorang Muslim. Tak perlu tuduh melulu, itu bukan akhlak seorang Muslim, apatah lagi kalau dikategorikan sebagai ulama. 


 Jika demikian apakah jalan paling baik dalam Islam bagi mencari penyelesaian yang tidak melibatkan perhimpunan yang akhirnya menjurus kepada kekacauan? 

 JUANDA JAYA: Pandangan saya agak berbeza dengan apa yang dianjurkan oleh pihak Utusan. Biar saya jelaskan. Bagi saya tiada nas yang mengharamkan perhimpunan untuk protes secara mutlak. Ia mungkin haram kerana hal yang lain. Memprotes dan berhimpun adalah hak yang diakui oleh agama. Bahkan Islam dalam banyak hal anjurkan ibadat secara jamaie (berhimpun) sebagai tanda kekuatan dan protes kepada kekufuran dan jahiliah. Tetapi ia mesti dilaksanakan secara beradab. Zaman Khalifah Uthman ra, para penentangnya demonstrasi di hadapan rumahnya, Uthman tidak larang, bahkan para sahabat yang mahu menyuraikan mereka, Uthman melarang dan menyuruh membiarkan mereka selagi mereka tidak melanggar batasan. Tetapi akhirnya akibat hasutan jahat sesama mereka, maka mereka menyerang rumah Uthman dan membunuh syahid khalifah yang ketika itu seorang diri dengan isterinya tanpa senjata dan dibunuh sewaktu sedang membaca al-Quran. Lipatan sejarah ini wajar diambil iktibar kerana ia membuka lembaran sejarah besar umat setelah itu dan kesannya kita rasai hingga ke hari ini. 

 Ya, perlu diterapkan kaedah sad al-zarai’e (menutup pintu kerosakan) di sini, tetapi ia mesti berhemah, kerana kalau ia ditutup secara tidak berhemah, ia akan membuka kerosakan (fath al-zarai’e) lain yang juga boleh membawa kepada kerosakan. Jadi pihak pemerintah mesti berlaku adil dan dilihat adil dalam menguruskan hal seperti ini. Ertinya kalau pihak kerajaan boleh berhimpun dengan aman, maka berilah ruang untuk pembangkang berhimpun secara aman juga. Pihak pembangkang yang berhimpun secara aman dengan dikawal oleh pihak keselamatan pula hendaklah bertanggungjawab menjaga tingkahlaku ahlinya daripada melakukan provokasi. Kita tahu semuanya panas, maka janganlah dipanaskan lagi dengan akal yang tidak waras. Politik hari ini menyaksikan mereka yang dulu memerintah juga boleh menjadi pembangkang pada hari ini dan begitulah sebaliknya. Jadi wajar difikirkan, kalau ada pihak demonstrasi di Kuala Lumpur, akan wujud pihak lain akan membalasnya di Shah Alam, Alor Setar ataupun Kota Bharu. Pihak keselamatan dalam hal ini hendaklah berlaku adil dan takutkan Allah dalam menjaga keamanan rakyat. 

 Setakat yang saya perhatikan, setelah Bersih 2.0, Parlimen sudah mewujudkan Jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang untuk berbincang, dan telah ada keputusan. Tetapi kenapa tidak selesai, saya tidak pasti. Apa yang jelas pihak Bersih amat tidak berpuas hati. Tetapi agak hairan juga, apabila pihak SPR mengajak Bersih untuk berbincang, mereka enggan duduk semeja. Debat di antara Ambiga dan Khairy Jamaludin juga sudah berlaku, tetapi ia juga tidak membawa penyelesaian kepada satu pihak lagi. Saya lihat, di pihak kerajaan, keterbukaan sudah berlaku, tetapi pihak penentang tetap berkeras dengan segala dakwaan mereka seolah-olah mereka maksum daripada kesilapan. Ini tidak wajar. Saya fikir rakyat kita semakin cerdik menilai, maka pada saya, bertindaklah secara waras dan terbuka, ia akan bawa kebaikan kepada negara kita. Duduklah berbincang bersama dan dedahkan segala bukti dakwaan, tetapi sehingga kini, kita hanya didedahkan dengan angka dan fakta glamor sahaja dalam blog dan akhbar, fakta yang khabarnya ribuan itu, tak pernah pula kelihatan di alam nyata. Saya yakin rakyat memahami permainan ahli politik kedua pihak dalam hal ini. Maka tolonglah jangan pertaruhkan nasib rakyat dengan permainan yang boleh bawa bencana kepada semua pihak ini. 

 Malangnya terdapat pihak yang seolah-olah memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini. Apa pandangan Dr.? 


 JUANDA JAYA: Saya secara peribadi menilai dari dekat gelagat dan respons masyarakat terhadap keputusan ini. Terutama pihak yang mempertikaikan dan terlalu cepat melatah dengan hanya bergantung kepada ulasan penulis berita, tanpa berusaha membaca teks asal keputusan itu. Saya rumuskan beberapa sikap masyarakat Islam kita akhir-akhir ini terhadap keputusan fatwa; 
 i. menerima tetapi berdiam diri kerana mungkin akur; 
 ii. melatah dan menuduh dengan pelbagai label kerana tidak bersetuju fatwa yang tidak memenuhi kehendak nafsu mereka, golongan ini mungkin gagal memahami teks asal, jadi menuduh dengan semberono. 


 Kalau benarlah begitu, mereka ini kita maafkan sebab kegelojohan mereka. Sebab Nabi Muhammad SAW pernah ingatkan; Orang yang paling berani memberikan fatwa (secara membuta tuli) adalah orang yang paling berani terjun ke dalam neraka. Golongan sebegini biasanya juga sering gelojoh dalam memberikan fatwa peribadi mereka sendiri. Bila ada pihak yang bertentangan dengan hawa mereka, mereka akan serang habis-habisan dengan pelbagai gelaran dan label yang dilarang oleh syarak. Agak tidak logik, mereka ajak kepada agama, tetapi akhlak dan perkataan tidak menggambarkan agama yang mereka perjuangkan. 


 iii. oportunis yang akan menolak apa sahaja yang datang daripada pemerintah hatta pemerintah di negeri yang parti mereka sokong memerintah. Kalau tak setuju dengan pandangan mufti negeri yang anda perintah, mintalah Menteri Besar negeri anda pecat mufti berkenaan. Ada berani? 


 Ada pemimpin pembangkang menyatakan bahawa, "jawatankuasa tersebut (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan) perlu memahami terlebih dahulu tujuan sebenar perhimpunan Bersih yang diadakan baru-baru ini". Apakah tujuan perhimpunan itu dianjurkan selaras dengan kehendak Islam serta benar-benar berjuang menegakkan kebenaran? 


 JUANDA JAYA: Nak tuduh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tak faham, pada saya agak keterlaluan. Kalau begitu saya juga boleh kata, mereka juga tidak memahami keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini. Kalau begitulah sikap kita semua, maka tidak ada penghujung dan penyelesaiannya. Kenapa tidak mahu bertindak sebagai orang yang matang, waras dan dewasa? Saya yakin dengan propaganda luar biasa tentang Bersih secara percuma oleh TV kerajaan, semua orang tahu tujuan perhimpunan ini. Juga pada masa yang sama, semua orang tahu akan kesan perhimpunan ini. Juga semua orang akan tahu bahawa, tanpa provokasi, kekecohan tidak akan berlaku. Menyiarkan dakwaan dan tuduhan bagi memenangkan pihak masing-masing adalah suatu hal yang lumrah, tetapi ia juga amat jelek dan menjengkelkan. Maka saya menyeru jawatankuasa tentang penilaian Bersih yang diketuai oleh Tun Haniff Omar agar berlaku adil dan takutkan kemurkaan Allah dalam penilaian mereka. Utamakan yang hak dan jangan bias dalam penilaian demi kebaikan negara kita. Saya yakin jawatankuasa itu ada kredibiliti dan kita patut bagi mereka peluang. 


 Cuma janganlah ditangguh-tangguh siasatan. Pihak polis pula, kalau nak bicarakan mereka yang terlibat, segerakan ia, agar suasana tegang sedia ada dapat segera dikendurkan. 


 Kita tahu sesetengah pihak membandingkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan ulama luar negara seperti al-‘Allamah al-Qaradawi, ulama paling ulung dunia pada masa ini yang mewajarkan demonstrasi. Pada saya ia pandangan beliau berdasarkan maklumat yang beliau ketahui dan dibisikkan kepada beliau serta keadaan sekeliling beliau. Hal sebegini pasti mempengaruhi fatwa yang dikeluarkan. Ini diakui oleh para ulama dan al-Qaradawi sendiri. Saya amat mengagumi beliau sejak usia baligh. Saya baru bertemu beliau di Doha pada minggu sudah, 1 Mei 2012. Pihak yang berkenaan juga wajar bertanyakan al-Qaradawi, apakah di Qatar dibolehkan demonstrasi bagi menentang kewujudan markas tentera Amerika di al-‘Udayy, Qatar. Sudah tentu ia akan merumitkan keadaan beliau untuk berkata-kata. Kami rombongan mufti-mufti Malaysia yang melawat Arab Saudi pada 27 April 2011 atas undangan Kerajaan Arab Saudi turut bertanyakan soalan tentang fatwa demonstrasi kepada al-‘Allamah al-Shaikh Abdul-Azeez ibn Abdullaah Aal ash-Shaikh, Mufti Besar Arab Saudi tentang pandangan al-Qaradawi mengenai demonstrasi, Aal ash-Shaikh menyatakan penghormatannya terhadap kealiman al-Qaradawi, tetapi dalam hal demonstrasi yang membawa kerosakan, Aal ash-Shaikh berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan al-Qaradawi kerana ia membawa kerosakan. Jelasnya, para ulama setempat lebih memahami keadaan mereka, maka kalau berbeza pandangan, ia suatu yang wajar berlaku. 


 Maka agak kurang tepat kalau kita ambil sikap pukul rata dalam memahami teks dan konteks. Kita kenalah saling menghormati pandangan setiap pihak. Itu sikap yang sepatutnya. 


 Kenapa mereka bertindak seolah-olah mereka sahaja yang betul dan bertindak seolah-olah memandang rendah jawatankuasa ini? 


 JUANDA JAYA: Saya rasa masyarakat kita belum cukup matang untuk berbeza pandangan. Sepatutnya khilaf itu rahmatun (rahmat), bukan khilaf itu harbun (membawa perang), kata seorang sahabat. Kita semua perlu usahakan ke arah mematangkan cara fikir masyarakat kita terutama mereka yang belajar agama, barulah lengkap sifat umat yang maju. Sebab itu saya secara peribadi tidak setuju dengan usaha sesetengah pihak mahu menjadikan fatwa itu tidak boleh dicabar kerana ia bertentangan dengan semangat asas Islam yang memberikan ruang untuk berbeza pandangan. Kalau berbeza, jagalah adab, janganlah mudah sangat untuk melabel dan mencaci. Islam tidak ajar begitu terutama bagi mereka yang dilabel sebagai ulama. Tak molek langsung! Mereka yang suka mencaci dalam Facebook dan Twitter, nasihat saya, hati-hati dengan perkataan anda, itu semua akan dihisab kemudian hari nanti. Berhemahlah dalam buat ulasan terutama hukum hakam. Sebab itu bila kita kata, keputusan ini adalah nasihat, bagi yang tak mahu terima, itu hak anda, sebagaimana orang lain enggan bersetuju dengan pihak yang mewajibkan perkara ini. Para ulama sepanjang sejarah Islam sudah terbiasa dengan khilaf, lainlah kalau yang berkenaan berasa diri mereka sudah maksum dan tidak boleh disentuh. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah kata keputusan mereka adalah maksum. Saya adalah di antara orang yang kadang-kadang tidak sehaluan dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, tetapi kita bawa dengan hujah dan beradab, ia pahit, tetapi ia perlu untuk mematangkan umat ini. 


 Pada pandangan Dr. sejauh mana umat Islam di negara ini memandang tinggi serta patuh kepada keputusan Majlis Fatwa. Kita boleh lihat bukan sekadar isu perhimpunan malah dalam isu rokok? 


 JUANDA JAYA: Saya nyatakan tadi, saya memerhati reaksi terhadap isu ini dari dekat. Kesimpulan awal saya ialah pengaruh fatwa masih amat menebal dalam masyarakat Islam Malaysia. Alhamdulillah. Golongan bukan Islam juga menghormatinya dan masih tidak berani melangkah garis merah untuk mempertikaikan hal ini. Kenapa saya katakan masih tebal pengaruhnya? Kerana pihak yang tidak bersetuju dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, secara gerombolan besar-besaran menyerang keputusan ini dengan pelbagai kata dan nista yang wujud dalam kamus sindiran dan celaan mereka. Ertinya mereka amat bimbang masyarakat tidak menyebelahi mereka dan masyarakat mempertikaikan kredibiliti mereka. Apabila mereka menyatakan bahawa pandangan mereka wajib diikuti, maka maksudnya sesiapa yang tidak ikut adalah berdosa! Ini perkataan yang amat berat dalam agama. Sebab itu dalam keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dinyatakan bahawa demonstrasi yang membawa kepada kerosakan adalah haram. Saya yakin semua pihak boleh terima kecuali mereka yang sukakan kerosakan negara ini. Ia haram kerana sebab yang mendatang (haram li ghayrihi) bukan haram secara mutlak (haram li zatihi). Kalau tak puas hati nak demonstrasi, demolah, tetapi jangan ganggu orang lain yang tak berkenaan. Jangan ganggu para penjaja. Kawal ahli. Jangan adu domba. Jaga maslahat umum orang lain. Hal ini kita nyatakan kepada semua pihak. Saya masih ingat akibat Bersih 2.0, saya gagal hadir majlis walimah anak kepada sahabat karib saya, Syed Anwar di Kuala Lumpur. Saya amat terkilan kerana saya sudah berjanji daripada awal untuk hadir. Akibat nasihat polis dan saya bimbangkan keselamatan diri, saya terpaksa mungkir janji kepada sahabat saya itu. Juga akibat demonstrasi balas pihak lawan di Pulau Pinang, mereka berdemonstrasi di atas Jambatan Pulau Pinang hingga mengakibatkan kesesakan luar biasa di atas jambatan yang menyusahkan orang ramai. Jadi, saya berpandangan, ya kalau tak puas hati, luahkan perasaan, tapi jangan sampai hak orang lain dipijak dan dihalang. Sebagaimana kita tidak mahu penjual burger parking berniaga sesuka hati di hadapan pagar rumah kita, maka begitu jugalah pihak yang berasa terganggu oleh perhimpunan yang menjejaskan kemaslahatan diri mereka. 


 Saya juga hairan, tawaran kerajaan kepada Bersih 3.0 untuk menggunakan Stadium Merdeka ditolak atas alasan masa tak cukup. Mereka kata, tujuan mereka hanya untuk duduk memprotes, maka kenapa Stadium Merdeka tidak boleh diterima? Payah sangatkah nak duduk? Ini menunjukkan sikap berdegil dan enggan memberikan kerjasama serta ada niat lain yang hanya Allah yang tahu. Begitu juga segala tuntutan pihak Bersih yang cuba diselesaikan melalui Jawatankuasa yang dibentuk oleh Parlimen, kita diberitahu bahawa wakil pembangkang yang diberikan hak duduk dalam Jawatankuasa, tetapi ada yang selalu ponteng. Kenapa? Belum memerintah dah ponteng kerja? Lepas itu komplen. Ini tidak adil dan misleading kepada rakyat. Kita perlu bersikap adil dan gunakan saluran yang wajar. Ini tidak, keras kepala yang dijadikan sebagai modal untuk menegakkan tuntutan. Ini kanun rimba yang ingin ditebarkan di tengah masyarakat. Sikap ini berbahaya.

Bernama: Umat Islam Perlu Komited Terhadap Asnaf Terpinggir


01 March 2012

Bacaan Yang Sunnah Selepas Membaca al-Quran


عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ : مَا جَلَسَ رَسُولُ اللهِ مَجْلِسًا قَطُّ، وَلاَ تَلاَ قُرْآناً، وَلاَ صَلَّى صَلاَةً إِلاَّ خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتٍ، قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَرَاكَ مَا تَجْلِسُ مَجْلِساً، وَلاَ تَتْلُو قُرْآنًا، و...َلاَ تُصَلِّي صَلاَةً إِلاَّ خَتَمْتَ بِهَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ ؟قَالَ:
 (( نَعَمْ، مَنْ قَالَ خَيْراً خُتِمَ لَهُ طَابَعٌ عَلَى ذَلِكَ الْخَيْرِ، وَمَنْ قَالَ شَرّاً كُنَّ لَهُ كَفَّارَةً: سُبْحَانَكَ [اللَّهُمَّ] وَبِحَمْدِكَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ


Daripada Aisyah RA berkata, “Tidaklah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam- duduk di suatu tempat atau membaca al Qur’an ataupun melaksanakan sollat kecuali baginda akhiri dengan membaca beberapa kalimat”. Akupun bertanya kepada Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam-, “Ya Rasulullah, saya melihat engkau tidak duduk di suatu tempat, membaca al Qur’an ataupun mengerjakan sollat melainkan anda akhiri dengan beberapa kalimat?” Baginda menjawab, “Betul, sesiapa yang mengucapkan kebaikan maka dengan kalimat tersebut amal tadi akan dilekatkan dengan kebaikan. Barang siapa yang mengucapkan keburukan maka kalimat tersebut berfungsi untuk menghapus dosa. Itulah ucapan Subhanakallahumma wa bihamdika laa ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaika. ”

HR an-Nasai di dalam as-Sunan al-Kubra dan lain-lain.
Hadith di nilai Sahih oleh syaikh Muqbil dalam kitabnya Al-Sahih Al-Musnad mimma Laisa fi Al-Sahihain, no. 1619

29 February 2012

'Tatu Allah': Mufti gesa KDN gantung The Star


NONE
Malaysiakini.com telah melaporkan kenyataan Dr Juanda Jaya, Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Laporan ini telah mendapat maklumbalas yang 'panas' dari para pembaca berhubung sokongan dan cadangan agar akhbar The Star dan penganjur yang membawa masuk artis tersebut dikenakan tindakan, pautan http://www.malaysiakini.com/news/190497. Laporan tersebut boleh dibaca seperti di bawah atau terus pautan di atas.

11:30AM Feb 28, 2012
 
Akhbar The Star patut digantung penerbitan sehingga siasatan selesai ekoran tindakannya menyiarkan gambar artis Amerika Syarikat Eryka Badu yang memperlihatkan tatu kalimah Allah di dadanya, gesa mufti Perlis.
 
Dr Juanda Jaya berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) patut mengambil tindakan paling tegas itu ekoran penyiaran gambar itu dianggap menghina Islam dan tiada alasan untuk harian berbahasa Inggeris itu terlepas pandang.
 

"Permohonan maaf hari ini dengan kolum 'seciput' saiznya adalah amat tidak memadai. KDN perlu gantung The Star sementara waktu siasatan dilengkapkan," katanya.

KDN hari melaporkan The Star dipanggil memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar itu bersama artikel satu halaman penuh pada Isnin dan tindakan susulan akan dibuat berdasarkan penjelasan itu.

Gambar yang disiarkan akhbar milik MCA itu menunjukkan sebahagian dada Badu yang terdedah tertera kalimah "Allah" dalam bahawa Arab, beberapa huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.
 

  NONE 
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, Juanda juga menggesa KDN dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menghalang konsert Badu yang dijadual berlangsung di ibu negara esok.

Selain itu, dakwa Juanda lagi, lagu-lagu dendangan "Ratu Neo-Soul" itu juga berunsur lucah dan pasti menganjurkan maksiat dan keruntuhan akhlak.

"Ini selaras dengan transformasi yg dilaungkan oleh pihak kerajaan," katanya yang juga bekas zamil di Universiti Oxford, United Kingdom.

Mempertahankan gesaannya itu, Dr Juanda berkata, beliau menyokong kebebasan akhbar tetapi ia hendaklah tidak mencerca agama dan pegangan orang lain.


Dalam perkembangan berkaitan, kemarahan ramai terus meletus apabila kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini berkongsi pandangan sama dan Pemuda PAS pula menghantar memorandum supaya konsert esok dibatalkan.

The Star bagaimanapun sudah dua kali meminta maaf - di halaman kedua akhbarnya hari ini dan di laman webnya semalam.

Pemuda PAS: Sekurang-kurangnya sebulan

Sementara itu, Pemuda PAS pula hari ini senada dengan gesaan Dr Juanda tetapi menetapkan penggantungan itu harus dikuatkuasakan sekurang-kurangnya selama sebulan.

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 05 
"Pihak penganjur juga mestilah diambil tindakan tegas kerana mengundang artis seperti itu," kata ketua dewan itu Nasrudin Hassan.|Beliau juga berkata, permohonan maaf The Star tidak mampu menyembuhkan luka umat Islam akibat "penghinaan" yang dilakukan berulang kali.

"Biarpun The Star telah memohon maaf, namun ini entah ke berapa kali The Star membuat 
kesilapan yang hampir serupa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tahun lalu, akhbar sama turut menjadi sasaran kemarahan pelbagai pihak apabila menyiarkan gambar daging babi dalam sisipan berkenaan juadah berbuka puasa.