KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini menyumbangkan dermasiswa zakat pelajaran berjumlah RM402,000 kepada 74 pelajar yang terpilih, melanjutkan pengajian di Timur Tengah.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan Baitulmal MAIPs itu kepada 59 pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir serta 15 pelajar yang melanjutkan pengajian di Jordan.
Sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM6,000 diberikan kepada pelajar ke Mesir dan Jordan pada majlis yang berlangsung di Masjid An-Nur kampus Universiti Tenologi Mara (UiTM) Perlis di Arau, hari ini.
    
Pelajar berkenaan merupakan kumpulan penerima dermasiswa zakat Baitulmal fasa pertama bagi tahun 2013 yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka yang menyambung pengajian di Timur Tengah.
    
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut menyampaikan sumbangan kepada 13 fasilitator yang menjayakan program pendidikan 'Sentuhan Kasih MAIPs' untuk anak-anak asnaf.
    
Majlis penyampaian sumbangan bersempena program 'Hijrah Minda bersama Tuanku Yang Dipertua MAIPs' turut diisi dengan ceramah keselamatan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis, Safrul Faiz Ab Satar.
    
Program anjuran MAIPs itu dihadiri lebih 1,000 pelajar UiTM serta Rektor UiTM Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutf MAIPs, Abdul Malik Hussin dan Pengarah Baitulmal Perlis, Mohd Nazim Noor.

- Bernama