Showing posts with label Sumbangan. Show all posts
Showing posts with label Sumbangan. Show all posts

30 September 2011

7 KELEBIHAN BERKORBAN DI TERATAK RAHMAT DARIPADA SUNNAH RASULULLAH (7-IN-1)


Jemputan Menyertai Ibadah Korban di Teratak Rahmat 
Assalamualaikum Warahmatullah 
Yang Berbahagia Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah. 


Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa asrama anak-anak yatim/miskin Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis akan melaksanakan Ibadah Korban yang dijangka diadakan pada 10 Zulhijjah 1432H bersamaan 6 November 2011 (ahad). Justeru, pihak urusetia menyeru mana-mana individu yang berhajat melaksanakan ibadah ini untuk menyegerakan niat murni tersebut. Insya-Allah korban ini akan dijadikan “BANK DAGING” iaitu sumber daging tempatan segar untuk makanan anak-anak yatim/miskin di Teratak Rahmat yang mampu bertahan sehingga 7 bulan. 


 Maklumat lanjut iaitu harga bersekali dengan kos pengurusan adalah seperti berikut: 
 1 bahagian lembu - RM400.00 
 1 ekor kambing - RM500.00 
Pembayaran boleh dilakukan secara tunai atau ansuran mulai sekarang. 


 Berpandukan hadith-hadith sahih dalam Sunnah Rasulullah s.a.w, 7 kelebihan menyertai ibadah korban di Teratak Rahmat ialah: 


 1. BERAMAL PADA SEBAIK-BAIK HARI 
Korban akan disembelih pada 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha pertama. Selepas bulan Ramadan, 10 hari pertama dalam bulan zulhijjah adalah sebaik-baik masa untuk umat Islam mengerjakan amal kebajikan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah”. Para sahabat baginda bertanya: “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”. Ujar baginda: “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)” (hadith riwayat al-Bukhari). 
Ustaz Ihsan menyembelih kambing sambil dibantu oleh sukarelawan TR




 2. KORBAN DIJADIKAN SEDEKAH TERBAIK 
Daging korban dijadikan sedekah kepada anak-anak yang menghuni Teratak Rahmat, sedangkan sedekah yang ikhlas kerana Allah menjadi penghindar dari api neraka. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan”(hadith riwayat Muslim) Sedekah ini pula merupakan sedekah terbaik dalam “liga”nya kerana daging lembu tempatan segar adalah sumber protein terbaik sebagai makanan yang berkhasiat untuk anak-anak sedang membesar. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, maka Dia tidak menerima (amalan) melainkan yang baik-baik sahaja” (hadith riwayat Muslim) 






 3. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK YATIM 
Daging korban yang disedekahkan akan dijadikan makanan anak-anak yatim di Teratak Rahmat. Maka membantu anak-anak yatim termasuk dengan memberikan jaminan makanan kepada mereka, dijanjikan ganjaran yang cukup besar. Pesan Rasullah s.a.w: Maksudnya: “Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga”. Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu” (hadith riwayat Muslim).



 4. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK MISKIN 
Selain anak-anak yatim, anak-anak yang dibelenggu kemiskinan di Teratak Rahmat juga akan menikmati makanan daripada daging korban yang disedekahkan. Kelebihan membantu anak-anak miskin termaktub dalam pesanan Rasulullah s.a.w Maksudnya: “Orang yang mengurus (kebajikan) janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjuang di jalan Allah”, Kata Abu Hurairah: “Saya juga menduga baginda bersabda ‘(Mereka yang mengurus kebajikan orang miskin) bagaikan orang yang selalu solat malam tetapi tidak pernah merasa letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)


 5. KORBAN MENUNAIKAN KEPERLUAN UMAT ISLAM SETEMPAT 
Memang benar ada banyak peluang berkorban Aidil Adha di Palestin, Somalia, Filipina, Kemboja, Selatan Thai dan tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun prihatian dengan yang berjiran dan hampir dengan kita, masih ada anak-anak yatim/miskin Islam yang perlu dibela nasib mereka secara berterusan. Tambahan pula, berkorban dalam negara juga bererti menyokong ekonomi desa umat Islam tempatan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesama umat Islam itu bersaudara. Oleh sebab itu, janganlah menganiaya dan jangan mendiamkannya. Siapa sahaja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikan kepentingannya. Siapa sahaja yang melapangkan satu kesusahan sesama umat Islam, nescaya Allah akan melapangkan satu kesusahan daripada beberapa kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa sahaja yang menutupi keburukan seorang umat Islam, maka Allah akan menutupi keburukannya pada Hari Kiamat” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim) 




 6. MANFAAT KORBAN BERTERUSAN 
Sedekah korban di Teratak Rahmat dimanfaatkan secara berterusan sehingga 7 atau 8 bulan selepas Hari Raya Aidil Adha. Memiliki kemudahan 3 peti sejuk besar yang boleh memuatkan daging, tulang dan organ lain daripada 7 ekor lembu yang bersaiz sederhana besar; bahan-bahan korban ini akan dicincang dan disimpan rapi dalam peti sejuk tersebut. Apabila tiba gilirannya, daging ini akan dikeluarkan secara sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat, untuk dijadikan lauk anak-anak yatim/miskin. Berkenaan pentingnya amalan kebajikan dilakukan secara berterusan, Rasulullah s.a.w telah berpesan: Maksudnya: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah kamu (iaitu berterusanlah teguh)” (hadith riwayat Muslim) Pesan Rasulullah s.a.w lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit” (hadith riwayat al-Baihaqi)   


Inilah antara peti 'bank' daging di Teratak Rahmat


7. MEMBUKA PINTU REZEKI 
Anak-anak yatim dan miskin yang dididik di Teratak Rahmat adalah golongan lemah dalam kalangan umat Islam, yang perlu dibantu secara berterusan dan sistematik supaya keluar dari kemelut kemiskinan dan masalah sosial. Adapun membantu golongan yang lemah, Rasulullah menjamin amalan ini sebagai salah satu daripada kunci-kunci rezeki yang diberkati Allah . Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dibantu (Allah) dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu” (hadith riwayat al-Tirmidhi) 


Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran, sila hubungi Dr. Hazman Hassan di telefon 019-4459382 atau Zahiri bin Zubir (017-4258281) dan boleh juga hantar emel ke ibnarawi99@yahoo.com . Sekian.

10 September 2011

Jualan Amal : Buku Menyuluh Keraguan Dengan ISTIKHARAH





Buat julung kalinya Persatuan Al-Islah Perlis memperkenalkan jualan amal di alam maya ini, dengan membeli buku ini, anda telah menyumbang kepada anak-anak yatim dan miskin di Teratak Rahmat. Sekiranya diizinkan Allah, program ini akan dilancarkan pada hari Ahad bersamaan 11 September 2011 oleh Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, iaitu Cikgu Othman Husin dengan kerjasama Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak, penulis buku ini, yang berusaha untuk mengetengahkan satu sunnah dalam menghadapi persoalan ‘apakah’ atau keraguan yang sering ditempuhi dalam kehidupan seharian.Semoga Allah memberi keberkatan dan rahmat-Nya kepada semua yang terlibat dalam program yang bakal dilancarkan.

Ustaz Abd Kadir Sahak
“ Membulatkan doa dan permohonan kepada Allah S.W.T dan menyerah segala urusan kepada-Nya adalah bukti ‘Ubudiah’ yang murni seorang hamba kepada pencipta-Nya. Semua unsur ini terdapat di dalam solat Istikharah. Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh mengajarkannya sepertimana mengajar al-Quran kepada mereka (sepertimana yang tercatat dalam hadis riwayat al-Bukhari). Malangnya solat yang memiliki kedudukan yang besar di dalam sunnah ini, ditinggal dan diabaikan.” Isi yang terdapat di kulit belakang ini sememangnya mempunyai daya tarikan dan membuatkan orang yang cintakan ilmu merasa berkobar untuk mencari cahaya dalam menyuluh keraguan dengan ‘Istikharah’.

Selain jualan di premis persatuan dan masjid-masjid yang akan dikunjungi sukarelawan, buku ini juga akan dijual secara ‘online’ oleh pihak Teratak Rahmat dengan harga RM 4.50 (tidak termasuk bayaran pos), kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi Azwar Ibrahim (+6019-4776482) dan Nurulhuda Idris (+6019-4219382) selaku wakil Teratak Rahmat . Sebarang pertanyaan boleh terus berhubung dengan wakil Teratak Rahmat dan boleh juga dihantar ke e-mail Teratak Rahmat iaitu teratakrahmat@gmail.com.
Beliau juga merupakan tenaga pengajar di Al-Islah Perlis

Bagi tujuan bank-in, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Muamalat TERATAK RAHMAT di nombor akaun 0901-0019362-72-9. Semoga usaha yang positif ini menjadi sesuatu yang amat bermanfaat dan bermakna kepada usaha menjaga anak-anak yatim dan miskin di Teratak Rahmat.

08 September 2011

Dari Mulhid Kepada Tauhid: Di Sebalik Tabir Majlis Berbuka Puasa Dan Makan Malam Muhibbah





Persatuan Al-Islah Perlis berterima kasih dengan saudara Muhammad Gerald yang berusaha tanpa mengenal penat sehingga berjaya dianjurkan majlis berbuka puasa dan makan malam muhibbah yang lalu. Saudara kami Muhammad Gerald dilahirkan dalam keluarga Cina yang menganggap agama dan kepercayaan sebagai urusan peribadi. Ayahnya seorang atheis dan ibunya seorang Katolik. Ibunya cuba membesarkan beliau sebagai seorang Katolik tetapi akhirnya beliau selesa menjadi seorang atheis. 

Muhammad Gerald (tengah)
Dalam pemuda ini menjalani kehidupan tipikal mencari wang dan berseronok tanpa agama, cahaya Islam datang berkunjung lalu beliau bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak diibadati selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah. Sebagai inspirasi, dipilihnya nama Rasulullah s.a.w sebagai nama barunya. Selepas beberapa lama, beliau berhijrah ke Perlis dan giat menuntut ilmu-ilmu Pengajian Islam berasaskan manhaj Salaf al-Salih di Persatuan Al-Islah Perlis. 
Menyambut tetamu-tetamu yang hadir
Untuk program ini, Persatuan Al-Islah Perlis memberikan amanah kepada saudara Muhammad Gerald Chin Whye Heung untuk menjemput wakil-wakil komuniti yang dimaksudkan. Beliau turut diberikan mandat mengetuai Unit Perhubungan Antara Agama Dan Saudara Baru (UPAASB) yang diletak di bawah seliaan langsung Setiausaha Persatuan Al-Islah Perlis 
Kad Nama Rasmi Saudara Muhammad Gerald Di Persatuan Al-Islah Perlis 
Dengan izin Allah jua, mungkin tidaklah berjaya majlis ini kalau yang selain daripada Muhammad Gerald yang menjemput wakil-wakil komuniti Non-Muslim. Empat bahasa dalam penguasaan beliau: Bahasa Inggerisnya fasih, Bahasa Melayunya baik sedangkan Bahasa Arab dan Bahasa Mandarinnya pula sederhana tapi mampu berkomunikasi. Beliau berpengalaman dengan suasana rumah ibadat Bukan Islam dan prihatin dengan protokol yang diamalkan; misalnya siapa dipanggil Father? Pastor? Reverend?. Akhlak, tutur-kata, perwatakan, senyum dan ‘aura’ Muhammad Gerald yang natural ternyata membuka hati komuniti yang dimaksudkan untuk hadir. 


Tambahan pula ketika hadir membuat jemputan beliau sentiasa berbaju Samfoo berbutang bulat lengkap berseluar Kungfu yang mengingatkan kita bahawa pakaian Cina Muslim ini lebih “cina” daripada sesetengah orang Cina yang ada di Perlis. Kehadiran beliau turut menyedarkan kami bahawa Islam bukan milik bangsa Arab atau Melayu atau India semata-mata, tetapi Islam milik setiap hamba Allah yang dipilih-Nya untuk menerima sinaran hidayah…. 
SS Dr Juanda dan Muhammad Gerald mengiringi tetamu 
Kepada saudara Muhammad Gerald Chin Whye Heung Al-Sini, teruskan perjuangan anda di Persatuan Al-Islah Perlis. Semoga Allah S.W.T merahmati dan sentiasa memudahkan segala urusan dakwah mengajak manusia kepada Islam, dan apabila sudah Islam untuk mengajak mereka kepada Al-Sunnah

03 September 2011

PERSATUAN AL-ISLAH BANTU 50 SAUDARA BARU


 
23 Ogos 2011: Bantuan yang dikumpulkan daripada ahli-ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis kali ini diagihkan sebagai jamuan berbuka puasa dan Sumbangan Aidil Fitri untuk meraikan para Saudara Baru pada selasa, 23 Ogos 2011. Dengan usaha Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis, Dr. Juanda Jaya yang juga Penasihat Persatuan, bantuan kepada Saudara Baru turut diterima daripada Y.Bhg Prof. DatoWira Mohd Shukri Abdul Yajid, Presiden Management & Science University (MSU) serta warga kerja MSU di Shah Alam.

 
Untuk mengenalpasti Saudara Baru, persiapan dijalankan dengan kerjasama Ustazah Kasmawati Kassim, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Dakwah, JAIPs. Hasilnya 50 orang Saudara Baru yang daif dan serba kekurangan telah dipilih untuk dijemput ke program ini dan seterusnya menerima Sumbangan Aidil Fitri yang dimaksudkan. Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Siam, Cina, India dan Bumiputera Sarawak yang bermukim di Perlis. Dengan sebuah van dan lima buah kereta, hampir 2/3 Saudara Baru yang terlibat telah dijemput dari rumah masing-masing ke Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis dan dihantar kembali. Bakinya pula memilih untuk datang sendiri.


Saudara baru
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis diberikan penghormatan untuk menyampaikan Sumbangan Aidil Fitri kepada setiap Saudara Baru di mana setiap seorang menerima RM100.00. Dalam tazkirah yang disampaikan selepas penyampaian sumbangan ini, Dr. Juanda menegaskan beliau keberatan untuk memakai istilah Muallaf kerana istilah Muallaf asalnya untuk mereka yang belum lagi Islam tetapi berjinak-jinak untuk mendekati agama Allah yang suci ini.
Dalam tazkirah itu juga, beliau menekankan tentang kepentingan persaudaraan dalam Islam yang dizahirkan juga dalam amalan-amalan ibadat seperti Rukun Islam yang lima. Khusus untuk para Saudara Baru, beliau berpesan:
Memberi sumbangan Aidilfitri kepada saudara baru.
“Kita dengar tentang Saudara Baru yang orang Islam asal tidak mengambil maklum hal kehidupannya. Salah satu sebabnya adalah orang seperti itu mungkin hidup sendirian, dia tak cari kawan, tak cari saudara sesama Islam. Apabila dia mencari kawan orang Islam, mudah-mudahan ada orang ambil tahu soal diri dia. Sebab itu Rasulullah sebut banyak sangat tentang persaudaraanMaka bagaimana ada bantu –membantu kalau tak kenal jiran yang Islam? Bagaimana pula ada bantu-membantu kalau tidak ada hubungan yang baik dengan jiran?.... Tapi bila kita langsung tidak ada hubungan, langsung tidak jaga persaudaraan, tidak ada rasa kasih sayang di antara satu sama lain; maka macam mana kita rasa agama (Islam) ini indah? Agama ini baik? Agama ini jaga antara satu sama lain?”


Dr. Juanda Jaya turut mewasiatkan kepada Saudara Baru untuk berusaha menambah ilmu dan mengembangkan hidayah yang dikurniakan Allah kepada mereka kepada saudara-mara dan sahabat-handai yang belum Islam:
“Kita ambil sikap kita yang cari. Hidayah itu perlu dicari. Jangan kita tunggu di rumahMana saudara-saudara Islam tak datang nak ziarah aku ni? Mana nak ajar aku solat ni?”. Tidak, kita kena cari. Bila kita mencari, Allah akan mudahkan jalannya. Bila kita jaga hubungan persaudaraan, ia akan menjamin kita tahu kita punya saudara (seIslam) yang cukup ramaiApa maksud bersaudara? (Macam) Adik-beradik!”
Sahibus Samahah memberi pesanan, bimbingan dan nasihat.
Masuk Islam ibadah yang paling mudah. Saudara-saudari beritahulah kepada saudara-mara yang belum Islam lagi, apabila mengucap dua kalimah syahadah maka jadilah (orang) Islam… Saya ingin menawarkan kepada mereka yang memeluk Islam sama ada lama atau baru, ajaklah orang lain lagi untuk dekat kepada agama Islam.. Ajaklah. Mungkin dengan Tuan-tuan Puan-puan berbahasa India (Tamil), berbahasa Cina, berbahasa Siam dan sebagainya, berbanding dengan kami yang tidak tahu bahasa berkenaan, mungkin Tuan-tuan Puan-puan akan lebih baik dalam menyampaikan



Mufti beramah mesra bersama sebahagian AJK Islah Perlis yang hadir.
Sebagai pelengkap kepada usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh agensi kerajaan, NGO lain dan orang-orang perseorangan, Persatuan Al-Islah Perlis berharap dan berusaha untuk muncul sebagai pusat sehenti untuk bimbingan dan kebajikan kepada golongan Saudara Baru dan orang Bukan Islam yang berminat mendalami Islam di Negeri Perlis. Justeru itu, kepada seluruh Umat Islam dan masyarakat Bukan Islam, Dr. Juanda Jaya selaku Penasihat Persatuan menawarkan:
Bangunan (Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah) ini milik umat Islam. Maksudnya kalau Tuan-tuan Puan-puan ada masalah nak belajar agama kah, nak minta bimbingan kah, nak minta nasihat kah, datanglah ke sini. Sahabat-sahabat kita di sini (Persatuan Al-Islah) bersedia membantu Tuan-tuan Puan-puan mempelajari dan mendalami agama Islam.. Islah lah menjadi tempatnya untuk melaksanakan apa saja aktiviti keagamaan dan apa saja berkaitan kepentingan orang Islam. Kita tak sebut ini tempat yang terbaik, kita tidak sebut kita ingin bertanding dengan orang lain ke, kita tawarkan tempat milik orang Islam, untuk kita dekatkan diri kepada Islam, untuk faham Islam dan seterusnya kita maju bersama Islam dan mendapat keredaan Allah S.W.T”
Sumbangan Aidil Fitri yang diberikan meskipun tidak banyak, diharapkan dapat meringankan beban mereka menyambut Syawal ini. Bukan pula tujuan sumbangan ini diberikan supaya Saudara Baru bergantung pendapatan kepadanya. Sebaliknya ia bermaksud mengeratkan persaudaraan khususnya antara Saudara Baru dengan orang-orang yang Islam semenjak lahir.
  Syukur kepada Allah, majlis ini berjalan lancar dengan disusuli pula dengan jamuan berbuka puasa dan makan malam, diikuti solat maghrib, solat isya dan solat tarawih secara berjama’ah. Selepas makan malam, Sahibus Samahah Mufti Dr. Juanda Jaya turut mengambil kesempatan untuk beramah-mesra dengan para Saudara Baru, AJK dan ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis yang turut hadir.

  Sementara itu, Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Al-Islah Perlis berharap Saudara Baru dan Orang Bukan Islam yang berminat mendalami Islam boleh menghubungi AJK atau khususnya saudara Muhammad Gerald Chin Wye Heung di talian 0136140065 atau email geraldmuhd@gmail.com sekiranya memerlukan bimbingan atau pertolongan.
  Sepas Aidil Fitri, Persatuan Al-Islah Perlis bercadang untuk melancarkan program Wakaf Terjemahan Al-Qur’an dalam Bahasa Inggeris yang diberikan percuma kepada Saudara Baru dan orang Bukan Islam yang membuat permohonan. Kelas-kelas pengajian Fardu Ain dan al-Qur’an yang dikendalikan dalam bahasa Siam, Melayu dan Inggeris juga akan dilancarkan sesudah Aidil Fitri ini, Insya-Allah.
Sesi bergambar