27 March 2013


Pencerobohan Lahad Datu perlu jadi iktibar kepada Askar Wataniah



KANGAR 25 Mac - Pencerobohan kumpulan militan dari Selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah sejak Februari lepas perlu menjadi iktibar kepada Askar Wataniah untuk meningkatkan peranan sebagai pengintip, pemberi maklumat dan responden ombak pertama, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, kedudukan mereka di merata tempat membolehkan Askar Wataniah sentiasa peka dan bersiap sedia bagi memperoleh sebarang bentuk maklumat serta perisikan tentang apa yang sedang berlaku di kawasan masing-masing.

Bertitah merasmikan pameran promosi Askar Wataniah sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di terminal feri Kuala Perlis hari ini, baginda bertitah, corak ancaman negara masa kini adalah di luar daripada kebiasaannya dan setiap anggota Askar Wataniah perlu peka dengannya.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, mahu setiap anggota Askar Wataniah dilatih dan dimaklumkan tentang ancaman masa kini dan tindakan yang perlu diambil jika ia berlaku di persekitaran mereka.

Titah baginda corak latihan untuk Askar Wataniah juga perlu ditingkatkan supaya setanding dengan latihan anggota tetap bagi membolehkan mereka memberi bantuan secara lebih berkesan apabila keadaan memerlukan.

Turut berangkat pada majlis perasmian pameran yang bermula semalam ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Timbalan Komander Regimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol. Zulfakar Abdul Wahid.

 - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130326/wu_03/Pencerobohan-Lahad-Datu-perlu-jadi-iktibar-kepada-Askar-Wataniah#.UVHTGzDGg6g.facebook#ixzz2OjjATvkt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: