22 March 2013


KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail hari ini melancarkan "Kempen Kesedaran Penunggangan Selamat" di
Simpang Empat dekat sini dengan berbasikal secara santai sejauh 15 kilometer di
sekitar kawasan itu.
Kempen untuk komuniti setempat anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)
Perlis itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan
raya tentang kaedah menunggang basikal dan motosikal secara selamat.
Turut mengiringi baginda ialah Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmood
Saharuddin bersama 70 peserta berbasikal yang terdiri daripada ketua-ketua
jabatan dan agensi kerajaan dengan memulakan kayuhan di perkarangan Kolej
Kediaman Tun Abdullah Ahmad Badawi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Simpang
Empat.
Tuanku Syed Faizuddin mengetuai para peserta kayuhan itu melalui beberapa
buah kampung di Simpang Empat dan singgah di Rumah Sejahtera Baitul Hanan di
kampung Behor Mali yang menempatkan 14 penghuni warga emas wanita Islam.
Di Rumah Sejahtera Baitul Hanan kelolaan Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung
Malaysia (MPKSM) itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak
RM1,000 untuk pengurusan rumah kebajikan itu.
-- BERNAMA



No comments: