Showing posts with label Ibadah dan Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Ibadah dan Fiqh. Show all posts

30 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Keadilan dalam pembahagian harta


DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


ASSALAMUALAIKUM Ustaz,

Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya.

Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian?

Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak keatas baki satu perempat harta peninggalan.

- Zahari Abdul Aziz, Selangor

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah... iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu'man bin Basyir berkata, "Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, 'Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu'man sebahagian daripada hartaku.' Baginda bersabda, "Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu'man?" Ayah menjawab, 'Tidak.' Baginda bersabda, "Carilah orang lain untuk menjadi saksi." Kemudian baginda berkata lagi, "Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?" Ayah menjawab, 'Ya.' Baginda bersabda, "Jika begitu jangan beri hanya kepada dia."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A'isyah r.a. telah berkata, 'Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...' (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta'. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A'isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

24 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Melanggar pantang ihram

SALAM Ustaz,
Saya telah mengerjakan umrah pada 2002. Saya telah berniat ihram di miqat qarnul manazil secara tidak sengaja saya melanggar pantang larang dalam ihram iaitu mengerat kuku. Dalam masalah saya apakah jenis dam yang perlu saya bayar? Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berpuasa selama tiga hari sebagai membayar dam atas kesalahan saya. Adakah sah puasa saya?

- Mak Su,
Ipoh, Perak.


Islam adalah agama yang menepati naluri dan fitrah manusia. Pensyariatan dalam Islam bersifat mudah dan tidak membebankan. Allah Ta'ala telah menyatakan dalam Surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud"Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam agama.";


Al-Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, telah berkata, "Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu dengan sesuatu yang kamu tidak mampu. Jika perkara yang diwajibkan ke atasmu itu membebankan kamu, maka pasti Dia akan memberi kemudahan. Sebagai contoh, solat yang merupakan amalan terhebat selepas dua kalimah syahadah diwajibkan empat rakaat semasa bermastautin, namun semasa mengembara dipendekkan kepada dua rakaat."

Seterusnya, di antara kemudahan yang Allah Taala berikan kepada umat Islam ialah segala tuntutan terhadap pelanggaran amalan dalam Islam dikecualikan dalam tiga situasi. Situasi pertama, tersilap atau tidak sengaja. Situasi kedua, terlupa manakala situasi ketiga, terpaksa. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini dalam sabdanya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah memaafkan untuk umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan terpaksa"
(Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1675. Disahihkan oleh al-Albani).

Allah Taala juga telah menjelaskan bahawa kesalahan yang boleh dihukum ialah yang dilakukan secara sengaja, manakala perbuatan yang dilakukan secara tersilap adalah dimaafkan. Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang bermaksud, "Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Berdasarkan kepada kaedah ini, dapatlah saya menjawab soalan Mak Su bahawa melanggar pantang larang dalam ihram seperti mengerat kuku secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan Mak Su tidak perlu membayar sebarang dam. Adapun puasa tiga hari yang Mak Su lakukan itu, semoga Allah menerimanya sebagai amalan puasa sunat daripada Mak Su.

Sebagai maklumat tambahan, sukacita saya membawakan satu hadis yang menunjukkan bahawa kafarah atau dam bagi orang berihram yang melanggar pantang larang ihram seperti mencukur rambut, mengerat kuku, menutup kepala, memakai baju, memakai tutup muka atau sarung tangan untuk perempuan dan seumpamanya; ialah menyembelih binatang ternakan atau berpuasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin; setiap seorang diberikan setengah gantang makanan. Perkara ini terdapat dalam hadis berikut, "Ka'b bin 'Ujrah berkata, "Saya telah dibawa berjumpa Rasulullah SAW dalam keadaan kutu terjatuh-jatuh atas muka saya. Lalu Rasulullah berkata, 'Aku tidak sangka sakitmu sampai ke tahap yang aku nampak ini. Adakah engkau mampu sembelih kambing?' Lalu aku menjawab, 'Tidak.' Rasulullah bersabda, 'Maka puasalah tiga hari atau beri makan kepada enam orang miskin, setiap seorang itu diberikan setengah gantang makanan.' "
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1816; 4517, dan juga al-Imam Muslim, No. 1201).

Semoga Allah Taala memudahkan untuk kita mempelajari hukum-hakam amalan ibadah yang akan kita laksanakan dan menerima amalan kebaikan yang telah kita lakukan serta mengampuni segala kelemahan dan kesilapan.

- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

28 April 2012

Hukum Duduk Atau Bersolat Di Atas Tanah Perkuburan

Soalan : Saya masih belum faham tentang larangan bersolat di atas kubur dan menghadap jurusan kubur semasa solat ? 

Jawapan : Sebenarnya terdapat beberapa pendapat ulama ahli Sunnah dalam bab ini untuk kita renungi dan memahaminya berdasarkan keterangan yang sah untuk dibuat hujah. 
1. Pendapat imam Ahmad : Adalam haram solat di kuburan tidak kira ianya digali atau tidak, sama ada di lapik tikar di atasnya untuk mengelak kotoran, ditempat yang antaranya ada kuburan atau di adakan padanya (kubur itu) pengasingan. Bagi imam Ahmad ianya tetap terlarang. 
2. Demikian juga pendapat Ahli Zahir, mereka sependapat dengan Ahmad dalam hal ini. Mereka tiada membezakan kubur orang muslim atau bukan muslim. 

3. Ibnu Hazm menjelaskan : Sebahagian ulama salaf berpendapat tidak boleh solat di kuburan. Di antara yang berpendapat demikian dari kalangan sahabat ialah : Ali, Abu Hurairah, Anas dan Ibnu Abbas.Ibnu Hazm dalam Al Muhalla menjelaskan : Tidak di bolehkan solat menghadap ke kubur dan tidak di bolehkan di atasnya, walaupun kuburan Nabi sekali pun. 
4. Asy Syafei berpendapat : Bahawa jika kuburan itu, terbuka dan terhambur padanya daging dan nanah, maka solat di tengah tengah tempat itu tidak sah, tetapi jika solat di tempat yang suci (dari bahagian kubur itu) sah. 


 5. Ar Rafi’ berpendapat : solat di perkuburan itu makruh. 
6. Ats Tsauri, Al Auzai dan Abu Hanifah berpendapat solat di kuburan itu makruh. 
7. Malik pula berpendapat solat di kuburan itu dibolehkan. 

8. Ibnu Juraiji menjelaskan : Aku pernah bertanya Atha, apakah tuan membenci orang yang mengerjakan solat di tengah tengah kuburan atau berhadapan kepadanya ? Beliau (Atha’) menjawab : Benar saya tidak suka. Tetapi jika ada sutrah (batas pelindung/pemisah) di antara engkau dengan kubur, barulah boleh engkau solat dengan berhadapan kepadanya. 

Demikian beberapa pendapat dari para ulama dan sahabat Nabi saw. yang dapat saya bawa untuk renungan para hadirin, kesimpulannya tak kira pendapat sesiapa, yang penting ianya berdasarkan As Sunnah, iaitu tidak berlawanan dengan apa yang di bawa oleh Rasulullah saw., maka itu tempat pengambilan kita untuk beramal. Dalam bab ini kita telah pun membawa beberapa keterangan hadits pada pelajaran yang lalu yang menerangkan tentang larangan solat di atas kubur dan menghadap jurusannya. 

Yang terbaik dalam masalah ini adalah kita menjauhi tempat atau keadaan yang demikian, menjauhi bermakna kita telah keluar dari masalah tersebut. Tetapi jika tidak ada pilihan maka bersolatlah di masjid yang ada padanya pemisah atau sutrah yang memisahkan antara kita dengan kubur dan jangan seboleh bolehnya arah Qiblat kita ke arah jurusan kubur tersebut walaupun ada sutrah mengingati hadits Aisyah r.a. yang menjelaskan kubur Rasulullah saw. itu di buat berbucu atau bersegi agar tiada sesiapa pun yang secara langsung menghadap ke arah kubur Rasulullah saw. apabila masjid di besarkan, tentang di bolehkan solat dengan ada sutrah itu sebagaimana yang telah di jelaskan oleh Atha’. Tetapi bersolat di atas kuburan atau didirikan tempat solat sedang ianya sebenarnya adalah kubur yang didirikan bangunan sejauh pencarian saya ianya adalah suatu larangan, maka jauhilah perkara yang sedemikian, walaupun ada ulama yang membolehkan kerana keterangan hadits dalam bab ini adalah jelas sekali : 


عَنْ اَبِى مَرْثَدٍ الْغَنَوِيّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: لاَ تُصَلُّوا إِلَى الْقُبُورِ وَلاَ تَجْلِسُوا عَلَيْهَا

Dari Abu Martsad Al Ghanawi r.a. berkata : Nabi saw. bersabda : “Janganlah kamu solat di kuburan dan janganlah kamu duduk di atasnya.” H.R. Jamaah selain Bukhari dan Ibnu Majah. 


عَنْ جُنْدُبِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ الله ص قَبْلَ أَنْ يَمُوتَ بِخَمْسٍ وَهُوَ يَقُولُ: إِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قَبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيْهِمْ مَسَاجِدَ، أَلاَ فَلاَ تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّيْ اَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ


Dari Jundub bin Abdullah Al Bajali r.a. berkata : Lima hari sebelum beliau (Rasulullah saw.) wafat, saya mendengar Rasulullah saw. bersabda : “Bahawasanya orang orang yang sebelum kamu (umat umat terdahulu) mempergunakan kuburan kuburan Nabi Nabinya dan orang solehnya menjadi masjid. Aku menegah kamu dari yang demikian.” H.R. Muslim. 

Dan terdapat sebahagian umat Islam mengambil pendirian tentang dibolehkan duduk atas kubur, lalu mereka pun duduk sambil membaca talqin, doa, ayat ayat Quran di kuburan. Mereka mungkin beralasan dengan hadits dari Sahih Bukhari : ‘Bahawa Yazid bin Tsabit saudara dari Zaid bin Tsabit pernah duduk di atas kubur dan beliau berkata : Tidak disukai kita duduk atas kubur, adalah kalau duduk itu untuk melepaskan hadas.’ 

Hadits ini walaupun sanadnya sahih, matannya (isi kandungannya) bertentangan dengan sekian banyak hadits lainnya yang sahih. Jadi kata kata sahabat dari hadits ini tidak dapat kita ambil sebagai hujah kerana bertentangan dengan sabda Rasulullah saw. yang diriwayatkan oleh banyak hadits dari berbagai jalur yang tidak dapat tidak menjadi hujah yang cukup kuat untuk kita pegang berbanding kata kata seorang sahabat.

01 March 2012

Bacaan Yang Sunnah Selepas Membaca al-Quran


عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ : مَا جَلَسَ رَسُولُ اللهِ مَجْلِسًا قَطُّ، وَلاَ تَلاَ قُرْآناً، وَلاَ صَلَّى صَلاَةً إِلاَّ خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتٍ، قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَرَاكَ مَا تَجْلِسُ مَجْلِساً، وَلاَ تَتْلُو قُرْآنًا، و...َلاَ تُصَلِّي صَلاَةً إِلاَّ خَتَمْتَ بِهَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ ؟قَالَ:
 (( نَعَمْ، مَنْ قَالَ خَيْراً خُتِمَ لَهُ طَابَعٌ عَلَى ذَلِكَ الْخَيْرِ، وَمَنْ قَالَ شَرّاً كُنَّ لَهُ كَفَّارَةً: سُبْحَانَكَ [اللَّهُمَّ] وَبِحَمْدِكَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ


Daripada Aisyah RA berkata, “Tidaklah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam- duduk di suatu tempat atau membaca al Qur’an ataupun melaksanakan sollat kecuali baginda akhiri dengan membaca beberapa kalimat”. Akupun bertanya kepada Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam-, “Ya Rasulullah, saya melihat engkau tidak duduk di suatu tempat, membaca al Qur’an ataupun mengerjakan sollat melainkan anda akhiri dengan beberapa kalimat?” Baginda menjawab, “Betul, sesiapa yang mengucapkan kebaikan maka dengan kalimat tersebut amal tadi akan dilekatkan dengan kebaikan. Barang siapa yang mengucapkan keburukan maka kalimat tersebut berfungsi untuk menghapus dosa. Itulah ucapan Subhanakallahumma wa bihamdika laa ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaika. ”

HR an-Nasai di dalam as-Sunan al-Kubra dan lain-lain.
Hadith di nilai Sahih oleh syaikh Muqbil dalam kitabnya Al-Sahih Al-Musnad mimma Laisa fi Al-Sahihain, no. 1619

06 February 2012

RIYADUS SOLIHIN BAB IKHLAS

Benarkah Sistem Beraja Bukan Sistem Islam, Bolehkah Ianya Diperangi ?

BULUGHUL MARAM : Bab Kiblat


Hadits Ke 225
عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيْعَةَ قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ ص فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَاَشْكَلَتْ عَلَيْنَا الْقِبْلَةُ فَصَلَّيْنَا فَلَمَّا طَلَعَتِ الشَّمْسُ اِذَا نَحْنُ صَلَّيْنَا اِلَى غَيْرِ الْقِبْلَةِ فَنَزَلَتْ " فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ الله "
Dari Amir bin Rabi’ah. Ia berkata : ‘Kami pernah beserta Nabi saw. di satu malam yang gelap, lalu dibingungkan kami oleh (letaknya arah) qiblat, lalu kami solat. Maka dikala terbit matahari, ternyata bahawa kami telah solat tidak menghadap qiblat. Lalu turun (ayat yang ertinya) : ‘Maka ke mana kamu menghadap, maka di situ ada keredaan Allah.’

Dikeluarkan dia oleh Tirmidzi, tetapi ia lemahkan dia.

Hadits ini dhaif kerana dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Al Asy’ats ibn Said As Samman yang dipandang lemah.

Dalam hadits riwayat Ath Thabarani dinyatakan :

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ: صَلَّيْنَا مَعَ رَسُولِ الله ص فِي يَومٍ غَيمٍ فِي سَفَرٍ اِلَى غَيرِ الْقِبْلَةِ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ وَسَلَّمَ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ الله صَلَّيْنَا اِلَى غَيْرِ الْقِبْلَةِ فَقَالَ قَدْ رُفِعَتْ صَلاَتُكُمْ بِحَقِّهَا اِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Dari Muaz ia berkata : ‘Kami pernah solat beserta Rasulullah saw. ke arah yang bukan qiblat di suatu hari yang amat mendung, dalam suatu perjalanan. Maka manakala sudah selesai solat, terbit matahari. Kami bertanya (kepada Rasulullah saw.) : ‘Ya Rasulullah, matahari telah terbit dan rupanya kita telah menghadap ke arah bukan qiblat.’ (Rasulullah saw.) menjawab : “Telah diangkat solatmu dengan segala haknya kepada Allah.”
H.R. Ath Thabarani.

Dalam riwayat hadits ini terdapat seorang perawi yang bernama Abu Abdullah Abalah Syammir ibn Atha. Menurut pendapat Ibnu Hibban, Abu Abdullah ini, kepercayaan (ثقة).

Ulama berselisih dalam bab ini kepada beberapa pendapat :
1. Asy Sya’bi menjelaskan : ‘Ulama Hanafiyah dan Ulama Kufah berpendapat, bahawa orang yang solat dan tidak menghadap ke arah qiblat kerana terlalu gelap, tetap sah (solat) asal saja mereka berijtihad. Tetapi jika diketahui menghadapnya itu salah, maka wajib diulangi.
2. Asy Syafie berpendapat : ‘Solat wajib diulangi, baik masih ada waktu, maupun sudah keluar (iaitu apabila di ketahui arah qiblat itu salah arah).
3. Sebahagian ulama berpendapat : Tidak wajib diulangi solat jika mengetahui arah qiblat selepas bersolat itu salah arah, jika telah di luar waktu. Tetapi jika diketahui dalam waktu, iaitu masih ada kesempatan untuk mengulangi maka wajib mengulanginya semula.
4. Ash Syan’ani dan Asy Syaukani berpendapat : Hadits hadits ini (dalam bab tersalah arah qiblat), walaupun ada yang mendhaifkan, namun dapat dijadikan hujah, kerana banyak benar jalan datangnya. Solat itu tidak perlu diulangi lagi, kerana mengingati hadits hadits di atas.

Bersandarkan kepada peristiwa peralihan kiblat sebagaimana tersebut dalam beberapa riwayat sebagai berikut:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: بَيْنَمَا النَّاسُ بِقُبَاءَ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ اِذْ جَاءَهُمْ آتٍ فَقَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَدْ اُنْزِلَ عَلَيْهِ اللَّيْلَةَ قُرْآنٌ وَقَدْ اُمِرَ اَنْ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ فَاسْتَقْبِلُوْهَا وَكَانَتْ وُجُوْهُهُمْ اِلَى الشَّامِ فَاسْتَدَارُوْا اِلَى الْكَعْبَةِ
Daripada Ibnu Umar ia berkata: Pada suatu hari di kala kaum muslimin solat Subuh di masjid Quba' datanglah kepada mereka seorang lelaki sambil berkata: Bahawasanya kepada Nabi saw telah diturunkan pada malam ini wahyu yang menyuruh menghadap ke kiblat (Kaabah) kerana itu menghadaplah kamu sekalian ke arahnya. Maka mereka yang sedang solat itu pun menghadaplah ke kiblat sedang hadapan mereka pada kala itu ke arah Syam, mereka memutarkan diri mereka ke Kaabah.
Riwayat Bukhari dan Muslim
عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ يُصَلِّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَنَزَلَتْ قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَآءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَمَرَّ رَجُلٌ مِنْ بَنِى سَلَمَةَ وَهُمْ رُكُوْعٌ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَقَدْ صَلُّوْا رَكْعَةً فَنَادَى اَلاَ اِنَّ الْقِبْلَةَ قَدْ حُوِّلَتْ فَمَالُوْا كَمَا هُمْ نَحْوَ الْقِبْلَةِ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Bahawa pada suatu hari Rasulullah saw sedang solat menghadap ke Baitul Maqdis maka turunlah kepadanya firman Allah (bermaksud) "Sesungguhnya Kami (sering) melihat bolak-balik mukamu ke langit[1] maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram – Al-Baqarah ayat 144 -". Seorang lelaki dari golongan Bani Salamah yang mendengar wahyu itu di ketika pulang melalui segolongan kaum yang sedang solat Subuh dan telah masuk ke rakaat kedua maka berserulah dia: Ketahuilah bahawa kiblat itu telah dipalingkan. Maka mereka yang sedang solat itu pun memalingkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah)
Riwayat Muslim
Berkata Al-Hafiz dalam Fathul Bari: Penggantian kiblat itu diterima oleh Nabi saw di kala akan solat Zohor. Tersiarnya berita ke seluruh kota Madinah di kala telah masuk waktu Asar dan sampainya berita itu ke Quba' (satu kampung yang jauhnya 3 mil dari Madinah) adalah pada solat Subuh esoknya. Ubbad bin Basyar dari Bani Salamah yang menyampaikan kepada penduduk Quba'.



[1] Maksudnya ialah Nabi Muhammad saw sering melihat ke langit mendoa dan menunggu-nunggu turunnya wahyu yang memerintahkan beliau menghadap ke Baitullah
Kesimpulannya
Beramal dengan hadits hadits di atas lebih utama dari beramal dengan ijthad seseorang ulama, kerana ijtihad seorang ulama itu belum tentu benar atau salahnya. Walaupun hadits hadits dalam bab ini lemah tetapi datang dari banyak jalan periwayatannya, yang tidak dapat tidak apabila ia disatukan akan saling menguatkan antara satu dengan yang lain sehingga menghasilkan kekuatan yang mencukupi untuk menjadi hujah. Demikianlah menurut kaedah ilmu hadits dalam mengatasi masalah yang padanya tiada hadits sahih untuk menjadi alasan tetapi terdapat kumpulan hadits dhaif yang saling menguatkan antara satu dengan lainnya.

Maka kesimpulannya apabila kita telah berijtihad tentang arah qiblat disebabkan mendung, gelap malam atau sebab sebab lainnya yang menghalang kita pada menentukan arah qiblat, solat itu telah memadai dan tidak perlu diulang lagi apabila kita mengetahui arah sebenar qiblat. Iaitu apabila kita sedar yang arah qiblat dari ijtihad itu salah, maka tak perlu diulangi baik masih ada waktu atau sudah diluar waktu. Kerana setiap ibadah yang kita ingin lakukan hendaklah ada contoh dari Rasulullah saw., apabila tiada contoh dari seorang Rasul, yang terbaiknya jangan kita lakukan. Itulah jalan yang selamat dalam melakukan ibadah menurut As Sunnah.

Hadits Ke 226

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ
Dari Abu Hurairah, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw.: “Barang yang antara Masyriq (terbit matahari) dan Maghrib (terbenam matahari) itu qiblat.”
Diriwayatkan dia oleh Tirmidzi dan dikuatkan dia oleh Bukhari.

Dalam riwayat lainnya Ibnu Umar berkata : ‘Apabila engkau jadikan pihak Maghrib di sebelah kanan mu dan Masyriq di sebelah kirimu, maka yang engkau hadapi itu qiblat.’
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص لَمَّا دَخَلَ الْبَيْتَ دَعَا فِي نَوَاحِيْهِ وَلَمْ يُصَلِّ فِيهِ حَتَّى خَرَجَ فَلَمَّا خَرَجَ رَكَعَ رَكْعَتَيْنِ فِي قِبَلِ الْقِبْلَةِ وَقَالَ هَذِهِ الْقِبْلَةُ
Dari Usamah bin Zaid r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. dikala masuk ke dalam Baitullah, Nabi berdoa di sudut sudutnya dan tidak solat. Kemudian beliau ke luar, lalu solat dua rakaat di muka Ka’bah, lalu bersabda : “Inilah Qiblat.”
H.R. Bukhari dan Muslim.

Imam An Nawawi berpendapat dari keterangan keterangan hadits di atas : Wajib atas orang yang berdekatan dengan Ka’bah menghadap terus ke Ka’bah itu. Dalam pada itu tidak di mestikan berhadapan terus bahagian tengahnya, boleh juga pada arah sudut atau seginya. Orang yang bersolat dalam Al Masjidil Haram dengan menghadap ke hijir Ismail, tidak tepat di hadapan jurusan Ka’bah, menurut pendapat yang lebih sahih, tidak sah solatnya.

At Tirmidzi menjelaskan : Kebanyakan Sahabat Nabi saw. berpendapat sebagaimana yang telah di tetapkan oleh Ahmad yakni, qiblat terletak antara Masyriq dan Maghrib. Orang Timur, menghadap ke Barat, orang Barat menghadap ke Timur, orang Utara menghadap ke Selatan dan orang Selatan menghadap ke Utara.. Di antara Sahabat yang berpendapat demikian, Umar, Ali dan Ibnu Abbas.
RUJUKKAN KOLEKSI HADITS HUKUM 2 –T.M. HASBI,m.s.393-394.

Kesimpulannya
Wajib kita solat menghadapi qiblat dan apabila kita menghadapi masalah dalam menentukan arahnya apabila berada jauh dari Ka’bah, maka boleh kita menggunakan panduan yang telah di jelaskan oleh hadits hadits di atas dan berijtihad untuk mengetahui arah Ka’bah dengan melihat arahnya matahari, bulan dan bintang. Yang demikian itu ada petunjuk dari Allah, bahawa bintang bintang itu adalah petunjuk arah. Dan bagi orang zaman ini telah ada penunjuk arah qiblat yang dapat di gunakan dengan senang iaitu kompas qiblat.

Hadits hadits di atas juga menjelaskan wajib orang yang berdekatan Ka’bah menghadap zat Ka’bah (tepat pada Ka’bah) manakala orang yang jauh itu menghadap arahnya bukan pada zat Ka’bah. Hanya orang yang berada dekat Ka’bah sahaja yang mampu menghadap tepat kepada zat Ka’bah. Al Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda : “Baitullah adalah qiblatnya orang yang berada di Masjid (Haram), sedang Masjid (Haram) adalah qiblat bagi penduduk Mekah, dan Mekah adalah qiblat bagi penduduk dunia dari umatku di barat dan timur.”
TERJEMAHAN NAILUL AUTHAR 2 – PT BINA ILMU,M.S.480.

Hadits Ke 227

عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيْعَةَ قَالَ: رَاَيْتُ رَسُولَ الله ص يُصَلِّى عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ. متفق عليه.
وزاد البخاري: يُومِئُ بِرَأْسِهِ – وَلَمْ يَكُنْ يَصْنَعُهُ فِي الْمَكْتُوبَةِ
Dari Amr bin Rabi’ah. Ia berkata : ‘Saya lihat Rasulullah saw. solat di atas tunggangan/kenderaannya (menghadap) ke arah yang ia dibawa (tunggangan/kenderaan) itu.’
Muttafaq ‘alaih dan Bukhari tambah : ‘………. Beliau saw mengisyarat dengan kepalanya, dan tidak beliau kerjakan demikian di (solat) yang difardukan.’

Hadits Ke 228

ولأبي داود من حديث أنس: وَكَانَ اِذَا سَافَرَ فَاَرَادَ اَنْ يَتَطَوَّعَ اسْتَقْبَلَ بِنَاقَتِهِ الْقِبْلَةَ فَكَبَّرَ ثُمَّ صَلَّى حَيْثُ كَانَ وَجْهُ رِكَابِهِ
Dan bagi Abu Daud dari hadits Anas : Dan adalah ia (Nabi saw.) apabila dalam safar (perjalanan) dan hendak solat sunnat, beliau menghadap qiblat dengan untanya, lalu beliau bertakbir, kemudian beliau solat (menghadap) ke mana muka kenderaannya/tunggangannya (menghadap). Dan isnadnya hasan (baik).

Kesimpulannya
Hadits no 227 dan no 228 jika tidak dikumpulkan akan membawa faham boleh solat sunnat semasa dalam perjalanan/musafir itu dilakukan di atas kenderaan dengan tidak menghadap qiblat dan boleh juga dengan memulakan solat sunnat itu dengan menghadap qiblat semasa takbir yang awal (Takbiratul ihram) kemudian meneruskan solat walaupun kenderaan itu telah mengarah ke arah lain. Ini adalah pendirian sebahagian ulama.

Manakala sebahagian ulama pula mengambil pendirian dengan menghimpun hadits hadits dalam bab ini yang sebenarnya bukanlah sekadar dua hadits di atas, tetapi ada lagi hadits yang diriwayatkan dari Jabir ibn Abdullah r.a. ia berkata : ‘Adalah Nabi saw. mengerjakan di atas kenderaan segala solat sunnat dengan menghadap ke setiap penjuru, dan beliau merendahkan sujudnya daripada ruku dan mengisyaratkannya.’
H.R. Ahmad.

Terdapat riwayat dari Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar yang hampir semakna dengan hadits Amr’ bin Rabi’ah. Golongan ulama ini menghimpunkan hadits hadits dalam bab ini dan melahirkan hujah : ‘Hendaklah kita menghadap qiblat semasa bertakbir saja, kemudian tidak mengapa jika arah qiblat itu berubah.’

Oleh sebab tidak ditegaskan oleh Rasulullah saw. dalam bab ini dengan satu perintah pun dari perbuatannya itu maka pendirian saya dalam bab ini adalah : menghadap qiblat dalam solat sunnat di atas kenderaan itu adalah hukumnya sunnat sahaja, dan dibolehkan jika tidak menghadap ke arahnya. Sila renungi permasalahan ini dan ambillah pendirian berdasarkan nash, semoga kita beramal dengan ilmu yang jelas dari keterangan hadits bukan bertaklied. Jika hasilnya kita berbeza faham setelah kita kembali kepada dalil yang sah, maka yang demikian itu terserahlah kepada Allah.

Soalan : Apakah boleh kita bersolat fardu di atas kenderaan kerana hujan atau keadaan keadaan lainnya yang sangat sukar untuk kita bersolat berdiri?
Jawab : Dalam sebuah hadits riwayat Ahmad dan Tirmidzi di ceritakan :

عَنْ يَعْلَى بْنِ مُرَّةَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص اِنْتَهَى اِلَى مُضِيْقٍ هُوَ وَاَصْحَابُهُ وَهُوَ عَلَى رَاحِلَتِهِ وَالسَّمَاءُ مِنْ فَوقِهِمْ وَالْبَلَّةُ مِنْ اَسْفَلَ مِنْهُمْ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَاَمَرَ الْمُؤَذِّنَ فَاَذَّنَ وَاَقَامَ ثُمَّ تَقَدَّمَ رَسُولُ الله ص عَلَى رَاحِلَتِهِ فَصَلَّى بِهِمْ يُومِئُ اِيْمَاءً يَجْعَلُ السُّجُودَ اَخْفَضَ مِنَ الرُّكُوعِ
Dari Ya’la ibn Murrah r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. sampai ke suatu jalan yang sempit antara bukit bukit, dan hujan turun membasahinya, tanah pun basah, beliau berada di atas kenderaan, dan masuk waktu solat. Dan Nabi saw. menyuruh muazin untuk azan. Maka setelah azan dan iqamat, Rasulullah saw. pun memajukan kenderaannya ke hadapan. (Nabi saw.) solat di ikuti oleh sahabat yang berada di belakangnya. (Nabi saw.) hanya mengisyaratkan saja ruku’ dan sujudnya. Beliau menundukkan badannya untuk sujud lebih rendah dari untuk ruku’nya.’

Hadits ini di katakan dhaif oleh Al Baihaqi tetapi Asy Syaukani menjelaskan hadits ini telah di sahihkan oleh Abdul Haq Al Asybili dalam kitab Al Ahkamnya, dan dipandang hasan oleh An Nawawi.

Ahmad dan Ishaq ibn Rahawaih berpendapat : Boleh solat di atas kenderaan binatang, bila tiada tanah yang kering. At Tirmidzi menjelaskan : Ada diriwayatkan dari Anas ibn Malik bahawa beliau pernah solat di atas kenderaan, kerana hujan dan tanah basah.

Islam itu adalah agama yang membawa kemudahan kepada umat Islam, oleh yang demikian dalam melaksanakan ibadah solat lakukan sekadar yang termampu asalkan jangan di tinggalkan. Banyak hadits yang menjelaskan cara melakukan solat sekadar keupayaan seseorang itu. Solatlah dengan cara kita mampu apabila kita mungkin berada di dalam bas di negeri yang orangnya bukan Islam yang tidak memberi ruang untuk kita berhenti di tempat yang sempurna untuk bersolat fardu. Ataupun kita berada di atas kapal terbang, perahu dan sebagainya. Jika mampu berdiri maka berdirilah, usahakan untuk menghadap jurusan qiblat pada awal solat iaitu sewaktu takbirratul ihram, jika mampu ruku’ dan sujud maka lakukanlah, jika tidak memadai dengan berisyarat sebagaimana hadits di atas. Perkataan sahabat bahawa Rasulullah saw. tidak pernah bersolat fardu di atas kenderaan itu bukan bermaksud Rasulullah saw. tidak pernah melakukannya tetapi itu adalah dari apa yang mereka tahu dan lihat. Iaitu sekadar pengetahuan mereka, tetapi yang nyata di luar pengetahuan mereka ada Rasulullah saw. bersolat fardu di atas kenderaan dan disaksikan oleh sahabat yang lain. Sekian penjelasan dari saya sekadar kemampuan ilmu saya dan sila beri teguran di atas kesilapan atau kekeliruan saya berdasar As Sunnah.

BULUGHUL MARAM : Bab Aurat Wanita


Kita telah bincangkan pada kelas yang lalu tentang aurat wanita dan kesimpulannya adalah : keseluruhan tubuh wanita itu kecuali yang boleh di zahirkan adalah pergelangan tangan dan mukanya. Hukum ini berlaku di dalam solat ataupun di luar solat. Maka para ulama memberikan beberapa pendapat dalam bab ini berdasarkan kefahaman mereka dari hadits hadits yang telah kita bincangkan.

1. Asy Syafie dan Al Auzai’ berpendapat : Wajib ditutup semua badannya selain dari muka dan telapak tangannya. Pendapat ini diriwayatkan dari Ibnu Abbas dab Atha’. Kata Malik bin Anas: Apabila seseorang perempuan solat dengan terbuka rambutnya atau belakang tapak kakinya hendaklah diulangi solatnya itu kalau ada waktu. Menjelaskan bahawa seluruh badan wanita itu aurat kecuali muka dan telapak tangan atau pergelangan tangan, dan menjelaskan bahagian kaki itu jika terbuka semasa solat termasuk dalam aurat. Ini berdasarkan hadits dari Ummu Salamah r.a. ia berkata :

سَأَلْتُ النَّبِيَّ ص: أَتُصَلِّيْ الْمَرْأَةُ فِي دَرْعٍ وَخِمَارٍ وَلَيْسَ عَلَيْهَا اِزَارٌ. قَالَ: اِذَا كَانَ الدَّرْعُ سَائِغًا يُغَطِّى ظُهُورَ قَدَمَيْهَا
Aku telah bertanya kepada Nabi saw. : “Apakah boleh seorang perempuan solat dengan hanya memakai baju kurung yang dapat menutupi badan dan kakinya serta memakai khimar dengan tidak lagi memakai kain pinggang ?” Nabi saw. menjawab : “Sekiranya baju kurung itu panjang dari atas sampai ke bawah boleh menutupi belakang tapak kakinya (kedua kakinya), tentulah boleh.” H.R. Abu Daud.

2. Kata Ahmad bin Hambal. Seluruh badan perempuan, sehingga kukunya wajib ditutupi dalam solat. Kata Abu Hanifah dan pengikut pengikutnya : Apabila perempuan solat padahal seperempat atau sepertiga rambut kepalanya terbuka (kelihatan) , ataupun seperempat atau sepertiga bahagian perutnya nampak, maka nilai solatnya kurang, tetapi solatnya tetap sah. Kalau bahagian rambut atau perut yang terbuka kurang dari yang disebutkan di atas, maka nilai solatnya tidak kurang sedikitpun.

2. Al Hafiz Ibnu Hajar pula menjelaskan : Jumhur berpendapat, bahawa menutupi aurat perempuan adalah menjadi syarat sah solatnya.

3. Sebahagian ulama Malikiyiah berpendapat : menutupi aurat (dalam solat) adalah sunnat, solat tidak batal dengan terbukanya aurat.

Segala keterangan yang berhubung dengan masalah aurat, menyatakan bahawa menutup aurat adalah wajib tetapi ianya bukan menjadi syarat sah solat, demikian diperoleh kesimpulan dari hadits-hadits yang ada dalam bab ini. Mengambil dalil untuk mensyaratkan sah solat wanita dengan menutup aurat dari hadits Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw, bersabda :
عَنْ عَائِشَةَ اَنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ يَقْبَلُ اللهُ صَلاَةَ حَائِضٍ اِلاَّ بِخِمَارٍ
Dari Aisyah, bahawasanya Nabi saw. telah bersabda : “Allah tidak terima solat seseorang yang berhaid (sudah baligh) melainkan dengan (memakai) tudung (menutup kepala dan leher).”
Diriwayatkan dia oleh LIMA kecuali Nasai, dan disahkan dia oleh Ibnu Khuzaimah.

dapat dipalingkan dengan beberapa jalan. Nabi saw. telah menjelaskan tentang Allah tidak menerima solat budak (hamba) yang lari dari tuannya dan tidak menerima solat orang yang ada arak dalam perutnya, solat orang yang melakukan bid’ah itu tertolak dan Allah tidak menerima solat orang yang mendatangi tukang tilik atau nujum. “Tidak menerima solat” bukan bermakna mereka tidak perlu solat atau tidak sah solat mereka, mereka tetap wajib bersolat sebagaimana diperintahkan syara’ dan solat itu sah apabila cukup syarat-syaratnya tetapi solat tersebut tidak diterima Allah. Ijma’ menetapkan bahawa solat yang dilakukan orang-orang tersebut adalah sah apabila cukup syarat-syarat sah solat.

Maka yang lebih jelas dalam masalah ini adalah pendapat yang menetapkan bahawa menutup aurat itu adalah suatu kewajipan, bukan syarat sah solat. Orang yang solat tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna semasa bersolat itu, solatnya sah, demikian ijma’ memandang sah solatnya orang yang ada arak dalam perutnya, orang yang mendatangi tukang tilik dan budak sahaya yang lari dari tuannya, tetapi walaupun sah solatnya tetaplah solat mereka tidak diterima Allah kerana kesalahan yang telah mereka lakukan, itu merupakan hukuman ke atas kesalahan mereka, mereka telah melakukan satu dosa.

Ringkasnya, menutup aurat dalam solat adalah satu kewajipan, bukan syarat sahnya solat. Seseorang yang bersolat dengan terbuka auratnya, solatnya itu sah tetapi ia berdosa kerana tidak menutup aurat.

Dan sepatutnyalah kita dalam melakukan ibadah solat itu menjauhi dosa dan berusaha untuk melakukan solat itu dengan sempurna dan menepati sunnah Rasulullah saw. Jika apa yang tercatat dalam penulisan ini ada yang bertentangan dengan dalil yang sahih sila beri teguran


Soalan : Apakah perlu diulang solat jika terbuka auratnya tanpa sengaja?

Secara keseluruhannya dari himpunan hadits hadits, tidak dapat kita katakan bahawa menutup aurat itu syarat sahnya solat tetapi orang itu berdosa bila melakukan dengan sengaja. Apabila berlaku terbukanya aurat dengan tidak sengaja, maka belum ditemui sebuah hadits pun yang menunjukkan terdapat sunnah daripada Rasulullah saw untuk mengulangi solat tersebut. Imam imam mazhab berselisih pendapat dalam masalah aurat yang terbuka secara tidak sengaja dalam solat :

1. Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat : Jika terbuka sedikit aurat di dalam solat, solat tidak batal.

2. Abu Hanifah menjelaskan pendapatnya bahawa jika aurat mughalazah (yang sangat dituntut menutupnya iaitu qubul dan dubur) terbuka sekadar sedirham, atau aurat mukhaffafah (yang dipandang kurang baik terbukanya iaitu peha) terbuka kurang dari seperempat aurat, maka ini tidak membatalkan solat.

3. Ahmad pula berpegang kepada hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan hadits Ashim Al-Ahwal yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasai. Hadits hadits ini membolehkan aurat terbuka sedikit dalam solat. Ahmad menolak batas batas sedirham dan seperempat yang dibuat oleh Abu Hanifah, kerana tidak ada keterangan.

4. Kata At Tamimi : Jika auratnya pada satu ketika menjadi jelas dan tertutup pada suatu ketika, solat tak payah diulangi (iaitu seperti di tiup angin, asalnya tertutup kemudian terbuka kerana di tiup angin).

5. Imam Asy Syafei pula berpendapat solat itu batal jika aurat itu terbuka walaupun sedikit.

6. Ahmad dalam satu pendapatnya lagi menjelaskan : Jika aurat itu terbuka dengan tidak sengaja dan ditutup dengan cepat maka menurut pendapat Ahmad, tidak membatalkan solat.

Demikian saya bawakan beberapa pendapat ulama mazhab dalam persoalan di atas. Ambillah pendirian yang kukuh berdasarkan nash yang sahih. Sesungguhnya pendapat ulama itu bukanlah hujah, yang menjadi hujah adalah keterangan dari As Sunnah yang di bawanya.

Adab menutup aurat wanita itu berdasarkan keterangan :

1. Firman Allah :
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Janganlah mereka (wanita wanita) itu menampakkan perhiasan melainkan apa yang zahir saja dan hendaklah mereka ulurkan tudung kepala mereka di atas dada mereka.” Q.S. An Nur ayat 31 [24:31]

Kita telah bincangkan tentang perhiasan yang zahir itu pada pelajaran yang lalu iaitu muka, celak di mata, bekas gelang dan cincin.
قَالَ ابنُ عَبَّاسٍ: الزَّانِيَةُ الظَّاهِرَةُ الْوَجْهُ وَكُحْلُ الْعَيْنِ وَخِضَابُ الْكَفِّ وَالْخَاتَمُ
Telah berkata Ibnu Abbas : ‘Perhiasan yang zahir itu ialah muka, celak di mata, inai di tapak tangan dan cincin.’ H.R. Ibnu Jarier.

Hendaklah wanita yang bertudung itu melabuhkan tudungnya atas dada atau melilitkan dengan menutupi bahagian leher dan dada sehingga tidak ternampak padanya perhiasan baik dari tubuhnya mahupun yang dipakainya seperti subang, kalung dan lainnya. Perkataa khumur di ayat di atas adalah beberapa khimar. Dalam tafsir Ibnu Khasier dijelaskan : ‘Khimar itu sesuatu yang di buat tudung atau tutup kepala dan dikenali juga dengan nama miqna’. Miqna’ atau terkenal juga dengan panggilan mugna’ ialah telekung atau kain tudung.

2. Firman Allah : Al-Ahzab ayat 33 [33:33]
وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“Dan janganlah kamu (isteri isteri Nabi) menampakkan perhiasan sebagaimana hal jahiliyah yang dahulu.
قَالَ مُقَاتِل: التَّبَرُّجُ اَنَّهَا تُلْقِي الْخِمَارَ عَلَى رَأْسِهَا وَلاَ تَشُدُّهُ فَيُوَارِيَ قَلاَئِدَهَا وَقُرْطَهَا وَعُنُقَهَا
Telah berkata Muqaatil : Perkataan Tabarruj (nampakkan perhiasan) yang tersebut di ayat itu, ialah seorang wanita bertudung dengan tidak membelitkan dia (melainkan) hingga tertutup kalung leher, subang dan tengkuknya.

3. Firman Allah : Al-Ahzab ayat 59 [33:59]
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ
“Hai Nabi ! Suruhlah isteri isterimu dan anak anak mu dan perempuan perempuan Islam menghulurkan tudung sarung mereka atas (muka) mereka.”

Setelah memakai tudung yang menutupi kepala dan labuh ke atas dada lalu Allah memerintahkan lagi para wanita agar di pakai lagi sehelai tudung yang di hulurkan sedikit ke atas muka mereka.

Demikian secara terperinci Allah menjelaskan dalam bab aurat wanita yang perlu di tutup dan cara menutupnya. Maka adalah wajib bagi seorang wanita Muslim yang telah baligh itu menutup aurat baik di luar solat atau di dalam solat. Di kecualikan di luar solat itu, orang yang boleh melihat auratnya yang lazim adalah sebagaimana firman Allah : An-Nur ayat 31 [24:31]
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ
“Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, melainkan kepada (1) suami suami mereka (2) bapa bapa mereka (3) bapa bapa bagi suami mereka (4) anak anak mereka (5) anak anak bagi suami suami mereka (6) saudara saudara lelaki mereka (7) anak anak bagi saudara saudara lelaki mereka (8) anak anak bagi saudara perempuan (9) wanita wanita Islam (10) hamba hamba mereka (12) orang orang gaji yang tidak berkemahuan kepada wanita (12) atau anak anak yang belum mempunyai keinginan kepada wanita.”

Ayat Al Quran ini menjelaskan tentang orang orang yang di bolehkan bagi wanita untuk membuka aurat lebih dari muka dan dua tangan iaitu seperti menampakkan rambutnya. Ini berdalilkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قَالَ أَنَسٌ: اِنَّ النَّبِيَّ ص أَتَى فَاطِمَةَ بِعَبْدٍ قَدْ وَهَبَهُ لَهَا وَعَلَى فَاطِمَةَ ثَوبٌ اِذَا قَنَّعَتْ بِهِ رَأْسَهَا لَمْ يَبْلُغْ رِجْلَيْهَا وَاِذَا غَطَّتْ بِهِ رِجْلَيْهَا لَمْ يَبْلُغْ رَأْسَهَا فَلَمَّا رَأَى النَّبِيُّ ص مَا تَلْقَى قَالَ: اِنَّهُ لَيْسَ عَلَيْكِ بَأْسٌ اِنَّمَا هُوَ اَبُوكِ وَغُلاَمُكِ

Telah berkata Anas : Bahawasanya Nabi saw. pernah memberi kepada Fatimah seorang hamba lelaki, sedang Fatimah berpakaian yang apabila ia tutup kepalanya, terbuka kakinya, dan apabila ia tutup kakinya terbuka kepalanya. Apabila melihat keadaan itu, Nabi saw. bersabda : “Tidak mengapa kerana dia itu tidak lain melainkan (seperti) bapamu dan hambamu.”

Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam dan mengamalkan sentiasa berusaha mengamalkan Sunnah Rasulullah saw maka wajar sekali kita memelihara diri kita, isteri kita, anak anak kita dari melakukan perlanggaran hukum sehingga melakukan perbuatan yang haram seperti mendedahkan aurat dan lain lainnya. Bagi kaum wanita contohilah keimanan wanita di zaman Rasulullah saw. yang di ceritakan dalam beberapa hadits :
قَالَتْ عَائِسَةُ: يَرْحَمُ اللهُ نِسَاءَ الْمُهَاجِرَاتِ الأَوَّلَ لَمَّا اَنْزَلَ اللهُ – وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ – شَقَقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِهَا
Telah berkata Aisyah r.a.: ‘Mudah mudahan Allah beri rahmat atas wanita wanita Muhajirin yang dahulu. Di waktu Allah turunkan ayat tudung itu, mereka koyak kain mereka yang belum berjahit dan mereka buat tudung.’ S.R. Bukhari.

Betapa ketakwaan wanita di zaman Rasulullah saw., apabila datang hukum kepada mereka tanpa berdolak dalik mereka tunduk dan patuh kepada perintah Allah sehinggakan Aisyah r.a. sendiri kagum dengan mereka. Dalam satu riwayat lain dari Abu Daud :
قَالَتْ صَفِيَّةُ بِنْتُ شَيْبَةَ: بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ عَائِشَةَ فَذَكَرْنَ نِسَاءَ قُرَيْشٍ وَفَضْلَهُنَّ فَقَالَتْ عَائِشَةُ: اِنَّ لِنِسَاءِ قُرَيْشٍ لَفَضْلاً وَاِنِّيْ وَاللهِ مَا رَاَيْتُ اَفْضَلَ مِنْ نِسَاءِ الأَنْصَارِ اَشَدَّ تَصْدِيْقًا لِكِتَابِ اللهِ وَاِيْمَانًا بِالتَّنْزِيْلِ لَقَدْ اُنْزِلَتْ سُورَةُ النُّورِ – وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ – اِنْقَلَبَ رِجَالُهُنَّ اِلَيْهِنَّ يَتْلُونَ عَلَيْهِنَّ مَا اَنْزَلَ اللهُ .... فَمَا مِنْهُنَّ امْرَأَةٌ اِلاَّ قَامَتْ اِلَى مِرْطِهَا الْمُرَحَّلِ فَاعْتَجَرَتْ بِهِ تَصْدِيْقًا وَاِيْمَانًا بِمَا اَنْزَلَ اللهُ مِنْ كِتَابِهِ
Telah berkata Shafiyah binti Syaibah : Di waktu kami bersama sama Aisyah mereka sebut wanita wanita Quraisy dan kelebihan mereka. Maka Aisyah berkata : ‘Sesungguhnya wanita wanita Quraisy itu mempunyai kelebihan, tetapi sesungguhnya aku, Demi Allah ! tidak aku lihat yang lebih mulia dari wanita wanita Anshar : sangat sangat mereka membenarkan kitab Allah dan sangat kuat iman mereka kepada wahyu yang diturunkan. Waktu diturunkan surah An Nur, ayat yang menyuruh bertudung, lelaki mereka pulang, lalu membacakan kepada mereka apa yang diturunkan Allah itu, lantas tiap tiap seorang daripada wanita wanita mereka mengambil kain mereka yang berlukis, lalu mereka jadikan tudung kepala kerana membenarkan dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah di kitabNya.’

Berbeza dengan keadaan kita sekarang ini, sejak dari bangku sekolah telah diajar bertudung tetapi apabila meningkat remaja, banyak anak anak gadis yang membuang tudung dengan berbagai alasan menurut hawanafsu. Banyak di antara mereka tahu mendedah aurat itu berdosa tetapi hawanafsunya dapat mengalahkan mereka sehingga mereka merasa selesa melakukan perbuatan dosa dan rimas jika menutup aurat. Dan terdapat pula sebilangan remaja yang menutup aurat tetapi nampak seperti bertelanjang, iaitu nampak susuk tubuhnya secara nyata kerana ketat atau sempitnya seluar dan baju yang dipakai. Sabda Rasulullah saw.:
عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: صِنْفَانِ مِنْ اَهْلِ النَّارِ لَمْ اَرَهُمَا، قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَاَذْنَابِ الْبَقَر يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوْسَهُنَّ كَاَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا .....
Di terima dari Abu Hurairah, katanya : Telah bersabda Rasulullah saw. “Ada dua golongan penghuni neraka yang tidak pernah saya lihat, suatu kaum yang membawa cambuk-cambuk (cemeti) seperti ekor-ekor sapi yang mereka pukulkan kepada manusia, dan wanita wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mempengaruhi orang dan menarik ke jalannya, kepala mereka laksana punuk unta yang miring letaknya (sanggul di kepala). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menemukan harum baunya………”

Riwayat Muslim dengan lafaznya daripadanya.


Maka jadilah wanita yang soleh, yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan menuruti perintah Rasul-Nya. Jauhilah sifat menurut hawanafsu yang tidak lain hanyalah sifat yang telah berjaya dipengaruhi oleh syaitan dan tidak ada sebarang kebaikan melainkan kerosakan kepada diri kita sendiri. Jangan memandang mudah permasalahan aurat bagi wanita kerana ianya adalah satu dosa yang sepatutnya dijauhi bukan dipandang ringan. Telah menjadi kebiasaan dimasa kini anak anak gadis ke sekolah dengan bertudung dan apabila pulang ke sekolah mereka membuang tudung. Ibu bapa hanya memandang dingin perbuatan dosa yang dilakukan oleh anak anak gadis mereka sedangkan menjadi tanggung jawab mereka untuk mendidik anak anak dan keluarga mereka. Apakah kita rasa kita boleh terlepas dari azab Allah ? Dan apakah ancaman Allah itu satu senda gurauan ?

Didiklah anak anak gadis kita, ahli keluarga kita tentang urusan menutup aurat ini bermula dari usia kanak kanak lagi, semoga ia tidak merasa janggal untuk menutup aurat dan ingatlah segala kegagalan kita sebagai penjaga atau ibu bapa yang di amanahkan oleh Allah untuk mendidik dan menjaga anak anak akan dipertanggungjawabkan kepada kita. Allah membalas setiap apa yang dilakukan oleh hamba-Nya dan tidak akan terlepas dari pengetahuan-Nya biar sebesar zarah. Berusahalah dengan bersungguh sungguh mendidik dengan sepenuh jiwa, ikhlas kerana Allah dan apabila anak anak kita telah dewasa lalu ia memilih jalannya sendiri sedangkan kita telah mendidiknya, moga yang demikian itu kita terlepas dari dosa.

Soalan : Bagaimana aurat wanita yang telah tua dan tidak lagi bernafsu, bolehkah ia membuka tudung di hadapan orang lelaki yang bukan muhrimnya ?

Jawapan : Firman Allah :
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Wanita wanita tua yang tidak ada kemahuan kahwin itu, tidak mengapa membuka tudung tudung mereka dengan tidak menampakkan perhiasan perhiasan ; tetapi kalau mereka mau menjaga kehormatan mereka, maka ia itu lebih baik bagi mereka.” Q.S. An Nur ayat 60 [24:60]

Ayat Al Quran itu membolehkan wanita yang telah tua yang tidak lagi bernafsu kepada lelaki untuk dikahwini boleh membuka tudung, tetapi jika ia menjaga auratnya, maka itu lebih baik baginya.

RUJUKKAN KOLEKSI HADITS HUKUM 2 –T.M. HASBI,M.S. 213-249, SOAL JAWAB 2 A HASSAN, M.S.616,644, SOAL JAWAB 3 - A HASSAN,M.S.1085.

05 February 2012

BULUGHUL MARAM : Bab Aurat Lelaki


BULUGHUL MARAM
Teks sebelum ini:
2. Aurat
Kita sambung bab aurat lelaki di dalam solat, dalam hadits dari Abu Musa Al- Asy’ari menerangkan :
عَنْ أَبِيْ مُوسَى الأَشْعَرِيِّ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ قَاعِدًا فِي مَكَانٍ فِيْهِ مَاءٌ فَكَشَفَ عَنْ رُكْبَتَيْهِ اَوْ رُكْبَتِهِ فَلَمَّا دَخَلَ عُثْمَانُ غَطَّاهَا
Dari Abu Musa Al Asy’ari r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. pada suatu hari duduk di suatu tempat yang berair, lalu Nabi saw. membuka kedua lulutnya, atau sebelah lututnya. Maka manakala Usman masuk (datang), Nabi saw. menutupkan lututnya.’ H.R. Bukhari.

Hadits ini menjelaskan lutut itu bukan aurat boleh saja terbuka atau menutupinya. Dalam hadits lainnya di jelaskan :

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: صَلَّيْنَا مَعَ رَسُولِ الله ص الْمَغْرِبَ فَرَجَعَ مَنْ رَجَعَ وَعَقَّبَ مَنْ عَقَّبَ فَجَاءَ رَسُولُ الله ص مُسْرِعًا قَدْ حَفَزَهُ النَّفْسُ قَدْ حَسَرَ عَنْ رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ أَبْشِرُوا هَذَا رَبُّكُمْ قَدْ فَتَحَ بَابًا مِنْ اَبْوَابِ السَّمَاءِ يُبَاهِى بِكُمْ يَقُولُ اُنْظُرُوا اِلَى عِبَادِى قَدْ صَلُّوا فَرِيْضَةً وَهُمْ يَنْتَظِرُونَ أُخْرَى
Dari Abdullah ibn Umar r.a. berkata : ‘Kami solat Maghrib beserta Rasulullah saw. Maka selesai solat sebahagian orang orang ada yang pulang ke rumah masing masing dan sebahagian di masjid. Sejurus kemudian datanglah Nabi saw. dengan bergegas gegas dan tersentak sentak nafasnya serta terbuka dua lututnya lalu bersabda : “Bergembiralah kamu, Tuhanmu telah membuka suatu pintu langit dan Dia bermegah dengan kamu ini, sambil berfirman kepada para Malaikat-Nya : “Lihatlah kepada hamba hamba- Ku, mereka telah melaksanakan solat fardu dan mereka tetap duduk menanti solat yang lain (Isya’)”. H.R. Ibnu Majah.

Hadits seterusnya :

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ النَّبِيِّ ص اِذْ اَقْبَلَ اَبُو بَكْرٍ آخِذٌ بِطَرَفِ ثَوْبِهِ حَتَّى اَبْدَى عَنْ رُكْبَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ ص أَمَّا صَاحِبُكُمْ فَقَدْ غَامَرَ فَسَلَّمَ وَقَالَ يَا رَسُولَ الله اِنَّهُ كَانَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ ابْنِ الْخَطَّابِ شَيْءٌ فَاَسْرَعْتُ اِلَيْهِ ثُمَّ نَدِمْتُ ......
Dari Abu Darda r.a. berkata : ‘Aku duduk beserta Rasulullah saw. tiba tiba datanglah Abu Bakar dengan memegang hujung kainnya, hingga kelihatan dua lututnya. Di kala itu Nabi saw. berkata : “Temanmu ini telah mengerjakan suatu hal yang memayahkan”. Setelah Abu Bakar memberi salam beliau berkata : Ya Rasulullah telah terjadi sedikit persengketaan antaraku dengan Ibnu Khaththab. Aku telah tergesa gesa memarahinya. Setelah itu aku merasa menyesal……sehingga selesai hadits’ H.R. Al Bukhari.

Hadits seterusnya :

عَنْ عُمَيْرَ بْنِ اِسْحَاقَ قَالَ: كُنْتُ مَعَ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ فَلَقِيَنَا اَبُو هُرَيْرَةَ فَقَالَ: اَرِنِي اُقَبِّلُ مِنْكَ حَيْثُ رَاَيْتُ رَسُولَ الله ص يُقَبِّلُ فَقَالَ بِقَمِيْصِهِ فَقَبَّلَ سُرَّتَهُ
Dari Umair ibn Ishaq r.a. berkata : ‘Aku duduk beserta Al-Hasan ibn Ali dan datanglah Abu Hurairah berkata kepada Al Hasan : Perlihatkanlah kepadaku tempat yang biasa aku lihat Rasulullah mencium tuan di tempat itu, aku ingin menciumnya. Maka Al Hasan membuka baju kurung panjangnya, lalu Abu Hurairah mencium pusatnya.’ H.R. Ahmad.

Hadits riwayat Ahmad dalam Musnadnya. Pada sanadnya ada kecacatan kerana terdapat seorang perawi yang dicacatkan oleh sebahagian ahli hadits. Namun terdapat riwayat dari Al Hakim dari jalan sanad yang lain dan disahkan sahih olehnya.

Hadits ini menjelaskan bahawa pusat bukan aurat. Untuk menjelaskan bab ini kita merujuk pendapat para ulama Islam dalam bab aurat lelaki.
1. Imam Asy Syafei berpendapat, bahawa lutut itu bukan aurat tetapi pusat itu aurat.
2. Abu Hanifah dan menurut suatu pendapat dari Syafei (imam Syafei ada dua pendapat), lutut itu aurat.
3. Atha dan Abu Hanifah berpendapat, bahawa pusat itu bukan aurat.
4. Berkata Al Maqdisi : ‘Menurut lahir mazhab Ahmad, bahawa aurat itu antara pusat dan lutut.’
Imam An Nawawi menjelaskan perselisihan ulama mengenai aurat lelaki ini terpecah kepada lima bahagian :
1. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut. Pusat dan lutut itu bukannya aurat. Telah di jelaskan oleh Abu Hamid : ‘Asy Syafie menjelaskan dalam Al Umm dan Al-Imla, bahawa aurat lelaki merdeka dan budak lelaki (sahaya) ialah antara pusat dan lutut.
2. Lutut dan pusat, adalah aurat.
3. Pusat aurat, lutut tidak.
4. Lutut aurat, pusat tidak.
5. Aurat hanyalah qubul dan dubur saja.
Golongan ulama yang berpendapat bahawa lutut termasuk aurat berhujah hadits Abu Aiyyub yang diriwayatkan oleh Daraquthni dan Al Baihaqi : ‘Aurat lelaki antara pusatnya hingga lututnya (dari bawah pusat sampai menutupi lutut).’ Tetapi hadits ini dijelaskan oleh ulama ahli hadits sebagai matruk (hadis yang di sanadnya ada seorang yang tertuduh sebagai pendusta).

Golongan yang menyatakan pendapat, bahawa pusat dan lutut bukan aurat, beralasankan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ad Daraqutni : ‘Apabila seseorang kamu mengahwinkan budaknya (sahaya) yang lelaki dengan budaknya yang perempuan, atau orang upahannya, maka janganlah ia melihat lagi kepada bahagian badan di bawah pusat di atas lutut. Hadits yang telah kita bincangkan di atas juga menyokong hujah golongan ini.

Kesimpulannya
Hadits atau keterangan dalam bab aurat lelaki yang kuat adalah aurat lelaki itu di antara pusat dan lutut bukan dari pusat hingga lutut, kerana kita tidak mengambil kira hadits yang matruk sebagai hujah, yang selamat adalah kita beramal dengan hadits yang sahih.

Soalan : Apakah paha orang lelaki itu aurat ?
Jawapan : Terdapat banyak hadits dalam bab ini yang menjelaskan tentang Rasulullah saw. ada membuka pahanya dan dapat dilihat oleh orang lain, di antara hadits itu adalah :

عَنْ عَائِشَةَ اَنَّ رَسُولَ الله ص كَانَ جَالِسًا كَاشِفًا عَنْ فَخِذِهِ فَاسْتَأْذَنَ اَبُو بَكْرٍ فَاَذِنَ لَهُ – وَهُوَ عَلَى حَالِهِ – ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُمَرُ فَأَذِنَ لَهُ – وَهُوَ عَلَى حَالِهِ – ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ فَاَرْخَى عَلَيْهِ ثِيَابَهُ. فَلَمَّا قَامُوا قُلْتُ يَا رَسُولَ الله اِسْتَأْذَنَ اَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَاَذِنْتَ لَهُمَا وَاَنْتَ عَلَى حَالِكَ فَلَمَّا اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ ارْخَيْتَ عَلَيْكَ ثِيَابَكَ. فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَلاَ أَسْتَحْيِي مِنْ رَجُلٍ وَاللهِ اِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَسْتَحْيِيْ مِنْهُ
Dari Aisyah, bahawa Rasulullah saw. pernah duduk dalam keadaan terbuka pahanya. Kemudian Abu Bakar meminta izin (berjumpa dengannya), lalu Nabi mengizinkannnya sedang ia tetap dalam keadaan (seperti) itu. Kemudian Umar minta izin, lalu Nabi mengizinkannya, dan ia tetap dalam keadaannya itu. Kemudian Osman meminta izin (bertemu dengannya), lalu Nabi menurunkan pakaiannya itu. Maka apabila mereka telah pergi, aku bertanya : Ya Rasulullah, Abu Bakar dan Umar meminta izin (bertemu), lalu keduanya engkau izinkan, sedang engkau tetap dalam keadaanmu, tetapi apabila Osman meminta izin lalu engkau turunkan pakaianmu. Kemudian Nabi menjawab : “Ya Aisyah ! apakah aku tidak malu kepada seorang lelaki (Osman) yang demi Allah, sesungguhnya Malaikat malu kepadanya.” H.R. Ahmad.

وَرَوَى أَحْمَدُ هَذِهِ الْقِصَّةَ مِنْ حَدِيْثِ حَفْصَةَ بِنَحْوِ ذَلِكَ وَلَفْظُهُ: دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ الله ص ذَاتَ يَومٍ فَوَضَعَ ثَوبَهُ بَيْنَ فَخِذَيْهِ. وَفِيْهِ: فَلَمَّا اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ تَجَلَّلَ بِثَوبِهِ
Dan Ahmad meriwayatkan kisah ini dari jalan Hafsah, seperti itu, dan lafaznya sbb. : ‘Pada suatu hari Rasulullah saw. masuk ke (rumah) ku, lalu ia letakkan pakaiannya di antara kedua pahanya.’ Dalam hadits tersebut disebutnya : ‘Maka dikala Osman minta izin (bertemu), lalu Nabi melabuhkan pakaiannya itu.’

وَعَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ ص يَومَ خَيْبَرَ حَسَرَ الاِزَارَ عَنْ فَخِذِهِ حَتَّى أَنِّيْ لأَنْظُرُ اِلَى بَيَاضِ فَخِذِهِ. رواه أحمد والبخاري وقال: حَدِيْثُ أَنَسٍ أَسْنَدُ وَحَدِيْثُ جَرْهَدٍ أَحْوَطُ
Dan dari Anas, ‘bahawasanya Nabi saw. pada hari peperangan Khaibar, mengangkat kain dari pahanya, sehingga sungguh aku melihat pahanya yang putih itu.’ H.R. Ahmad dan Bukhari. Dan Bukhari berkata : Hadits Anas lebih musnad dan lebih kuat. Nailul authar 1 m.s.365.

Kesemua hadits di atas menghujahkan bahawa Rasulullah saw. ada menampakkan bahagian pahanya kepada sahabat dan ada masanya beliau menutup kerana malu. Tidaklah Rasulullah saw. berkata ia menutup pahanya apabila berjumpa Osman itu kerana haram atau berdosa sebagaimana hadits yang diceritakan oleh Aisyah r.a. Namun begitu terdapat hadits yang di katakan hasan yang menjelaskan paha itu aurat :

وَعَنْ جَرْهَدٍ الأَسْلَمِيِّ قَالَ: مَرَّ رَسُولُ الله ص – وَعَلَيَّ بُرْدَةٌ وَقَدْ اِنْكَشَفَتْ فَخِذِيْ – فَقَالَ: غَطِّ فَخِذَكَ فَاِنَّ الْفَخِذَ عَوْرَةٌ
Dan dari Jarhad Al Aslamie, ia berkata : Rasulullah saw. datang, ketika itu aku memakai burdah (selendang) dan terbukalah pahaku, lalu Rasulullah saw. bersabda : “Tutuplah pahamu kerana sesungguhnya paha itu aurat.” H.R. Malik dalam Muwaththa’, Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi. Dan berkata Tirmidzi : Hadits ini hasan.
Alauddin At Turkumani menjelaskan : Hadits ini bukan hasan. Di dalamnya terdapat tiga rupa kecacatan, bahkan terdapat di dalamnya kecelaruan, atau kekacauan.Hal ini telah di tegaskan oleh Ibnu Qaththan. Kata Al Haitami dalam Majma’uz Zawaid : dalam hadits Jarhad ini terdapat seorang yang daif, iaitu Abdur Rahman ibn Abuz Zinad.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: الْفَخِذُ عَوْرَةٌ
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata : Nabi saw. bersabda : “Paha itu, aurat.” H.R. Ahmad dan At Tirmidzi.
Hadits ini menurut Tirmidzi darjatnya hasan gharib, Al Baihaqi menyatakan sahih, Alauddin At Tirmidzi menjelaskan : dalam hadits ini terdapat orang yang bernama Abu Yahya A Qattat, seorang yang banyak meriwayatkan hadits lemah. Yahya Ibnu Main menyatakan dalam sanad hadits ini ada kelemahan, Bukhari, menurut riwayat Ad Daraquthni dan Ibnu Daqiqil-Id juga melemahkan hadits ini.

Hadits lainnya adalah :
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جَحْشٍ قَالَ: مَرَّ رَسُولُ الله ص عَلَى مَعْمَرَ وَفَخِذَاهُ مَكْشُوفَتَانِ فَقَالَ يَا مَعْمَرُ غَطِّ فَخِذَيْكَ فَاِنَّ الْفَخِذَيْنِ عَوْرَةٌ
Dari Muhammad ibn Jahsy r.a. berkata : “Pada suatu hari Rasulullah saw. berlalu di hadapan seorang sahabat bernama Ma’mar. Di kala itu kedua belah paha Ma’mar terbuka. Nabi saw. berkata : “Wahai Ma’mar, tutuplah kedua pahamu kerana dua paha itu aurat.”
H.R. Ahmad dan Bukhari.

Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Tarikhnya. Dalam sanad hadits ini ada orang yang di cacatkan oleh ulama ahli hadits, demikian penjelasan dari Ibnu Hajar dalam Fathul Bari. Alauddin At Turkumani menjelaskan : dalam sanad hadits ini terdapat dua illat (penyakit).

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِيْ طَالِبٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: لاَ تُبْرِزْ فَخِذَكَ وَلاَ تَنْظُرْ اِلَى فَخِذِ حَيٍّ وَلاَ مَيِّتٍ
Dari Ali bin Abi Thalib r.a. berkata : Nabi saw. bersabda : “Janganlah kamu memperlihatkan pahamu dan janganlah kamu melihat kepada paha orang yang masih hidup dan jangan pula kepada paha orang yang telah mati.” H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah.
Abu Daud sendiri melemahkan hadits ini beliau menjelaskan : Dalam sanad hadits ini, ada orang yang diingkari riwayatnya.

Tetapi hadits tentang Rasulullah saw. membuka paha itu sahih malah di akui oleh oleh Bukhari sebagai yang kuat dalam bab ini, selain itu banyak hadits yang menjelaskan Rasulullah saw. membuka pahanya. Oleh yang demikian apabila terbuka lutut itu tak dapat tidak lazimnya akan juga ternampak bahagian paha sedikit sebanyak, maka pendapat yang menyatakan aurat lelaki di antara pusat dan lutut itu nyata lebih kukuh. Iaitu boleh nampak sebahagian paha berhampiran lutut kerana ianya adalah di antara pusat dan lutut, bukannya dari pusat hingga lutut.

Dan jika berasa malu telah ada sunnah dari Rasulullah saw. tutuplah bahagian paha itu dan malu itu bukan bermakna haram atau aurat.

Setelah kita membincangkan dengan panjang lebar tentang bab aurat wanita dan aurat lelaki selama beberapa siri lamanya, kita telah pun membuat kesimpulan bahawa aurat wanita adalah seluruh badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangannya baik di dalam solat mahupun di luar solat. Pada hari ini kita akan membuat kesimpulan pula tentang aurat lelaki di luar solat dan di dalamnya. Setelah kita meneliti hadits hadits di atas bahawasanya aurat lelaki di luar solat adalah di antara pusat dan lutut dan di bolehkan nampak bahagian paha berhampiran lutut dengan sunnah yang kuat dari Rasulullah saw. Manakala apabila bersolat, di sunnahkan ia menutup badannya dengan sebaik. Dan bagi badannya yang atas pula sekurang kurang ia menutup kedua kepala bahu. Serta digalakkan kita mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin apabila kita bersolat. Sekian dari saya dalam menyudahi tajuk aurat lelaki dan wanita, serta saya harapkan teguran berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. apabila saya keliru atau tersilap dalam penyampaian saya.