22 March 2013


Raja Muda Mahu Masjid Semarakkan Kegiatan Menjelang PRU-13

KANGAR, 14 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap masjid-masjid di seluruh Perlis merancakkan kegiatan yang berkonsepkan penyatuan umat Islam dan masyarakat Melayu sejajar dengan iklim politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

Menurut baginda, masjid perlu menjadi sumber penyatuan dan para pegawai masjid perlu memastikan institusi itu tidak menjadi tempat perpecahan umat.

"Masjid seharusnya bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian di mana pegawai masjid bertanggungjawab menghalang sebarang penyalahgunaan mimbar atau mikrofon daripada ceramah politik atau hasutan atau mempertikaikan keputusan pihak berkuasa agama negeri," titah baginda semasa merasmikan konvensyen pegawai-pegawai masjid negeri Perlis 2013 di sini Khamis.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap sebarang pelaksanaan program haruslah berstrategi dan meliputi tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya umum.

Tuanku Syed Faizuddin berharap para pegawai masjid menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti serta bersikap "mesra jemaah dan kariah" untuk melaksanakan kegiatan mengikut kesesuaian di masjid masing-masing.

Baginda juga menyarankan supaya masjid menjadi institusi menjana pakar, penyelidik dan kemudahan fizikal selain mewujudkan kelompok permuafakatan antara masjid dengan masjid termasuk masjid yang lebih besar membantu masjid dan surau yang kecil.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan para pegawai masjid didedahkan dengan kemahiran komunikasi berkesan, penyelesaian masalah serta cara melayani setiap anak kariah sebagai seorang pelanggan.

Turut hadir pada konvensyen anjuran Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman, dan Pengarah JAIPs, Mohd Sokri Hussin.

-- BERNAMA


No comments: