18 March 2013


Dedikasi kepada pejuang negara yang terkorban di Lahad Datu

DILAPORKAN 10 anggota keselamatan dan sejumlah pengganas terkorban dalam krisis Kg Tandou, Lahad Datu. Besar harapan kita agar, angka itu tidak bertambah, baik di pihak keselamatan dan orang awam.
Kematian menjemput manusia di mana-mana. Setiap hari media melaporkan ada yang mati di atas jalan, namanya kemalangan. Ramai juga yang mati di hutan dan lautan, ketika mencari makan atau jalan-jalan. Beberapa minggu lalu, seorang pendaki ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di Gunung Gandang, Sulawesi Barat.

Selain peperangan, siapa pernah menyangka bahawa banyaknya kematian berpunca dari sebuah pinggan. Bukan kerana tersedak atau keracunan, namun kerana salah atur dan terlebih makan. Dari obesiti, kencing manis, lemah jantung dan banyak penyakit lain yang berisiko kematian berasal dari makanan di dalam pinggan.

Dan makhluk bernama kematian itu sering kali hadir secara tiba-tiba dan rahsia. Berapa ramai orang yang hari ini ditemui sihat dan ceria, ternyata esoknya dia sudah tiada.
Rasulullah SAW telah mengisyaratkan hal ini dalam sebuah hadis maksudnya: "Waktu akan semakin dekat, beramal sudah berkurangan, akan didapati sifat kebakhilan, akan nampak fitnah-fitnah dan banyak terjadi Al-Haraj", mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Haraj?", beliau berkata: "Banyak pembunuhan."(riwayat al-Bukhari)

Semakin umur dunia bertambah, semakin banyak musibah dan kematian berlaku secara tiba-tiba. Dari sebab yang diketahui hinggalah kepada kematian yang tidak dapat dikenal-pasti. Berapa banyak pembunuhan yang tidak dapat dikenal-pasti motif dan puncanya.
Dan tidak sedikit kematian yang dikelaskan sebagai kematian mengejut oleh pihak hospital dan tidak dapat dijelaskan faktor dan alasannya. Yang pasti itu adalah ketentuan yang telah Allah tetapkan sejak pertama kali dunia diciptakan.

Dalam hadis yang lain dari riwayat Anas bin Malik maksudnya: "Di antara tanda-tanda (dekatnya) hari Kiamat adalah… banyak terjadi kematian mengejut." (ath-Thabrani dalam al-Ausath)
Ini adalah kejadian yang lazim kita saksikan pada zaman sekarang, banyak orang yang mati secara mengejut. Imam al-Bukhari rahimahullah pernah bersenandung dalam sebuah madah: Gunakanlah waktu luang untuk mendapatkan keutamaan solat, boleh jadi kematianmu itu terjadi dengan tiba-tiba. Berapa banyak aku melihat orang dalam keadaan sihat tidak berpenyakit, jiwanya yang sihat lepas pergi.
Menakjubkan, tidak lama selepas itu beliau pun wafat sebagaimana diceritakan oleh Ibnu Hajar Hadyus Saari Muqaddimah Fathul.

Anggota keselamatan yang maut ketika bertugas di Lahad Datu, mungkin sahaja tidak menjangka akhir hayat mereka takdirnya di situ. Semoga mereka termasuk dalam golongan yang ikhlas berkhidmat kerana Allah dan tergolong dalam senarai para syuhada'.
Kepada kaum Muslimin yang sempat merenung makna dan kandungan al-Quran, nescaya akan teringatkan apa yang Allah jelaskan yang bermaksud: "Katakanlah: "Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh." Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati." (Ali Imran, ayat 154)
Sungguhpun kematian itu sesuatu yang misteri, namun ia adalah pasti. Tidak sesiapapun dapat memungkirinya. Semua manusia dan seluruh makhluk akan mati. Yang kekal hanya Allah Yang Esa, Yang Maha Berkuasa. Tidak ada ilah atau Tuhan Yang Haq yang layak disembah dan tempat kita mengabdikan diri melainkan hanya kepada Allah.

Dari Abu 'Abdirrahman Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anh, dia berkata , bahwa Rasulullah telah bersabda: "Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi 'Alaqoh (segumpal darah) selama itu juga lalu menjadi Mudhghoh (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuslah Malaikat untuk meniupkan roh kepadanya lalu diperintahkan untuk menuliskan 4 kata : rezeki, ajal, amal dan celaka/bahagianya." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, tidak banyak manfaat dan faedah yang dapat kita ambil ketika menghitung-hitung dan meneka-neka tarikh kematian atau di mana tempat nafas terakhirnya dikeluarkan. Kerana pilihannya hampir sama sekali tiada, sudah ditetapkan dan masih rahsia.

Pilihan yang tersisa adalah memikirkan persiapan untuk hari selepas kematian. Ramai juga manusia bekerja dan berusaha untuk sesuatu yang bakal dan pasti ditinggalkan. Rumah, tanah dan kereta mewah, semuanya termasuk dalam senarai yang pasti ditinggalkan. Rasulullah mengingatkan dalam sepotong hadis maksudnya: "Apabila mati seseorang manusia maka terputus semua amalnya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh." (riwayat al-Bukhari)

Yang dapat dipilih dan ditentukan ialah bagaimana akhir hayat kita itu ditutup. Adakah dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah) atau kesudahan yang buruk (su'ul khatimah). Meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan husnul khatimah merupakan dambaan setiap insan yang beriman, kerana hal itu sebagai bisyarah yakni khabar gembira dengan kebaikan untuknya. Al-Imam Al-Albani menyebutkan beberapa tanda husnul khatimah dalam kitabnya yang sangat bernilai Ahkamul Jana'iz wa Bida'uha.
Antara mereka yang dikhabarkan oleh baginda mendapat 'husnul khatimah' ialah mereka yang mengakhiri hayatnya dengan kalimah syahadah, "La ilaaha illa Allah."

Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Siapa yang meninggal kerana mempertahankan hartanya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela keluarganya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela agamanya maka ia syahid, dan siapa yang meninggal kerana mempertahankan darahnya maka ia syahid." (riwayat Abu Dawud)

Semoga para pejuang dari pihak keselamatan PDRM dan ATM yang berkhidmat di perbatasan negara, di Lahad Datu dan seluruh negara termasuk orang-orang yang ikhlas beramal hanya kerana Allah. Dan mereka yang terkorban mudah-mudahan termasuk dalam golongan yang syahid di sisi Allah.
Kepada mereka yang sudah pergi, kita doakan semoga Allah ampunkan mereka dan tempatkan roh mereka bersama golongan syuhada dan orang yang soleh. Urusan mereka sudah selesai, kita pula bagaimana?


SUMBER : Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130318/re_05/Dedikasi-kepada-pejuang-negara-yang-terkorban-di-Lahad-Datu#.UUcR7FC8VoQ.facebook#ixzz2Nurhlgfp 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: