15 September 2011

PERDU TEBU DI DARUS SUNNAH (BAH. 2)



Matahari kian terik, aku mula menapak sambil mengimbas kembali detik-detik bersama Tokwan. Di sebelah kiri jalan, berdiri condong pokok-pokok tebu yang ditanam pinggir terusan. Tebu mengingatkan aku kepada Tokwan. Tebu yang aku maksudkan, bukanlah tebu yang ditanam secara komersial untuk dihasilkan gula, tetapi tebu yang biasanya ditanam di pinggir sawah. Ketika itu, usiaku mencecah 13 tahun dan baru sahaja melangkah masuk ke sekolah menengah. Aku telah dihantar untuk belajar di sebuah sekolah agama. Di sekolah itu, seorang ustaz muda mendakwa orang seperti Tokwan adalah golongan yang dinamakan Wahabi. Mereka ini banyak mengeluarkan fatwa yang sesat dan melampau. 

Lantas, aku memberanikan diri bertanyakan kepada Tokwan tentang perkara itu. Pada saat itu, aku hanya berjalan berdua-duan dengan Tokwan setelah pulang dari membakar jerami di sawah. Jerami mesti dibakar sebelum tanah dibajak. Jika tidak dibakar jerami itu, air yang bertakung di dalam sawah akan menjadi masam dan menjejaskan pertumbuhan benih-benih baru padi. 

 “Tokwan ni, Wahabikah?” tanya aku dengan penuh berhati-hati. Tokwan menghentikan langkahnya dan menongkatkan basikal tua, ‘Robin Hood’ miliknya. Dia mencapai sebilah parang yang diletakkan di tempat pembonceng basikal dan memangkas sebatang tebu di gigi batas. Dalam diam seribu bahasa, dia mengerat sebatang tebu dan mengupas kulitnya. Kanak-kanak di sini cukup suka menikmati tebu dengan cara begini, setelah kulit dikupas, batang tebu dipotong kecil-kecil. Untuk untuk mendapatkan airnya, potongan kecil itu di gigit dan dihisap airnya. 

 Tokwan menghulurkan kepada dua potongan batang tebu tadi dan berkata, “Ambil dan rasa sebelah mana yang lebih manis?”.Aku menikmati kedua-duanya dan menuding ke arah potongan yang diambil dari bahagian pangkalnya. Tokwan tersenyum. 

 “Itulah perdunya, bahagian yang kurang manis itu adalah bahagian yang hampir dengan pucuknya. Semakin dekat dengan akarnya, semakin manislah rasanya”. 

 Begitulah kiasan Tokwan,akar kita adalah al-Quran dan Sunnah, semakin dekat kita dengannya semakin lebih baik seorang Muslim itu. Semakin jauh kita dari apa yang termaktub dari al-Quran dan Sunnah, biarpun masih bernilai tapi tak sama dengan yang awal. 

 “Aku bukan Wahabi, bukan penyokong, bukan juga aku penentang Wahabi. Tiada kelebihan untuk menjadi Wahabi, apa yang penting kita ikut Nabi. Apa yang Tokwan mahu adalah kemanisan hidup untuk hidup dekat dengan akar iaitu Al-Quran dan Sunnah. Biar setiap apa yang kita buat ada dalilnya, bukan sekadar taklid buta kepada imam-imam”. “Tapi, orang lain pun kata mereka ikut Al-Quran dan Sunnah juga”, aku menyahut. 

 “Berbalik kepada tebu tadi, letakkan akarnya adalah Rasulullah s.a.w dan perdu yang paling hampir dengannya adalah generasi sahabat. Kita hari ini pula adalah pucuk yang jauh dengan akar. Maka, jalan terbaik untuk kita memahami apa yang terkandung dalam al-Quran dan As-Sunnah adalah melalui apa yang difahami generasi terdahulu yang lebih dekat dengan Nabi. Kenapa kita hendak utamakan orang-orang yang juga berada di pucuk tebu. Kita akan merasai kemanisan mengikuti al-Quran dan Sunnah hanya bila kita berpandukan apa yang difahami generasi yang dekat pada baginda. Tak perlu jadi Wahabi, Muhammad Abdul Wahab pun bukanlah generasi awal bahkan Kitab Tauhid tulisannya tidaklah sehebat ulamak-ulamak terdahulu. Cuma, dia mengajak untuk kita kembali memahami al-Quran dan Sunnah”, Tokwan menafi sekeras-kerasnya. 

 “Cuba ambil contoh ini, Tokwan nak pergi masjid ikut jalan ini dan kemudian ada orang lain ikut jalan ini juga untuk ke masjid , apakah boleh dikatakan dia pengikut Tokwan. Matlamat yang sama, jalan yang sama tak bermakna yang di depan itu pemimpin dan yang menyusul itu pula pengikut.Tapi, boleh jadi pemimpin mereka berada di tempat yang dituju”, jelasnya lagi. 

 Mulai saat itu, persepsi aku terhadap Tokwan kian berbeza. Biarpun ada perkara yang aku tidak setuju dengan buah fikirannya, tapi aku kini sudah mampu bersangka baik dengannya kerana segala yang dilakukannya bersandarkan dalil dan hujahnya. Prinsip aku mudah, aku yakin atas apa yang aku percaya, namun tidak perlu dinafikan kebenaran yang ada pada orang lain seandainya didatangkan hujah. 

 Aku melintasi satu kain rentang tentang pengistiharan nama baru bagi negeri ini, Darus Sunnah. Seandainya Tokwan masih hidup,Aku pasti dia gembira. Namun, apakah itu hanya sekadar nama? Bagaimana pula dengan warganya? Apakah masih seperti dulu atau lebih baik, atau pun mereka sudah lama lupakan ajaran lama. Ajaran yang dulu dilabel sebagai ajaran Kaum Muda, kini hanya diamalkan oleh orang-orang tua. Aku bimbang sekiranya semua indera-indera pembela As-Sunnah juga telah pergi bersama nama lama. Maka tinggalah Darus Sunnah sebagai kenangan buat generasi muda yang tak pernah kenal akan ajaran orang tuanya. 

 -TAMAT- 
rizqimukhriz.blogspot.com 

 Glosari 
  1.  Tokwan : Datuk 
  2.  Depa : Mereka 
  3.  Hemoi : Ramah 
  4.  Geret : Basikal

No comments: