08 September 2011

Dari Mulhid Kepada Tauhid: Di Sebalik Tabir Majlis Berbuka Puasa Dan Makan Malam Muhibbah





Persatuan Al-Islah Perlis berterima kasih dengan saudara Muhammad Gerald yang berusaha tanpa mengenal penat sehingga berjaya dianjurkan majlis berbuka puasa dan makan malam muhibbah yang lalu. Saudara kami Muhammad Gerald dilahirkan dalam keluarga Cina yang menganggap agama dan kepercayaan sebagai urusan peribadi. Ayahnya seorang atheis dan ibunya seorang Katolik. Ibunya cuba membesarkan beliau sebagai seorang Katolik tetapi akhirnya beliau selesa menjadi seorang atheis. 

Muhammad Gerald (tengah)
Dalam pemuda ini menjalani kehidupan tipikal mencari wang dan berseronok tanpa agama, cahaya Islam datang berkunjung lalu beliau bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak diibadati selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah. Sebagai inspirasi, dipilihnya nama Rasulullah s.a.w sebagai nama barunya. Selepas beberapa lama, beliau berhijrah ke Perlis dan giat menuntut ilmu-ilmu Pengajian Islam berasaskan manhaj Salaf al-Salih di Persatuan Al-Islah Perlis. 
Menyambut tetamu-tetamu yang hadir
Untuk program ini, Persatuan Al-Islah Perlis memberikan amanah kepada saudara Muhammad Gerald Chin Whye Heung untuk menjemput wakil-wakil komuniti yang dimaksudkan. Beliau turut diberikan mandat mengetuai Unit Perhubungan Antara Agama Dan Saudara Baru (UPAASB) yang diletak di bawah seliaan langsung Setiausaha Persatuan Al-Islah Perlis 
Kad Nama Rasmi Saudara Muhammad Gerald Di Persatuan Al-Islah Perlis 
Dengan izin Allah jua, mungkin tidaklah berjaya majlis ini kalau yang selain daripada Muhammad Gerald yang menjemput wakil-wakil komuniti Non-Muslim. Empat bahasa dalam penguasaan beliau: Bahasa Inggerisnya fasih, Bahasa Melayunya baik sedangkan Bahasa Arab dan Bahasa Mandarinnya pula sederhana tapi mampu berkomunikasi. Beliau berpengalaman dengan suasana rumah ibadat Bukan Islam dan prihatin dengan protokol yang diamalkan; misalnya siapa dipanggil Father? Pastor? Reverend?. Akhlak, tutur-kata, perwatakan, senyum dan ‘aura’ Muhammad Gerald yang natural ternyata membuka hati komuniti yang dimaksudkan untuk hadir. 


Tambahan pula ketika hadir membuat jemputan beliau sentiasa berbaju Samfoo berbutang bulat lengkap berseluar Kungfu yang mengingatkan kita bahawa pakaian Cina Muslim ini lebih “cina” daripada sesetengah orang Cina yang ada di Perlis. Kehadiran beliau turut menyedarkan kami bahawa Islam bukan milik bangsa Arab atau Melayu atau India semata-mata, tetapi Islam milik setiap hamba Allah yang dipilih-Nya untuk menerima sinaran hidayah…. 
SS Dr Juanda dan Muhammad Gerald mengiringi tetamu 
Kepada saudara Muhammad Gerald Chin Whye Heung Al-Sini, teruskan perjuangan anda di Persatuan Al-Islah Perlis. Semoga Allah S.W.T merahmati dan sentiasa memudahkan segala urusan dakwah mengajak manusia kepada Islam, dan apabila sudah Islam untuk mengajak mereka kepada Al-Sunnah

No comments: