30 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Keadilan dalam pembahagian harta


DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


ASSALAMUALAIKUM Ustaz,

Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya.

Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian?

Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak keatas baki satu perempat harta peninggalan.

- Zahari Abdul Aziz, Selangor

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah... iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu'man bin Basyir berkata, "Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, 'Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu'man sebahagian daripada hartaku.' Baginda bersabda, "Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu'man?" Ayah menjawab, 'Tidak.' Baginda bersabda, "Carilah orang lain untuk menjadi saksi." Kemudian baginda berkata lagi, "Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?" Ayah menjawab, 'Ya.' Baginda bersabda, "Jika begitu jangan beri hanya kepada dia."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A'isyah r.a. telah berkata, 'Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...' (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta'. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A'isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

SHEIKH WALID: NASIHAT KEPADA PENCINTA ILMU ISLAM DI MALAYSIA


Ingatlah bahawa Iblis itu pintar. Perangkapnya telah dirancang sejak nenek moyang kita, Nabi Adam a.s. Berhati-hatilah dengan strateginya yang teramat halus.

Semoga penjelasan dari Sheikh Walid al-Nasr di USM, Pulau Pinang ini dapat bantu menyedarkan remaja dan semua umat Islam di Malaysia dari terpesong kepada jalan yang lurus. Insya-Allah...

Sheikh Walid bin An-Nasr telah dijemput dari Madinah al-Munawwarah untuk menyampaikan daurah kepada siswa-siswi di USM Pulau Pinang.

Syeikh al-Walid Bin Muhammad Nabih Bin Sayf al-Nasr adalah pengarang Syarh Usul al-Sunnah. Kitab asalnya ditulis oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Edisi Bahasa Indonesia Syarh Usul al-Sunnah oleh Syeikh al-Walid dimurajaah oleh Ustaz Abdul Hakim Abdat, serta diterbitkan oleh Penerbit Darus Sunnah di Jakarta Timur

28 September 2012

OpenTahfiz: Bahaya Qadiani

Artikel ini dipetik dari opentahfiz.blogspot.com seperti di pautan http://opentahfiz.blogspot.com/2012/09/bahaya-qadiani_19.html

Sheikh Walid: QADIANI MENGAKU SEBAGAI NABI

Jika sesiapa melalui jalan kampung nakhoda, akan kelihatan banyak papan tanda berwarna oren yang tertulis, QADIANI BUKAN AGAMA ISLAM. Bagi mereka yang baru, pasti tertanya-tanya mengenai istilah “QADIANI” yang seperti telah dikafirkan oleh papan tanda tersebut. Siapakah ini sebenarnya? Adakah sebuah golongan yang bahaya atau tidak?

Pada syawal baru ini, perkembangan yang pesat di sana menimbulkan seribu persoalan diminda masyarakt kampung nakhoda berikutan jumlah pengunjung yang ramai berkumpul. Pakir di bahagian tepi jalan menjadi sesak dan terdapat rela dari kalangan mereka yang menjaga. Perkara ini amat membimbangkan semua pihak berikutan masalah aqidah yang semakin berleluasa tanpa ada usaha untuk menyekat ataupun menghalang.

Qadiani merupakan sebuah fahaman agama yang bahaya dan khurafat lagi menyesatkan. Ia telah di asaskan oleh MIRZA GHULAM AHMAD dilahirkan pada tahun 1839 di kampung Qadian dalam daerah Gurdaspur pada peringkat akhir pemerintahan Sikh di situ. Bapanya bernama Mirza Ghulam Murtaza bin Mirza Atta Muhammad. Dia berketurunan Borlas dari bangsa Moghul. Dia mendakwa mendapat ilham bahawa beliau berasal dari bangsa Parsi. Dia menyatakan keturunannya dipercayai berasal dari Samarkand, kemudian berpindah ke India dan menetap di Qadian.

Mirza telah mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan (The Promised Messiah) pada tahun 1891 dan sebagai nabi Allah pada tahun 1901, maka ulama-ulama Islam mula menyerang dakwaannya itu. Antara mereka termasuklah Maulana Sana’ullah Amritsari, pengarang (penyunting) buku Ahli-Hadith.

Pada 5hb. April, tahun 1907, Mirza dengan lantang menjawab dan mencabar Maulana Sana’ullah di atas tuduhannya itu. Antara lain Mirza berkata: “Jika saya ini pembohong dan penipu maka saya akan mati pada masa kau masih hidup kerana saya tahu bahawa hidup seorang pembohong itu tidak akan panjang; dia akan mati sebagai seorang yang gagal pada masa lawannya masih hidup. Tetapi jika saya bukan pembohong malah diutuskan Allah dan juga sebagai Al-Masih yang dijanjikan maka saya harap dengan kekuasaan Allah, kau tidak akan dapat lari balasan-Nya. Dengan itu, justeru balasan itu hanya di tangan Allah, maka penyakit yang mematikan manusia seperti taun tidak akan mengenakan kau selagi saya masih hidup sebagai bukti saya ini pembohong”.

Tetapi setahun selepas itu iaitu pada 25hb. Mei 1908, Mirza jatuh sakit akibat penyakit ceret-beret di Lahore. Pada masa itu juga, beliau diserang penyakit taun. Pada keesokan harinya, 20hb. Mei, 1908, Mirza meninggal dunia.

QADIANI DI MALAYSIA

Di negara kita sendiri, Qadiani berjaya menyusup masuk pada awal 1930-an di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor yang merupakan pusat aktiviti terbesar mereka. Penyebarnya yang pertama dipercayai adalah Maulana Husin Iyaz yang telah datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singapura. Melalui pejabatnya ini, dia menyebarkan ajaran sesat Qadiani kepada orang ramai.

Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd Sadiq bin Barakatullah pada 22hb Disember 1949 sebagai penyebarnya di sini. Pada 15 Disember 1953 telah diadakan perbahasan antara kumpulan ini dengan para ‘alim ulama’ di hadapan DYMM Sultan Selangor, Hasil perbincangan itu memutuskan, golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai orang Islam, malah terkeluar dari Islam. Perkembangan mereka menjadi lumpuh ekoran daripada dialog tersebut. Kini hanya satu pusat yang masih bergerak aktif iaitu No. 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda, Batu Caves Selangor (Berdekatan Dengan Open Tahfiz Centre). Pusat ini mengadakan aktiviti seperti solat Jumaat, perhimpunan antarabangsa dan penerbitan risalah.

JELAS KEKUFURAN MIRZA

  1. Penghinaan Mirza Ghulam Ahmad terhadap Nabi Muhammad 
  2. Mendakwa sebagai jelmaan Nabi Muhammad 
  3. Pengakuan sebagai Nabi Isa Alaihissalam dan penghinaan terhadap Baginda 
  4. Mendakwa menerima wahyu setaraf dengan Al-Quran 
  5. Mengkafirkan umat Islam yang tidak menurut ajarannya 
  6. Menghapuskan jihad 


FATWA PARA ULAMA TERHADAP AJARAN QADIANI

Liga Muslim Sedunia, 14hb – 18hb Rabiulawal 1394 H ( Bersamaan April 1974 ) MEKAH.


Qadianiah atau Ahmadiah merupakan suatu gerakan subversif yang Menentang Islam dan Muslim sedunia. Ia, dengan penuh penipuan, Mendakwa bahawa sebagai salah satu gerakan Islam. Bersembunyi di Sebalik topeng Islam demi mencapai tujuan tertentu serta merancang Untuk menghancurkan Islam daripada asasnya lagi.


Qadiani hendaklah diisytiharkan sebagai bukan Muslim dan terkeluar daripada agama Islam. Mereka hendaklah turut ditegah daripada memasuki tanah suci Mekah dan Madinah.

Tidak boleh berurusan dengan pengikut-pengikut fahaman ini. Mereka hendaklah diboikot dari segi sosial, ekonomi dan budaya. Mereka tidak boleh bernikah dan dinikahi serta mayat mereka dilarang daripada ditanam di perkuburan Islam. Mereka hendaklah dilayan sebagai orang bukan Islam.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-101 diadakan pada 18hb. Jun, 1975.


“Puak Qadianiah / Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menikmati hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam”.


Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor 1989,

Ajaran Qadiani Adalah Satu Ajaran Yang Menyalahi Ajaran Islam Yang Sebenarnya. Pengikut-Pengikut Ajaran Qadiani Ini Telah Dihukumkan Kafir Oleh Ulama-Ulama Islam Serata Dunia.

Jabatan Agama Islam Selangor Telah Menghukumkan Kafir Kepada Pengikut-Pengikut Qadiani Yang Berpusat Di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor Pada 15 / 12 / 1953 Setelah Mereka Dibicarakan Di Istana Kuala Lumpur Di Hadapan D.Y.M.M Sultan Selangor Serta Beberapa Orang Alim Ulama Di Negeri Selangor Ini. Setiap Orang Yang Telah Menjadi Penganut Ajaran Qadiani Adalah Telah Murtad (Keluar Dari Agama Islam). Maka Wajiblah Dituntut Mereka Bertaubat Kembali Kepada Islam Dengan Mengikrar Dua Kalimah Syahadah.

Orang-orang Islam adalah dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku- buku berikut:

(a)         “Invitation to Ahmadiyah” oleh Hazrat Hj. Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II) 

(b)        “Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah” oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah. 
(c)        “Alam sebagai Saksi” oleh Mohamad Zain bin Hassan. 
(d)       “The Holy Quran With English Translation And Commentary” (vol. II, Part I) oleh M. Mas’ud Ahmad

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993

“Bahawa ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad adalah bukan daripada ajaran Islam dan orang-orang yang mengikut ajaran ini bukanlah orang Islam.”

Sumber : Awas! Qadiani Terkeluar Daripada Islam.. ( Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2008)

Raja Muda: Pelajar perlu berminda strategis dan telus

Berita ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia keluaran 28 September 2012, pautan http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120927/dn_22/Pelajar-perlu-berminda-strategis-dan-telus-Raja-Muda juga boleh dirujuk.

KANGAR 27 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin para pelajar institusi pengajian tinggi mampu menjadi modal insan terhebat untuk negara jika mereka berminda strategis dan bersifat telus.

Menurut baginda, mereka yang berminda strategis mampu menyusun tindakan dengan bijak dan jika digabungkan pula dengan sifat telus akan menjadikan mereka lebih dihormati.

Merasmikan Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-7 di sini malam tadi, baginda bertitah negara memerlukan modal insan hebat yang boleh ditingkatkan melalui pelbagai kegiatan positif.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah, modal insan terhebat ynag lahir daripada gabungan minda strategis dan sifat telus akan mencetus nilai murni termasuk berdedikasi, berdisiplin, berakhlak mulia, bermoral tinggi, progresif dan patriotik. - BERNAMA

26 September 2012

BERNAMA: Liga Islam Sedunia kecam filem hina Islam

Akhbar Bernama melaporkan maklum balas Setiausaha Rabitah al-'Alam al-Islami pada 18 September 2012. Laporan mengenai ucapan Setiausaha 'Rabitah' atau Liga Islam Sedunia ini boleh dirujuk terus di http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=695198


BANGKOK: Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky, berkata hari ini filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat. "Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama dan Proses Perdamaian di Asean, di sini. Liga Islam Sedunia, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajuk 'Innocence of Muslims' yang memutar belit fakta berhubung Nabi Muhammad.

Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara dan meragut banyak nyawa, termasuk seorang duta Amerika.

Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.

Beliau turut diminta mengulas permintaan sekumpulan pengganas yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat. "Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.

"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya. - BERNAMA

UTUSAN: Jangan mudah terpesong dan dipesongkan - Raja Perlis

Peringatan ini dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 19 September 2012, ianya boleh dirujuk terus di pautan http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120918/dn_23/Jangan-mudah-terpesong-dan-dipesongkan

GEORGETOWN 18 Sept. - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan anak-anak muda supaya tidak mudah terpesong dan dipesongkan oleh perubahan nilai yang berlaku ketika ini terutamanya yang bersifat kebendaan dan mementingkan diri.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah perubahan yang ingin dilakukan oleh golongan itu adalah digalakkan, bagaimanapun perubahan itu bukanlah melibatkan perkara asas yang telah dipertahankan sebagai jati diri sejak sekian lama.

"Meskipun negara kita telah merdeka, tetapi bukanlah bermaksud untuk kita bebas segalanya sehingga melanggar tatasusila dan budaya kita.

"Kemerdekaan yang kita perolehi seharusnya memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan membuat keputusan mengikut acuan kita sendiri dalam membawa negara ke mercu yang lebih gemilang dan disegani," titah baginda pada majlis perasmian Ekspo Konvokesyen USM ke-46, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. - BERNAMA

RAJA PERLIS: Renung keperitan hidup rakyat di negara lain

Laporan ini telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 26 September 2012, ianya boleh dibaca terus melalui pautan http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120926/wu_02/Renung-keperitan-hidup-rakyat-di-negara-lain

PULAU PINANG 25 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat mengambil iktibar terhadap nasib malang yang menimpa sesetengah negara.

Titah baginda, rakyat di beberapa negara ketika ini hidup dalam keadaan sengsara akibat perang dan pergaduhan sesama sendiri sehingga keadaan menjadi kucar-kacir.

"Renungkanlah keperitan yang mereka alami dan ambil pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan itu.

"Justeru, beta menyeru agar kita menginsafi kejadian itu secara serius," titah baginda ketika berucap merasmikan Konvokesyen Ke-46 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, bagi graduan pula ilmu pengetahuan yang dimiliki haruslah digunakan untuk membawa masyarakat dan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.

"Ilmu yang dipelajari tidak akan berguna jika tidak diamalkan dan akan membawa kesan buruk jika digunakan dengan cara yang salah.

"Selain itu, beta juga ingin menasihatkan supaya menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Jagalah ibu bapa dan keluarga kerana inilah perkara asas yang perlu disemai," titah baginda.

Pada sidang pertama majlis konvokesyen hari ini, seramai 750 graduan menerima ijazah masih-masing dan 150 daripadanya merupakan penerima ijazah doktor falsafah (PhD).