21 December 2010

DOSA-DOSA YANG DIANGGAP BIASA OLEH KEBANYAKAN ORANG (2)


BAHAGIAN KEDUA

BANYAK MELAKUKAN GERAKAN SIA-SIA DALAM SOLAT

Telah diterangkan oleh Syeikh Muhammad Shalih Al Munajjid: ‘ Sebahagian umat Islam hampir tak terelakkan dari bencana ini. Yakni melakukan gerakan yang tidak ada gunanya dalam solat. Mereka tidak mematuhi perintah Allah dalam firman-Nya: Al-Baqarah ayat 238 [2:238]

وَقُوْمُوْا للهِ قَانِتِيْنَ

“Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.”

Juga tidak memahami firman Allah: Al-Mukminun ayat 1-2

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلاَتِهِمْ خَاشِعُوْنَ

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Suatu ketika, Rasulullah saw. ditanya tentang hukum meratakan tanah ketika sujud. Beliau menjawab :

لاَ تَمْسَحْ وَاَنْتَ تُصَلِّ فَاِنْ كُنْتَ لاَ بُدَّ فَاعِلاً فَوَاحِدَةً تَسْوِيَةَ الْحَصَى

“Janganlah engkau mengusap (tanah) sedang engkau di dalam solat. Jika engkau (terpaksa) harus melakukannya maka (cukup) sekali meratakan kerikil.”

H.R. Abu Daud 1/581 dalam SHAHIHUL JAMI’ hadits no : 7452.Imam Muslim meriwayatkan hadits yang senada dengannya dari Mu’aiqib - Bin Baz.

Para ulama menyebutkan, banyak gerakan secara berturut-turut tanpa keperluan (penting) dapat membatalkan solat. Apalagi orang yang melakukan pekerjaan yang tidak ada gunanya dalam solat. Berdiri hadapan Allah sambil melihat jam tangan, membetulkan pakaian, memasukkan jari ke dalam hidung, melempar pandangan ke kiri dan ke kanan atau ke atas langit. Ia tidak takut kalau-kalau Allah mencabut penglihatannya atau syaitan melalaikannya dari ibadah solat.’

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ لِيْ رَسُوْلُ الله ص: اِيَّاكَ وَالاِلْتِفَاتَ فِي الصَّلاَةِ فَاِنَّ الاِلْتِفَاتَ فِي الصَّلاَةِ هَلَكَةٌ فَاِنْ كَانَ لاَ بُدَّ فَفِي التَّطَوُّعِ لاَ فِي الْفَرِيْضَةِ

Daripada Anas bin Malik ia berkata: Telah bersabda kepadaku Rasulullah saw: Jauhkanlah dirimu dari berpaling-paling dalam solat kerana berpaling-paling dalam solat itu kebinasaan. Jika tidak dapat tidak (perlu berpaling) maka dalam solat sunat, jangan dalam solat fardhu

Riwayat At-Tirmidzi

Hadits ini melarang orang yang bersolat berpaling-paling mukanya dalam solatnya, sekejap berpaling mukanya ke kanan kemudian ke kiri kemudian ke kanan dan sebagainya. Bahawa berpaling itu sekali-kali tidak boleh dilakukan dalam solat fardhu dan adapun dalam solat sunat, sekiranya amat perlu maka boleh berpaling di mana para ulama mengambil kefahaman dari hadits ini hanya sekali sahaja yang dibenarkan berpaling (dalam solat sunat). Sesungguhnya berpaling ini adalah dari sambaran syaitan sebagaimana sabda Rasulullah saw:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: سَاَلْتُ رَسُوْلَ الله ص عَنِ التَّلَفُّتِ فِي الصَّلاَةِ فَقَالَ: اِخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ

Daripada Aisyah ia berkata: Aku bertanya Rasulullah saw tentang berpaling-paling dalam solat maka beliau saw bersabda: Itu suatu sambaran daripada syaitan terhadap solat seorang hamba (manusia)

Riwayat Ahmad, Bukhari, An-Nasaie dan Abu Daud

Ulasan

Pergerakan-pergerakan dalam solat itu dibenarkan selama ia atas keperluan. Telah disunnahkan oleh Rasulullah saw pergerakan-pergerakan yang boleh kita lakukan di ketika solat. Antaranya iaitulah dibolehkan kita mengendong anak kecil di dalam solat sama ada anak sendiri atau anak orang lainnya baik lelaki mahupun perempuan jika yang demikian itu adalah suatu keperluan. Ini berdasarkan hadits dari Abu Qatadah yang berbunyi :

عَنْ اَبِى قَتَادَةَ الأَنْصَارِى قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ اللهِ ص كَانَ يُصَلِّى وَهُوَ حَامِلٌ اُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُوْلِ الله ص لاَبِى الرَّبِيْعِ بْنِ الْعَاصِ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ فَاِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا وَاِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Abu Qatadah r.a. menerangkan: “Bahawa Rasulullah saw. solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulullah saw, ayahnya Rabi' bin Al-Ash bin Abdisy Syams. Maka apabila beliau bersujud, beliau mendudukkannya (meletakkannya) dan apabila beliau berdiri, beliau mendukungnya lagi.”

H.R. Bukhari dan Muslim.

Di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan: “Beliau pada kala itu sedang mengimami para sahabat di dalam masjid.” Hadits ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud, An Nasai, Ahmad dan Ibnu Hibban.

Umamah binti Zainab adalah anak kepada Abul Ash ibn Rabi. Iaitu cucu Rasulullah saw., semasa kejadian ini Umamah masih kecil. Hadits ini menjelaskan bahawa mengangkat dan meletakan kanak kanak semasa di dalam solat tidak membatalkan solat demikian juga dapat difahami bahawa tidak berlaku permasalahan melintasi sutrah di atas kanak kanak kerana dengan meletakkan kanak kanak semasa sujud memungkinkan ia bergerak di hadapan orang yang bersolat semasa keadaan duduk diantara dua sujud.

Aisyah r.a. menjelaskan tentang dibolehkan seseorang yang bersolat itu berjalan untuk membuka pintu apabila ada orang yang ingin memasukinya.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُوْلُ الله ص يُصَلِّى فِي الْبَيْتِ وَالْبَابُ عَلَيْهِ مُغْلَقٌ فَجِئْتُ فَمَشَى حَتَّى فَتَحَ لِيْ ثُمَّ رَجَعَ اِلَى مَقَامِهِ وَوَصَفَتْ اَنَّ الْبَابَ فِي الْقِبْلَةِ

Aisyah berkata: “Adalah Rasulullah saw. solat di rumah, sedang pintu kamar terkunci (tertutup). Maka jika saya mau masuk, Rasulpun melangkah dalam solatnya dan membukakan pintu untukku, kemudian beliau kembali lagi ke tempat solatnya. Dan Aisyah memerangkan, bahawasanya pintu itu terletak di sebelah kiblat.”

H.R. Ahmad, Abu Daud, At-Tirmidzi dan Nasa’i.

Hadits ini menjelaskan berjalan yang sedikit seperti membuka pintu yang berada berhampiran dengan orang yang solat itu tidak membatalkan solat. Tiadalah di jelaskan di dalam pencarian saya tentang apakah Rasulullah saw. berjalan selangkah berhenti selangkah tetapi apa yang boleh di ambil faham bahawa berjalan sedikit kerana sesuatu keperluan yang di benarkan oleh syarak adalah di bolehkan. Maka hendaklah orang yang berjalan itu tidak berpaling dari kiblat kerana hadits itu menjelaskan Rasulullah saw. berjalan membuka pintu yang berada di hadapannya. Dalam riwayat Nasai terdapat tambahan ‘solat sunnat’ iaitu perlakuan Nabi saw. itu adalah di dalam solat sunnat. Namun kebolehan bergerak yang sedikit di dalam solat itu juga boleh berlaku di dalam solat wajib, ini berdasarkan hadits yang di riwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud :

وَفِيْ رِوَايَةٍ: قَامَ رَسُوْلُ الله ص لِيُصَلِّى فَجِئْتُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَاَخَذَ بِيَدِيْ فَاَدَارَنِيْ حَتَّى اَقَامَنِيْ عَنْ يَمِيْنِهِ ...

Dan dalam satu riwayat: “Rasulullah saw berdiri untuk solat, kemudian aku datang, lalu aku berdiri di sebelah kirinya, lalu Nabi saw. mengambil tanganku, lalu ia mengalih/menarik aku sehingga ia menempatkan aku di sebelah kanannya……”

Dalam riwayat lainnya daripada Aisyah:

اَنَّهُ كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى فَاِذَا اسْتَفْتَحَ اِنْسَانٌ الْبَابَ فَتَحَ الْبَابَ مَا كَانَ فِي الْقِبْلَةِ اَوْ عَنْ يَمِيْنِهِ اَوْ عَنْ يَسَارِهِ وَلاَ يَسْتَدْبِرُ الْقِبْلَةَ

Bahawa Nabi saw di waktu bersolat, jika ada seseorang yang minta dibukakan pintu, beliau pun membukakan pintu itu apabila letaknya di arah kiblat, di kanan atau di kirinya tapi tidak membelakangi kiblat.

Riwayat Daruqutni

Daripada Sahal bin Said:

اَنَّ رَسُوْلَ الله ذَهَبَ اِلَى بَنِى عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ لِيُصْلِحَ بَيْنَهُمْ فَحَانَتِ الصَّلاَةُ فَجَاءَ الْمُؤَذِّنُ اِلَى اَبِى بَكْرٍ فَقَالَ: اَتُصَلِّى بِالنَّاسِ فَاُقِيْمَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَصَلَّى اَبُو بَكْرٍ فَجَاءَ رَسُوْلُ الله وَالنَّاسُ فِي الصَّلاَةِ فَتَخَلَّصَ حَتَّى وَقَفَ فِي الصَّفِّ فَصَفَّقَ النَّاسُ وَكَانَ اَبُو بَكْرٍ لاَ يَلْتَفِتُ فِي الصَّلاَةِ فَلَمَّا اَكْثَرَ النَّاسُ التَّصْفِيْقَ اِلْتَفَتَ فَرَأَى رَسُوْلُ الله فَاَشَارَ اِلَيْهِ رَسُوْلُ الله: اَنِ امْكُثْ مَكَانَكَ فَرَفَعَ اَبُو بَكْرٍ يَدَيْهِ فَحَمِدَ اللهَ عَلَى مَا اَمَرَهُ بِهِ رَسُوْلُ الله مِنْ ذَلِكَ ثُمَّ اسْتَأْخَرَ اَبُو بَكْرٍ حَتَّى اسْتَوَى فِي الصَّفِّ وَتَقَدَّمَ النَّبِيُّ فَصَلَّى ثُمَّ انْصَرَفَ فَقَالَ: يَا اَبَا بَكْرٍ مَا مَنَعَكَ اَنْ تَثْبُتَ اِذْ اَمَرْتُكَ؟ فَقَالَ اَبُو بَكْرٍ: مَا كَانَ لاِبْنِ اَبِيْ قُحَافَةَ اَنْ يُصَلِّى بَيْنَ يَدَى رَسُوْلِ الله فَقَالَ رَسُوْلُ الله: مَالِيْ رَاَيْتُكُمْ اَكْثَرْتُمُ التَّصْفِيْقَ؟ مَنْ نَابَهُ شَيْءٌ فِي صَلاَتِهِ فَلْيُسَبِّحْ فَاِنَّهُ اِذَا سَبَّحَ الْتَفِتَ اِلَيْهِ وَاِنَّمَا التَّصْفِيْقُ لِلنِّسَاءِ

Bahawa Rasulullah saw pergi ke tempat Bani ‘Amru bin ‘Auf untuk mendamaikan suatu masalah yang menjadi perselisihan. Waktu solat tiba dan muazzin datang kepada Abu Bakar dan menanyakan apakah ia suka menjadi imam, hingga solat dapat segera dimulai. Abu Bakar pun bersedia lalu bersolat sebagai imam. Tiba-tiba di waktu orang sedang bersolat itu, Rasulullah saw datang. Beliau masuk ke dalam barisan dan berdiri di shaf pertama. Orang-orang bertepuk tangan tapi Abu Bakar tidak menoleh sama sekali. Maksud mereka dengan demikian ialah hendak memberitahukannya kedatangan Nabi saw dan makin banyaklah tepukan tangan mereka hingga akhirnya Abu Bakar menoleh dan dilihatnya Rasulullah saw. Maka Rasulullah saw mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap di tempatnya serta meneruskan solat. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya dan memuji Allah sebab merasa syukur atas perintah Nabi saw untuk terus menjadi imam itu tapi kemudiannya ia mengundurkan diri hingga sejajar dalam shaf pertama dan Nabi pun lalu maju ke hadapan lalu bersolat hingga selesai. Kemudian beliau saw bertanya: Wahai Abu Bakar, apa halangannya untuk tetap di tempatmu ketika aku suruh tadi? Jawab Abu Bakar: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah bersolat di depan Rasulullah. Lalu kepada orang banyak beliau saw bersabda: Kenapa kamu sekalian membanyakkan tepuk tangan? Barangsiapa yang ingin mengingatkan / menatik perhatian dalam solatnya hendaklah ia bertasbih kerana bila bertasbih harus ditoleh. Bertepuk tangan hanyalah untuk wanita.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Hadits-hadits di atas menjadi dalil bahawa bagi orang yang bersolat boleh sekiranya terdapat keperluan untuk ia bergerak ke depan, kanan, kiri atau belakang atau mana-mana arah asalkan ia tidak membelakangi kiblat.

Maka jelas dari hadits di atas pergerakan yang sedikit kerana sesuatu keperluan di dalam solat yang boleh mengganggu solat itu sendiri adalah di bolehkan. Dan di dalam keadaan yang di suruh oleh Rasulullah saw. seperti menahan orang yang cuba melintasi sutrah dan seterusnya mempertahankan kedudukan sutrah itu jika orang tersebut cuba juga melintas, maka yang demikian tidaklah dibatas lagi pergerakan kerana ianya termasuk di dalam keadaan yang darurat dan seseorang itu terpaksa mempertahankan sutrahnya walaupun terpaksa memeranginya.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: اِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يُصَلِّى فَلاَ يَدَعْ اَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ فَاِنْ اَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَاِنَّ مَعَهُ الْقَرِيْنَ

Ibnu Umar menerangkan: Bahawa Nabi saw. bersabda: “Apabila seseorang kamu sedang solat, janganlah ia membiarkan seseorang berlalu (lewat) di hadapannya. Jika orang yang hendak berlalu enggan ditolak, hendaklah dibunuh, kerana besertanya ada kawannya.”

Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah.

Demikian juga apabila datang binatang berbisa seperti ular dan lipan yang memungkinkan kita berada di dalam keadaan bahaya maka lakukanlah usaha mengelakkannya dengan kadar keupayaan kita. Hadits yang berbunyi :

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص اَمَرَ بِقَتْلِ الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْعَقْرَبِ وَالْحَيَّةِ

Abu Hurairah r.a. menerangkan: “Bahawasanya Nabi saw. memerintahkan kita membunuh dua binatang hitam di dalam solat. Iaitu lipan dan ular.”

Hadits shahih riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa’I, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Segala perbuatan yang memungkinkan pergerakkan yang banyak di dalam solat yang ada contohnya dari Nabi saw. atau beliau izinkannya tidak dapat di katakan terlarang atau makruh tetapi ianya adalah sunnahnya. Nabi saw. mengizinkan kita membunuh ular dan lipan di dalam solat itu bermakna perkara itu di bolehkan dan para sahabat seperti Ali r.a. dan Ibnu Umar melakukannya. Dari tabiin pula yang membunuh ular di dalam solat adalah Al-Hasan Al-Bishri, Abul Aliyah, Atha’ Muwarriq Al-Ajali dan lain lainnya.

Rujuk KOLEKSI HADIS HADIS HUKUM 3-T.M.HASBI, M.S. 352-354.

DOSA-DOSA YANG DIANGGAP BIASA OLEH KEBANYAKAN ORANG

BAHAGIAN PERTAMA

Dipetik dari kitab DOSA-DOSA YANG DIANGGAP BIASA yang diterjemahkan dari kitab asalnya مُحَرَّمَاتٌ اسْتَهَانَ بِهَا النَّاسُ يَجِبُ الْحَذْرُ مِنْهَا oleh Muhammad Shalih Al-Munajjid. Kitab yang menerangkan tentang kelalaian umat Islam sekarang ini tentang dosa-dosa sehingga mereka merasakan ianya adalah perbuatan biasa dalam kehidupan seharian, iaitu tidak merasakan apa-apa kesalahan atau rasa bersalah dalam melakukannya. Kita mulakan tentang dosa-dosa yang bersangkutan dengan urusan solat terlebih dahulu.

TIDAK THUMA’NINAH DALAM SOLAT

Syeikh Muhammad Salih menerangkan di dalam kitabnya: ‘Di antara kejahatan pencuri terbesar adalah pencurian dalam solat, Rasulullah saw. bersabda:

أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِيْ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ. قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ الله وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ؟ قَالَ: لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهَا وَلاَ سُجُوْدَهَا

“Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dari solatnya.” Mereka bertanya: “Bagaimana ia mencuri dari solatnya?” Beliau menjawab: “(Ia) tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

H.R. Imam Ahmad, 5/310 dalam Shahihul Jami’ hadits no: 997.

Meninggalkan thuma’ninah (mendiamkan diri sejenak iaitu menenangkan anggota badan yang dipandang oleh para ulama batasan minimanya ialah dengan lama waktu yang diperlukan ketika membaca tasbih - lihat Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq 1/124), iaitu tidak meluruskan dan mendiamkan punggung saat ketika rukuk dan sujud, tidak tegak ketika bangkit dari ruku serta ketika duduk antara dua sujud, semuanya merupakan kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin. Bahkan hampir boleh dikatakan, tak ada satu masjid pun kecuali di dalamnya terdapat orang-orang yang tidak thuma’ninah dalam solatnya.

Thuma’ninah adalah rukun solat, tanpa melakukannya solat menjadi tidak sah. Ini sungguh persoalan yang sangat serius. Rasulullah saw. bersabda :

لاَ تُجْزِئُ صَلاَةُ الرَّجُلِ حَتَّى يُقِيْمَ ظَهْرَهُ فِى الرُّكُوْعِ وَالسُّجُوْدِ

“Tidak sah solat seseorang sehingga ia menegakkan (meluruskan) belakangnya ketika rukuk dan sujud.”

H.R. Abu Daud, 1/533,dalam Shahihul Jami’ no : 7224.

Tidak diragukan lagi, ini suatu kemungkaran. Pelakunya harus dicegah dan diperingatkan akan ancamannya. Abu Abdillah Al Asy’ari berkata: (Suatu ketika) Rasulullah saw. solat bersama para sahabatnya, kemudian beliau duduk bersama sekelompok dari mereka. Tiba-tiba seorang lelaki masuk dan berdiri menunaikan solat. Orang itu rukuk lalu sujud dengan cara mematuk, maka Rasulullah saw. bersabda :

أَتَرَوْنَ هَذَا؟ مَنْ مَاتَ عَلَى هَذَا مَاتَ عَلَى غَيْرِ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ يَنْقُرُ صَلاَتَهُ كَمَا يَنْقُرُ الْغُرَابُ الدَّمَ اِنَّمَا مَثَلُ الَّذِي يَرْكَعُ وَيَنْقُرُ فِيْ سُجُوْدِهِ كَالْجَائِعِ لاَ يَأْكُلُ اِلاَّ التَّمْرَةَ وَالتَّمْرَتَيْنِ فَمَاذَا يُغْنِيَانِ عَنْهُ

“Apakah kalian menyaksikan orang ini? Barangsiapa meninggal dengan keadaan seperti ini (solatnya) maka dia meninggal dalam keadaan di luar agama Muhammad. Ia mematuk dalam solatnya sebagaimana burung gagak mematuk darah. Sesungguhnya perumpamaan orang yang solat dan mematuk dalam sujudnya bagaikan orang lapar yang tidak makan kecuali sebutir atau dua butir kurma, bagaimana ia berasa cukup (kenyang) dengannya?”

H.R. Ibnu Khuzaimah dalam kitab Sahihnya 1/332. Lihat pula Shifatu Shalatin Nabi, oleh Al-Albani hal.131.

عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ قَالَ: اِنَّ حُذَيْفَةَ رَأَى رَجُلاً لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهُ وَلاَ سُجُوْدَهُ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ حُذَيْفَةُ: مَا صَلَّيْتَ وَلَوْ مِتَّ، مِتَّ عَلَى غَيْرِ الْفِطْرَةِ الَّتِي فَطَرَ اللهُ النَّاسَ عَلَيْهَا مُحَمَّدًا

Zaid bin Wahab menerangkan: “Bahawasanya Hudzaifah r.a. melihat seorang lelaki solat dengan tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Setelah orang tersebut selesai solat beliau memanggilnya lalu mengatakan: “Engkau tidak solat. Sekiranya engkau mati dalam keadaan kamu masih solat begini, engkau mati bukan dengan fitrah yang diberikan Tuhan kepada Muhammad.”

H.R. Ahmad dan Al-Bukhari. Fathul Bari, 2/274.

Orang yang meninggalkan thumani’nah dalam solat, sedang ia mengetahui hukumnya, maka wajib baginya mengulangi solatnya seketika dan bertaubat atas solat-solat yang dia lakukan tanpa thuma’ninah pada masa-masa lalu. Ia tidak wajib mengulangi solat-solatnya di masa lalu, berdasarkan hadits :

اِرْجِعْ فَصَلِّ فَاِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ

“Kembalilah, dan solatlah (kembali), sesungguhnya engkau belum solat.”

Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah. Lafaz ini bagi Bukhari

Ulasan

Allahamdulillah masih ada ulama sekarang yang menitik-beratkan tentang thumani’nah dalam ibadah solat. Telah sekian banyak masjid sekarang ini yang mula mengabaikan kewajipan thumani’nah ini. Paling malang, adalah orang yang solatnya ada thumani’nah, tetapi dianggap salah oleh masyarakat atau imam apabila ia lambat dalam menurut imam semasa solat jamaah. Alasan imam bahawa makmum itu hendaklah menurut imam, imam itu untuk diikuti. Bagi saya itu alasan imam yang memutar-belit nash yang sahih supaya secocok dengan pendiriannya. Sebenarnya imam itu wajib bersolat menurut solat Rasulullah saw. dan apabila imam bersolat menurut As-Sunnah, maka wajib pula makmum itu menurutinya.

Tetapi bila imam tergesa-gesa sehingga makmum tinggal satu tasbih sahaja dalam rukuk dan sujudnya, dan jika sempat tiga bacaan tasbih pun, ianya dalam suasana tergesa-gesa tanpa khusyuk kerana berlumba untuk menurut imam maka ini bukan lagi solat yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. Maka wajib bagi makmum itu berthamani’nah, jika tidak, solatnya tidak sah sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits di atas. Alasan imam menanggung dosa atau kesilapan kita dalam bab thamani’nah ini hanyalah putar-belit akal, sebenarnya jika imam melakukan dosa seperti berbuat bid’ah di dalam solat dan kita pun menurutnya, maka itulah yang kita dapat. Imam sesat makmum juga sesat. Demikian juga dalam thamani’nah apabila imam tergesa-gesa lalu makmum pun lebih tergesa-gesa kerana mengejar imam, maka bila telah hilang thamani’nah maka tidak sah solatnya dan wajib ia mengulangi solatnya sekali lagi. Jika ia teruskan amalan yang demikian maka sebagaimana sabda Rasulullah saw.: “Maka ia meninggal dalam keadaan di luar agama Muhammad.” Awas jangan mengambil mudah urusan thamani’nah, sebesar mana ulama itu, ia tidak boleh mengubah ketetapan yang telah disunnahkan oleh Rasulullah saw. Telah diterangkan oleh hadits Said bin Jubeir yang diterimanya dari Anas, katanya :

عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ اَحَدٍ بَعْدَ رَسُوْلِ الله ص اَشْبَهَ صَلاَةً بِرَسُوْلِ الله ص مِنْ هَذَا الْفَتَى يَعْنِيْ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيْزِ. قَالَ: فَحَرَزْنَا فِيْ رُكُوْعِهِ عَشَرَ تَسْبِيْحَاتٍ وَفِيْ سُجُوْدِهِ عَشَرَ تَسْبِيْحَاتٍ

Anas ibn Malik r.a. berkata : “Saya tidak pernah solat di belakang seseorang sesudah Rasul saw, yang lebih sesuai solatnya dengan solat Rasul, selain dari pemuda ini (Umar ibn Abdul Aziz). Kami menghitung bacaan tasbihnya sebanyak sepuluh kali baik dalam rukuk ataupun dalam sujudnya.”

H.R. oleh Ahmad, Abu Daud dan An Nasai dengan sanad yang baik. Semua perawinya adalah kepercayaan kecuali seorang yang bernama Abdullah ibn Kaisan yang pada An-Nasai ia berpendapat orang ini :

LAISA BIHI BA’SUN = BOLEH DI TERIMA.

Inilah contoh pngamalan yang kukuh berdasarkan sunnah Rasulullah saw dalam solat berjemaah. Bacaan yang dianggarkan oleh sahabat sebanyak sepuluh kali bacaan tasbih ini adalah bacaan yang paling lemah yang sememangnya dianjurkan Rasulullah saw ketika berjemaah. Hadits Usman bin Abil Ash, ia berkata:

يَا رَسُوْلَ الله اِجْعَلْنِيْ اِمَامَ قَوْمِيْ. قَالَ: اَنْتَ اِمَامُهُمْ فَاقْتَدِ بِاَضْعَفِهِمْ وَاتَّخِذْ مُؤَذِّنًا لاَ يَأْخُذُ عَلَى اَذَانِهِ اَجْرًا

“Ya Rasulullah! Jadikanlah aku ini imam bagi kaumku. Maka Nabi pun berkata: Engkau kujadikan imam kaummu, contohilah solat orang yang paling lemah (solat yang dapat di ikuti orang paling lemah) dan angkatlah seorang muazzin yang tiada mahu mengambil upah dari azannya.”

H.R.oleh Ahmad, Abu Daud, At-Turmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah.Di sahihkan oleh Al-Hakim dan Turmidzi berkata hadits ini hasan.

عَنْ اَنَسٍ قَالَ: مَا صَلَّيْتُ خَلْفَ اِمَامٍ قَطُّ اَخَفُّ صَلاَةً وَلاَ اَتَمُّ صَلاَةً مِنَ النَّبِيِّ ص

Daripada Anas ia berkata: Aku sama sekali tidak pernah solat di belakang imam yang lebih pendek solatnya dan tidak pula yang lebih sempurna selain Nabi saw

Muttafaq ‘Alaih

Contohilah pengamalan Rasulullah saw, usahlah kita mempertikaikan dan bersikap merasa sulit bertasbih dengan sepuluh kali tasbih di mana ianya hanya sekadar beberapa saat sahaja.

17 November 2010

Belajar Bahasa Arab


Kepada sesiapa yang mempunyai masalah untuk belajar bahasa arab, bolehlah belajar secara individu atau berkumpulan dengan merujuk web di bawah.

Pastikan anda betul-betul sudah mahir , dan faham kesemuanya baru tukar ke topik yang baru.
http://www.iu.edu.sa/web/spages/edu/syukbah/du1_index.htm

07 November 2010

Aktiviti Biro 2010 (11)

LAPORAN AKTIVITI JAWATANKUASA INDUK

- Memo ust Asri Sobri
Ust. Asri Sobri telah dituduh menghina Islam melalui ceramahnya di Masjid Alwi pada 17 Ogos 2009. Isu yang dibangkitkan adalah seperti penyataan solat hajat perdana adalah bid’ah seumpama pesta dangdut di kelab malam. Pihak persatuan telah mengambil langkah bagi memperbaiki kekeruhan keadaan dengan menghantar Memorandum 11 Perkara Persatuan Al-Islah Perlis kepada DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan berharap supaya keharmonian amalan sunnah dapat terus dipertahankan di negeri ini.


- Sidang akhbar ust Wahab bin Abdullah
Satu sidang akhbar telah diadakan di Pusat Pengajian Al-Islah pada 9 Julai 2010 bagi membuat pembetulan kepada penyataan sebuah artikel yang bertajuk “Abdul Wahab Nafi Sertai Umno” di Akhbar Sinar pada 29 Jun 2010. Pihak persatuan menafikan keterlibatan secara langsung mahupun tidak dengan kenyataan tidak berasas Ust. Abdul Wahab bahawa beliau mewakili persatuan untuk membersihkan nama persatuan yang kononnya terlibat dengan wahabi dan keganasan. Antara pemberita yang hadir adalah wakil Bernama dan Akhbar Sinar.


- FASS 2010
Forum Ahlis Sunnah Wal Jamaah al-Salafiyyah Negeri Senusantara (FASS 2010) telah dijalankan di Masjid Tuanku Syed Putra pada 12 Jun 2010 bertemakan tajuk “Menyemarakkan Dakwah Mengeratkan Ukkwah”. Forum peringkat nusantara tersebut adalah yang pertama dijalankan oleh Persatuan Al-Islah Perlis yang mana melibatkan penceramah daripada pelbagai negara antaranya Prof Madya Dr Muhammad Akyar Adnan dari Indonesia, Ustaz Rasul Dahri dari Singapura, Dr Ismail Lutfi Abdul Rahman dari Thailand, Ustaz Sofwan Ahmad Badrie dari Malaysia dan Dato Alim Setia Ahmad bin Jusoh mewakili Persatuan Al-Islah Perlis. Forum tersebut di pengerusikan oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris iaitu daripada Persatuan Al-Islah Perlis. Lebih membanggakan, FASS 2010 telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajudin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Objektif sebenar FASS 2010 dijalankan ada bertujuan menyegarkan dan memperteguh kefahaman tentang pentingnya dakwah ke jalan Allah terus diperhebatkan secara kritis dan kreatif dalam paradigma jama’ah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu, memperkuatkan ukhuwwah dan sinergi dakwah berasaskan al-Tauhid dan al-Sunnah di kalangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah Negeri Perlis dengan rakan- rakan semanhaj dari seluruh Malaysia dan senusantara adalah kepentingan utama. Bersesuaian dengan ulangtahun ke-10 pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis, menzahirkan penghargaan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah seluruh Perlis, seMalaysia dan senusantara kepada baginda selaras dengan tema sambutan ulangtahun ke-10 ’Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat, Rakyat Sejahtera Negeri Berkat’ serta ulangtahun ke-67 keputeraan baginda.

FASS 2010 bermula selepas solat subuh dimana program pemuda Persatuan Al-Islah Perlis berlangung. Ceramah pemuda disampaikan oleh pegawai jabatan mufti Perlis iaitu Ustaz Sirajjuddin. Pada jam 8.00-9.00 pagi pula adalah ketibaan jemputan-jemputan dari dalam dan luar Perlis. Jemputan di luar Perlis adalah dari Kuala Lumpur, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Singapura, Thailand, Indonesia dan Arab Saudi. Selepas semua jemputan hadir, Tuanku Raja Perlis pula hadir sebagai tetamu VVIP pada jam 9.15 pagi. Pemuda Persatuan Al-Islah Perlis menyambut kedatangan Tuanku Raja Perlis dengan persembahan silat. Forum kemudiannya dimulakan pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 12 tengahari. Majlis penutup forum diserikan dengan penyampaian hadiah jemputan khas FASS 2010 kepada DYMM Tuanku Raja Perlis. Kemudiannya Deklarasi FASS 2010 dibacakan kepada hadirin yang hadir untuk lebih memahami tujuan sebenar FASS 2010 dijalankan. FASS 2010 berakhir dengan jamuan makan tengahari pada jam 1.00 petang.


- Seminar Isu Pernikahan Kanak-kanak (5 Mei 2010)
Seminar “Isu pernikahan kanak-kanak” yang bertajuk Permasalahan Dan Penyelesaiannya Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah” dijalankan pada 5 mei 2010 di Perpustakaan Awam Negeri Kangar, Perlis. Seminar tersebut adalah hasil usaha dan kerjasama Persatuan Al-Islah Perlis dengan Jabatan Mufti Negeri Perlis. Seminar tersebut dirasmikan oleh Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis iaitu Y.B Japeri Othman.

Tiga orang pembentang utama telah membentang hujah berkenaan seminar pernikahan kanak-kanak. Antara pembentang utama dalam seminar ini adalah Dato’ Alim Setia Ahmad Jusuf Amin yang membentang tajuk “Pernikahan Kanak-kanak Dan Hubungannya Dengan Hikmah Pensyariatan Pernikahan”. Pembentang kedua seminar pernikahan kanak-kanak adalah Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman yang memberi hujah berdasarkan analisis beberapa hadis yang terpilih bersesuaian dengan seminar pernikahan kanak-kanak. Pembentang ketiga dan terakhir dalam seminar pernikahan kanak-kanak ini ialah Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman yang membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk ”Pernikahan Kanak-kanak: Antara Teori Dan Amalan Dalam Undang-undang Di Malaysia”.

Seminar Pernikahan Kanak-kanak ini adalah bertujuan memberi kefahaman kepada peserta seminar tentang pernikahan kanak-kanak dari pandangan perundang islah, Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, seminar ini juga diharapkan dapat memberi wadah dan input awal dalam menggerakkan usaha mengkaji semula tafsiran dan perlaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia amnya dan di Perlis khususnya supaya lebih dekat dengan hakikat dan hasrat manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah. Peserta seminar adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri Perlis, Usrah Masjid-masjid Kawasan Kayang dan Kawasan Utan Aji.


- Majlis tertutup bersama 3 ulama’ majlis Fatwa perlis (25 April 2010)
Bersempena mesyuarat Majlis Fatwa di Perlis yang melibatkan kehadiran 3 ulama’ iaitu Dr. Johari Mad, Dr. Radzi dan Dr. Azwira; pihak persatuan ingin meraikan kehadiran mereka di Perlis dengan mengadakan sebuah majlis makan malam kecilan bersama anak-anak Teratak Rahmat. Ketiga-tiga ulama mengambil sedikit masa menceritakan pengalaman dalam menegakkan dakwah ahli sunnah wal jamaah. Selain itu satu perjumpaan tertutup juga telah diadakan bersama beberapa AJK persatuan.

Aktiviti Biro 2010 (10)

LAPORAN AKTIVITI BIRO PENERBITAN

- Membantu penulisan di laman blog Islah, AMI dan Teratak Rahmat
Bahagian biro penerbitan adalah amat membantu dari segi penulisan laman blog Persatuan Al-Islah Perlis, Anjung Maklumat Islah dan Teratak Rahmat. Pelbagai usaha telah dijalan untuk mengetengahkan bahan-bahan ceramah yang telah dijalankan oleh ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis. Diharap bahan tersebut menjadi rujukan kepada ahli yang tidak dapat hadir semasa ceramah berlangsung. Selain itu, bahan rakaman video ceramah juga telah di masukkan ke dalam laman web seperti www.youtube.com.

- Berusaha menerbitkan buku-buku dan risalah baru tulisan Dato Ahmad.
Sebahagian buku dan risalah yang ditulis oleh Dato’ Alim Setia Ahmad bin Jusoh sedang dalam proses mendapatkan kelulusan penerbitan daripada ISPN. Risalah-risalah dan buku tersebut adalah salah satu usaha Persatuan Al-Islah Perlis untuk mengembangkan bahan bacaan mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Antara penulisan yang sedang dalam proses kelulusan ISPN ialah Hijab Muslimah, Bab Perkahwinan, Bab Haji dan Umrah, Bina Insan (Qalbu), Kasih Ibu dan Bapa dan Tegahan Penyamaan Amalan Orang Kafir.

Aktiviti Biro 2010 (9)

LAPORAN AKTIVITI BIRO WANITA DAN I-KIDS

- Kuliah mingguan wanita – setiap pagi Sabtu
Sepertimana biasa, Biro Wanita menganjurkan kuliah khas untuk wanita pada setiap pagi Sabtu dengan tajuk-tajuk pengajaran yang mengupas pelbagai persoalan aqidah, fiqh, akhlak dan kekeluargaan. Kuiah ini dijalankan dengan bimbangan Ustazah Zamzila Ishak serta ahli-ahli Biro Wanita yang lain.

- Forum Muslimah (1 Mei 2010)
Pada 1 Mei 2010, Biro Wanita Persatuan Al-Islah Perlis dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis( IPTIPs) buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Forum Muslimah bertempat di dewan Al-Islah Perlis yang dirasmikan oleh Puan Rokiah selaku pengerusi Biro Wanita Persatuan Al-Islah Perlis.Program ini mendapat sambutan dan sokongan yang amat menggalakkan daripada ahli-ahli wanita Persatuan Al-Islah Perlis, para pelajar muslimah IPTIPs dan juga orang ramai. Pelbagai aktiviti telah diatur dan berjaya dilaksanakan dengan lancar iaitu:

  • i) Bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan tafsir yang dibacakan oleh pelajar muslimah IPTIPs.
  • ii) Pertunjukkan busana muslimah yang diperagakan oleh anak-anak Teratak Rahmat Persatuan Al-Islah Perlis.
  • iii) Pertunjukkan seni beladiri wanita yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar muslimah IPTIPs.
  • iv) Forum muslimah yang bertajuk Wanita Ahli Syurga, Akhlak Mulia, Keluarga Sejahtera yang telah dijayakan oleh tiga ahli panel iaitu Ustazah Zamzila Ishak bersama dua orang ahli panel jemputan dari Kuala Lumpur iaitu Dr. Nazatul Shiha Bahctiar dan Puan Wan Zurina Wan Isa.
  • v) Persembahan nasyid daripada muslimat IPTIPs
  • vi) Jamuan makan tengah hari

- Kelas kecergasan wanita – setiap hari Selasa
Satu kelas kecergasan wanita telah dijalankan setiap minggu iaitu pada hari selasa di sebelah malam. Kelas tersebut di cadangkan oleh pemudi Persatuan Al-Islah Perlis. Kelas kecergasan tersebut bertujuan membantu anak-anak Teratak Rahmat (wanita) dan pemudi Persatuan Al-Islah Perlis untuk lebih sihat, bertenaga dan cergas. Aktiviti kelas tersebut adalah melakukan senaman senaman yang membantu minda, rohani dan jasmani. Ia dikendalikan secara sukarela oleh Puan Husna Hassan.

Aktiviti Biro 2010 (8)

LAPORAN AKTIVITI BIRO DAKWAH DAN PENDIDIKAN

- Kuliah mingguan Jumaat dan Ahad
Kuliah mingguan Jumaat dan Ahad berjalan seperti biasa. Kehadiran untuk majlis tersebut agak memuaskan. Antara tenaga pengajar yang dipanggil untuk memberikan kuliah adalah Dato’ Ahmad Jusoh, Ust. Hashim Omar, Ust. Syed Abdullah, Syeikh Daud dan Ust. Ihsan.

- Kelas I’rab al-Quran –Dato’ Ahmad Jusoh – hari khamis
Kelas I’rab Al-Quran telah dijalankan pada setiap minggu iaitu pada hari Khamis. Kelas tersebut diadakan selepas solat Isyak. Peserta kelas terdiri daripada Warden Teratak Rahmat dan juga ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis. Kelas tersebut di kelolakan oleh Dato’ Alim Setia Ahmad bin Jusoh.

- Kelas Bahasa Arab – Ustaz Mohd Dalil
Kelas Bahasa Arab juga telah diadakan pada setiap hari selasa iaitu selepas solat Maghrib. Kelas tersebut dikelolakan oleh saudara Dalil iaitu Bekas Pelajar Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis. Peserta kelas adalah terdiri daripada warden Teratak Rahmat dan ahli-ahli persatuan.

- Kuliah bersama Sheikh Mekah (23 Julai 2010)
Pada 23 Julai 2010, kelas mingguan pada hari Jumaat diserikan dengan kehadiran 2 tokoh ulama dari Mekah iaitu Dr. Hassan Al Hajaji, Mudir Maahad Imam Dan Dakwah Makkah pengkhususan bidang tarbiah dan Dr. Abdullah Al Qarni, pensyarah Tafsir Dan Ilmunya di Universiti Ummul Qura. Pada pagi Jumaat tersebut, Dr. Hassan telah menyampaikan syarahannya darihal dakwah dan tarbiah manakala Dr. Abdullah Al Qarni menyampaikan dalam bab kepentingan ilmu.

Persatuan Al Islah turut mengambil kesempatan di atas kehadiran kedua-dua tokoh ulama ini bagi memulakan hubungan dua hala yang lebih bermakna di kemudian hari memandangkan kedua-dua tokoh ini merupakan antara panel yang memilih bakal-bakal pelajar dari Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Dakwah Dan Tarbiah. Diharapkan dengan hubungan yang telah terjalin, Persatuan Al Islah akan dapat menghantar anak-anak muda yang berkemampuan berbahasa Arab untuk melanjutkan pelajaran ke sana dalam bidang dakwah yang dengan itu, akan dapat menyediakan barisan pelapis ke arah menguatkan dakwah As Sunnah.


- Kok Lanta – Dakwah
Pada …………., Biro Pemuda Persatuan Al Islah dengan kerjasama Badan Dakwah dan Kelab Silat Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis telah mengadakan satu program dakwah kepada penduduk pesisir pantai Kok Lanta, satu program dakwah yang lebih bersifat ke arah mendekatkan masyarakat pesisir pantai ini kepada Islam. Program dakwah dan riadah ini melibatkan lebih kurang 30 orang penuntut IPTIPs dengan diiringi oleh Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris dan 5 orang ahli jawatankuasa Persatuan Al Islah, antaranya Cikgu Zubir selaku Ketua Biro Pemuda dan saudara Syed Alwi yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Al Islah. Program selama 2 hari 1 malam ini turut dihadiri oleh Dato Ahmad Yusoff selaku Rektor IPTIPs dan YDP Persatuan Al Islah Perlis.

Program ini adalah satu usaha Biro Pemuda Al Islah dalam usaha menarik dan mendekatkan anak-anak muda kepada As-Sunnah dan dakwah. Selain itu, ia juga merupakan satu usaha Persatuan Al Islah ke arah membentuk hubungan luar yang lebih proaktif dalam bidang dakwah bersama masyarakat Islam lainnya khususnya bagi masyarakat Thailand.

- Kelas Iqra’ untuk anak-anak TR dan anak-anak penduduk sekitar Islah
Kelas Iqra untuk anak-anak Teratak Rahmat dan anak-anak tempatan sekitar Mata Ayer telah dijalankan pada setiap hari kecuali hari Isnin. Anak-anak tempatan sekitar Mata Ayer adalah seramai 7 hingga 10 orang yang hadir ke kelas Iqra. Tenaga pengajar kelas Iqra adalah terdiri daripada saudara Zulkefli Ahmad, saudara Bunyamin Abas, Pn. Atikah dan Pn. Sharo Azlin.

- Kelas Al-Quran dewasa – dikendalikan oleh Ustaz zulkifli Ahmad
Kelas Al-Quran dewasa dijalankan pada setiap hari bergantung kepada masa yang ditetapkan oleh peserta kelas. Biasanya kelas Al-Quran dewasa dijalankan pada waktu pagi atau malam selama sejam. Tenaga pengajar kelas Al-Quran dewasa ialah Saudara Zulkefli Ahmad.

- Kuliah khas Ustaz Rasul Dahri (2 Mei 2010) – “Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat”
Tanggal 2 Mei 2010, Persatuan Al Islah Perlis telah mengadakan satu kuliah khas bersempena 10 tahun pemerintahan Tuanku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibn Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga merupakan Ketua Agama dan Adat Istiadat Negeri Perlis, malah yang lebih utama merupakan tunggak dan tunjang dalam perjuangan menegakkan dakwah As Sunnah di negeri Perlis. Kuliah khas yang bertemakan “Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat” yang disampaikan oleh Ustaz Rasul Dahri ini merupakan satu usaha Persatuan Al Islah bagi menunjukkan sokongan yang penuh kepada pemerintahan Tuanku Raja sebagai pemimpin dan pendokong utama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kuliah ini diharapkan dapat memberi gambaran yang jelas berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah kepada para ahli Persatuan Al Islah khususnya dan seluruh umat Islam umumnya berkaitan ketaatan kepada pemimpin. Semoga dengan itu, segala perpecahan dan pertelingkahan sesama ahli Persatuan Al Islah serta di kalangan umat Islam dapat dielakkan dengan jalan bersatu-padu dan melimpahkan taat setia kepada pemimpin selama ianya tidak menyalahi syara’.