31 August 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Hukum tabur bunga

Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 26 Ogos 2012, pautan http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20120826/re_07/Hukum-tabur-bunga juga boleh dirujuk.

Oleh Dr. Fadlan Mohd. Othman
ASSALAMUALAIKUM, yang berbahagia Ustaz Dr. Fadlan Mohd. Othman. Soalan saya adalah:

1. Adakah kita digalakkan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan seolah-olah menjadi budaya masyarakat Melayu?

2. Apakah hukumnya menabur bunga dan mencurah air tahlil di kubur yang kita ziarahi?

Ahmad Syukri Naim Mohd. Tahir
Kampar, Perak.

Jawapan 1

Berkenaan dengan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan juga serata dunia, maka jawapannya adalah seperti berikut. Asalnya hukum ziarah kubur adalah sunat. Rasulullah SAW telah bersabda, “Dahulu saya pernah melarang anda semua daripada menziarahi kubur. Sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya. Maka ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan anda semua tentang akhirat" (Hadis Sahih riwayat al-Imam al-Tirmizi. No. 1054).

Sebenarnya menziarahi kubur tidak mempunyai waktu-waktu khusus. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Sesetengah ulama mengatakan bahawa menziarahi kubur lebih afdal dilakukan pada hari Khamis atau Jumaat, akan tetapi tiada dalil sahih bagi pandangan ini.

Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa menziarahi kubur pada hari raya mempunyai dua keadaan. Keadaan pertama ialah jika tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada hari Akhirat atau memperingati orang yang telah mati, maka hukumnya adalah dibenarkan. Dibenarkan secara umum untuk lelaki, manakala untuk wanita adalah tidak digalakkan mengikut Jumhur ulama.

Keadaan kedua ialah jika tujuannya adalah untuk menimbulkan dan memperbaharui kesedihan dan mengulangi ucapan takziah maka hukumnya adalah makruh dan tidak digalakkan. Ini adalah kerana hari raya merupakan hari kegembiraan dan keriangan, maka adalah tidak wajar ditimbulkan kesedihan pada hari itu.

Sewajarnya ziarah pada hari raya dilakukan kepada orang yang masih hidup manakala orang yang telah meninggal dunia, maka boleh sahaja di ziarahi pada hari-hari yang lain berdasarkan keumuman hadis yang menggalakkan umat Islam menziarahi kubur bagi tujuan mendapat peringatan tentang kematian dan hari Akhirat.

Pada masa yang sama, sebahagian ulama menekankan bahawa perbuatan menziarahi kubur pada hari raya tidak pernah dilakukan secara khusus dan berterusan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabatnya r.a. Oleh itu, adalah wajar untuk umat Islam mengikuti jejak langkah mereka dalam melakukan amalan ibadah kerana pastinya contoh amalan mereka adalah uswah hasanah yang diredai dan dirahmati oleh Allah Taala.

Jawapan 2

Berkenaan dengan menabur bunga, saya merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-65 yang bersidang pada 13 Oktober 2004. Mereka telah membincangkan Hukum Amalan Membawa Bunga Ketika Menziarahi Kubur. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan membawa bunga ketika menziarahi kubur adalah tidak digalakkan dari perspektif agama.

Oleh itu, dapatlah saya rumuskan bahawa amalan membawa bunga dan menabur bunga di kubur tidak menepati ajaran Islam dan tidak mempunyai dalil yang sahih daripada hadis-hadis Nabi SAW.

Begitu juga dengan amalan mencurah air tahlil di kubur yang kita ziarahi, amalan ini juga tidak mempunyai sandaran yang kukuh mahupun dalil yang sahih. Oleh itu adalah menjadi satu kewajaran bagi umat Islam untuk menghafal bacaan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya semasa menziarahi kubur.

Bacaan itu ialah, Assalamu alaikum ahlad diyar minal mukminin wal muslimin. Wa inna insyaAllahu lalahiqun. As’alullaha lana wa lakumul'afiah." (Hadis riwayat al-Imam Muslim. No. 975).

Maksud bacaan ini ialah, Sejahtera ke atas anda semua penghuni tempat tinggal di kalangan orang-orang mukmin dan muslim. Sesungguhnya dengan izin Allah, kami akan menyusuli. Saya memohon daripada Allah agar mengurniakan kepada kami dan anda semua kesejahteraan".

Semoga Allah mengampuni semua orang yang beriman yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Amin.

29 August 2012

SINAR: Raja Muda Perlis: Pupuk budaya membaca untuk bentuk masyarakat gemilang

Dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 26 Ogos 2012, pautan http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/raja-muda-perlis-pupuk-budaya-membaca-untuk-bentuk-masyarakat-gemilang-1.74642 juga boleh dirujuk.

KANGAR - Raja Muda Perlis Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat memupuk dan menyemarakkan budaya membaca bagi membentuk masyarakat gemilang.

 
Sehubungan itu, baginda berharap semua pihak berusaha meningkatkan pencapaian diri dan pengetahuan melalui pembacaan buku yang pelbagai.

Titah baginda tiada jalan pintas untuk berjaya dalam hidup, kecuali berusaha dan mempunyai komitmen untuk cemerlang dalam semua bidang.

"Ibu bapa hendaklah memastikan anak mereka mendapat pendidikan terbaik sebagai jaminan penghijrahan daripada belenggu kemiskinan sesuai dengan slogan 'Membaca Memerdekakan Minda'," titah baginda ketika merasmikan perpustakaan mini Masjid Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

Pada majlis itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlils (MAIPs) turut menyampaikan sumbangan Hari Raya peringkat zon tengah kepada 72 penerima terdiri daripada golongan miskin.

Perpustakaan mini yang dikendalikan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis itu menempatkan pelbagai bahan bacaan berkualiti untuk kegunaan jemaah.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad.- Bernama

SINAR: Raja Muda Perlis mahu kemurnian adab Melayu diperkasa

Dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 19 Ogos 2012, pautan http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/raja-muda-perlis-mahu-kemurnian-adab-melayu-diperkasa-1.77709 juga boleh dirujuk.

KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu adab Melayu yang murni terus diperkasakan kerana terdapat tanda ia mulai terhakis.

Baginda bertitah, golongan muda dilihat kurang menghormati orang lebih dewasa dan penggunaan bahasa kasar mula berleluasa sama ada secara lisan, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta laman sesawang.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh Perlis selepas berangkat ke majlis Rukyah Hilal Awal Syawal di Kuala Sungai Baru dekat sini malam tadi, baginda bertitah tingkah laku mengaibkan seperti tatacara berpakaian, berpeleseran dan pelbagai lagi gejala moral juga menjejas adab Melayu.

Baginda berharap ibu bapa sentiasa meluangkan lebih banyak masa bersama anak mereka dan menjadikan Syawal sebagai bulan untuk merapatkan kemesraan keluarga dan sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi.

"Jadikan Aidilfitri sebagai pembuka lebaran ke arah kehidupan harmoni," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, bertitah amalan kunjung mengunjung pada Aidilfitri juga kelihatan semakin berkurangan pada masa ini sedangkan ia adalah amalan yang begitu murni bagi mengeratkan silatulrahim.

Turut hadir pada majlis anjuran Jabatan Mufti dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perlis itu ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya serta para peserta program Antara Budaya Malaysia (ABM) dari Jerman, Itali dan China.

Para peserta ABM itu teruja dengan keindahan waktu senja di Perlis dan berpeluang melihat dengan lebih dekat cara penentuan 1 Syawal dilakukan melalui rukyah. - Bernama

28 August 2012

SINAR: Suburkan semangat muhibah, titah Raja Perlis

Dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 26 Ogos 2012, pautan http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/suburkan-semangat-muhibah-titah-raja-perlis-1.79146 juga boleh dirujuk.

KANGAR - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu setiap rakyat memahami budaya kaum-kaum lain serta menyuburkan semangat muhibah di kalangan mereka.

Baginda bertitah rakyat juga perlu mengekalkan keharmonian demi kepentingan masa depan generasi akan datang.

"Kita perlu tinggalkan sesuatu yang baik atau sekurang-kurangnya kehidupan yang harmoni untuk generasi akan datang atau anak cucu kita," titah baginda pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan sambutan 55 tahun merdeka di Stadium Utama di sini hari ini.

Baginda gembira kerana majlis itu dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum yang menggambarkan semangat perpaduan yang jitu di kalangan mereka.

Pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 15,000 penduduk berbilang kaum itu, Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Turut hadir ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sebanyak 59 buah gerai makanan tradisional dan moden disediakan pada majlis yang bermula 10 pagi dan berakhir 3 petang itu. - Bernama

23 August 2012

SINAR: Majlis Fatwa Perlis tunggu September

Mufti sepakat
Dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 14 Ogos 2012, boleh juga dibaca terus di http://www.sinarharian.com.my/nasional/majlis-fatwa-perlis-tunggu-september-1.76495

Keluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan Orang Kurang Upaya (OKU) disiarkan Bicara Isnin semalam ternyata tidak dipandang sepi.

Buktinya hari ini, mereka yang berautoriti untuk menghujahkan hasrat mereka supaya dibantu menerusi zakat, sudah memberi pandangan yang memperlihatkan seperti ada cahaya penyelesaian.

Apa mungkin ini akan menjadi hadiah bermakna kepada mereka sempena ketibaan Syawal tahun ini?

Adakah ini juga sebagai tanda jalan keluar atas dilema apabila mereka ditawarkan godaan bantuan NGO bukan Islam?

Inikah tanda bahawa sebenarnya mereka tidak dilupakan tetapi memerlukan tatacaranya untuk mencari pertolongan?


KANGAR - Cadangan untuk memasukkan NGO OKU Muslim sebagai asnaf yang layak menerima zakat akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dalam mesyuarat pada September depan.

Muftinya, Dr Juanda Jaya berkata, hal ini sepatutnya telah lama selesai memandangkan pihak kebajikan sudah lama ada peruntukan dan bantuan tahunan serta insentif yang disediakan kerajaan bagi membantu golongan itu.


Sebagai mengulas laporan Bicara Isnin mengenai cadangan supaya memasukkan persatuan OKU Muslim ke dalam asnaf fisabilillah, beliau berkata, OKU boleh dimasukkan sebagai golongan yang harus dibantu terutama golongan yang memerlukan perhatian khusus seperti autisme dan mereka yang mengalami kecacatan anggota atau masa depan mereka dapat dirancang sejak mereka kecil lagi.

"Kalaulah golongan ini tidak dibantu daripada awal, sudah pasti mereka sukar untuk berdikari pada masa depan.

“Saya berpandangan, selain asnaf fisabilillah, asnaf riqab juga boleh dipertimbangkan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Dr Juanda berkata, asnaf riqab (golongan yang dibelenggu) merujuk kepada hamba di mana beliau berpandangan OKU juga adalah insan yang dibelenggu oleh kecacatannya dan kehidupan mereka perlu dibantu memandangkan mereka tidak mampu bergerak bebas kerana kecacatan tadi.

Beliau berkata, tambahan pula sebahagian besar golongan OKU mempunyai masalah dari segi pendapatan kerana peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka sangat terhad.

Ujarnya, golongan itu perlu diberikan pendidikan khusus tidak hanya tertumpu kepada akademik tetapi menyeluruh dalam bidang kemahiran, seterusnya dapat mengelakkan mereka menjadi bebanan kepada masyarakat. Oleh itu katanya, Islam telah mensyariatkan zakat untuk menyelesaikan masalah yang sebegini.

“Saya juga melihat adalah wajar NGO Islam yang menjaga kebajikan golongan OKU diberikan bantuan zakat sama ada dalam bentuk geran tahunan perkapita atau sebahagian gaji mereka dibiayai oleh pihak zakat," katanya.

Tambahnya, usaha ini bagi mengelakkan golongan OKU Muslim diuruskan oleh NGO bukan Islam yang boleh mendatangkan tohmahan. Sekiranya mereka dibiarkan, maka mereka akan terabai sedangkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan dan perhatian.

Katanya, apa yang diketengahkan Sinar Harian ini amat membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai nasib golongan OKU Muslim.

“Di Perlis, isu ini tidak terlalu besar kerana pihak kebajikan mampu menanganinya dan bilangan mereka yang terlibat adalah sedikit tetapi bagi bandar besar dengan bilangan penduduk yang ramai, dipercayai peruntukan daripada pihak kerajaan tidak memadai," ujarnya.

Oleh itu, pihak baitulmal dan zakat sepatutnya proaktif menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Beliau berpandangan, tidak ada masalah jika timbul persoalan OKU yang menjadi ahli persatuan adalah dari kalangan mereka berkemampuan atau mungkin mewarisi harta keluarganya, sekiranya mereka memang benar-benar layak berada dalam asnaf yang patut dibantu seperti dalam kes OKU yang memerlukan perhatian dan bantuan khusus untuk meneruskan kehidupan.

Pada masa sama, Dr Juanda berkata, beliau mengharapkan agar pihak berkuasa zakat dan baitulmal di seluruh negara bersikap proaktif menyalurkan bantuan tanpa perlu menunggu NGO yang berkaitan memohon bantuan. Ini memandangkan NGO bukan Islam nampaknya lebih maju ke hadapan dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada golongan seperti ini.

"Jika pihak baitulmal serius membantu golongan ini, sudah pasti akan kelihatan syariat zakat itu benar-benar mampu menyelesaikan sebahagian masalah umat," katanya.

22 August 2012

Bernama: Manuskrip Dari Perlis Turut Tersimpan Di British Library

Laporan ini dipetik dari akhbar Bernama keluaran 22 Ogos 2012, ianya juga dapat dibaca terus di pautan http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=689189&cat=ut

KANGAR- Sebuah manuskrip Melayu lama yang dihasilkan penduduk Perlis lebih 200 tahun lalu adalah antara ratusan manuskrip lama yang disimpan di The British Library, London selain dokumen rasmi.

Dr Annabel Teh Gallop (kiri) menerangkan manuskrip Melayu lama
tersimpan di perpustakaan itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail di London. (Gambar Sinar Harian)

Penyelidik dan Ketua Bahagian Asia Tenggara di perpustakaan itu, Dr Annabel Teh Gallop berkata mengikut catatan, manuskrip bertajuk 'Hikayat Nabi Yusuf' itu ditulis oleh Muhammad Lebai pada tahun 1802.

Beliau yang boleh bertutur bahasa Melayu berkata manuskrip setebal 60 muka surat itu bertulisan Jawi dan beliau boleh membacanya dengan baik.

Ketika ditemui Bernama di perpustakaan terkemuka itu baru-baru ini, Annabel berkata manuskrip lama yang dihasil oleh penulis dari Perlis itu amat berharga dan ia perlu dikaji helaian demi helaian.

Mengikut pelekat bagi memperkenalkan manuskrip Hikayat Nabi Yusuf itu, selain tertera nama penulis Muhammad Lebai, ia turut menyatakan manuskrip itu sebagai hasil 'bekas tangan' Cik Mat orang Kayangan dan turut mencatatkan ia sebagai tulisan Cik Mat Tuk Muda anak raja Inderawangsa di Perlis.

Ada yang berpendapat, Muhammad Lebai, Cik Mat orang Kayangan dan Cik Mat Tuk Muda adalah orang yang sama.

"Kami akan pastikan manuskrip Melayu akan terpelihara di sini," katanya.

Baru-baru ini Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis melawat perpustakaan itu dan diberi taklimat mengenai manuskrip Hikayat Nabi Yusuf itu oleh Annabel.

Ribuan manuskrip Melayu lama dilaporkan tersimpan di pusat repositori seluruh dunia termasuk yang tersimpan di perpustakaan British. -Bernama