15 August 2012

UTUSAN: PM temui ulama tersohor Arab Saudi

Dipetik dari akhbar Utusan keluaran 15 Ogos 2012, boleh juga dirujuk di http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120815/dn_02/PM-temui-ulama-tersohor-Arab-Saudi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar penerangan daripada seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa OIC di Mekah, semalam. Turut hadir Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi (kiri) dan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa.
MEKAH 14 Ogos - Ulama-ulama tersohor di sini menyanjung tinggi peranan Malaysia untuk memperjuang dan menjaga kepentingan Islam sama ada dari segi akidah dan perekonomian semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, mereka menganggap Malaysia sebuah negara yang berjaya memperjuangkan Islam.

‘‘Saya berasa bangga bahawa mereka yang begitu terkenal dalam bidang masing-masing dan mempunyai pengaruh di sini menganggap Malaysia berjaya memperjuangkan Islam untuk diiktiraf sebagai model negara Islam," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Najib yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum itu mengadakan pertemuan dengan ulama-ulama tempatan di sebuah hotel di sini malam tadi (waktu tempatan).

Lima ulama yang turut hadir ialah Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali dari Al Qassim Province, Arab Saudi; Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi; Ketua Hakim Mahkamah Mekah, Sheikh Saleh Al Duwaish; Pengerusi dan ahli lembaga pengarah 13 saluran tv Al Majd dan Al Huda dan Sheikh Dr. Abdul Rahim Mulazadah yang juga Penasihat Wessel Tv Channel London. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib menyifatkan pertemuan seperti ini dapat menterjemahkan prinsip beliau serta kerajaan bahawa ulama dan umarak perlu memupuk hubungan yang baik bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara supaya dapat memberi kebaikan kepada Islam dan umatnya.

‘‘Mereka juga berbesar hati dari segi lawatan peribadi ke Malaysia dengan melihat perkembangan yang amat positif dalam usaha Malaysia memerangi kemiskinan terutama kejayaan yang dicapai oleh Felda sebagai bentuk pembangunan dalam usaha pembasmian kemiskinan," katanya.

Di samping itu, ulama-ulama berkenaan juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama tetapi telah dapat menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

‘‘Daripada situ (Islam sebagai agama Persekutuan), kita dapat melaksanakan dasar-dasar untuk meninggikan syiar Islam dan tuntutan Islam tanpa menafi hak orang bukan Islam menganuti agama masing-masing," katanya.

Pada pertemuan itu juga beliau menjelaskan pegangan Malaysia kepada konsep wasatiyyah sejak dulu hingga sekarang selari dengan kehendak Islam di mana kesederhanaan inilah yang dapat membawa kemakmuran kepada negara.

‘‘Mereka juga menghargai bahawa di peringkat enakmen negeri telah mentafsirkan Islam sebagai Sunnah Waljamaah yang dengan ini kita dapat mempertahankan kesucian Islam dan dengan itu tidak berlaku kemungkinan timbul apa-apa unsur yang boleh membawa konflik atau kerosakan akidah," katanya. - Utusan

UTUSAN: OIC selesai isu umat Islam

Dipetik dari akhbar Utusan keluaran 15 Ogos 2012, boleh juga dibaca di http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120815/dn_01/OIC-selesai-isu-umat-Islam
NAJIB Tun Razak mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, semalam. Turut hadir Tokoh Ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali (kanan) dan Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi (kiri). - BERNAMA

MEKAH 14 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selama dua hari yang bermula hari ini sebagai pertemuan istimewa dan tepat pada masanya.

Perdana Menteri berkata, mengambil semangat Ramadan serta berlangsung di kota suci, Malaysia berharap OIC dapat merumuskan keputusan penting berkaitan permasalahan umat Islam yang berlaku ketika ini terutama melibatkan Myanmar dan Syria.

Katanya, mesyuarat yang dipanggil oleh Raja Abdullah Abdul Aziz itu memerlukan ketegasan OIC untuk mengambil langkah lebih positif bagi menangani permasalahan umat Islam di Syria dan Myanmar.

''Perbalahan yang serius sedang menimpa rakyat Syria yang memerlukan OIC mengambil tindakan lebih tegas, bukan sahaja tindakan politik tetapi tekanan dan tindakan tertentu untuk menyelamatkan keadaan di Syria," katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Syria, salah sebuah daripada 57 negara anggota OIC kini sedang bergelut dengan peperangan antara pihak kerajaan pimpinan Bashar Assad dan pemberontak. Ramai penduduk awam terbunuh dalam konflik tersebut.

Ditanya mengenai kemungkinan Syria disingkirkan dari OIC seperti yang dilakukan oleh Liga Arab, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian dalam mesyuarat yang akan berlangsung mulai malam ini.

''Setakat ini mood dalam persidangan nampak menjurus kepada pendirian yang hampir sama dengan Liga Arab," katanya.

Perdana Menteri berkata, kemelut yang melanda umat Islam di Myanmar dan Syria tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sementara itu, menjawab soalan dalam satu temu bual khas dengan stesen televisyen Huda TV, Perdana Menteri berkata, Malaysia setakat ini telah menghantar pasukan khas untuk membantu pelarian etnik Rohingya akibat keganasan yang meletus di Rakhine.

Pada masa sama, Malaysia akan meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia untuk memainkan peranan lebih penting.

Katanya, OIC perlu bertindak sebagai satu suara yang mewakili masyarakat Islam seluruh dunia. - Utusan

13 August 2012

UTUSAN: Hargai alam dan diri sendiri. Contohi Perlis, USM, UIA, UMT

http://xtive.utusan.com.my/articles2.php?article_id=34 Kali ini saya nak menjunjung kasih kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baru-baru ini Tuanku menitahkan, semua majlis baginda tidak menggunakan apa-apa bahan yang diperbuat daripada polistirena.    

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis merasmikan Program Percambahan Minda sempena Kempen Kesedaran Kesihatan Banteras Aedes dan Boikot Polisterin di Istana Arau, Perlis baru-baru ini. - UTUSAN/Faizal Abu Hassan

 Malah, baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah turut mengambil langkah serupa demi kebaikan kesihatan.

Selain itu, baginda turut mencadangkan agar digantikan dengan plastik yang boleh terurai secara biologi termasuk bungkusan kertas yang lebih mudah dilupuskan.

Ini merupakan hasrat peringkat tertinggi yang mahukan rakyat di negara ini sihat dan tidak terkena pelbagai penyakit yang disebabkan oleh bahan-bahan daripada polistirena.

Jika ramai yang tidak tahu, polistirena sebenarnya mampu menyebabkan kerosakan sistem pembiakan manusia selain ia juga menjadi antara penyebab kanser dan leukemia. Jadi sekarang barulah kita sedar, mana datangnya pelbagai penyakit tersebut yang kini semakin menular di kalangan penduduk negara ini.

Kanser merupakan pembunuh No. 2 di Malaysia. Angka pesakit kanser semakin meningkat. Kanser boleh dihidap oleh sesiapa tidak kira bangsa dan status. 


Polistirena, keranda putih, pembunuh senyap yang tidak diketahui ramai


 
Mengikut laporan Majlis Kanser nasional (Makna), 11 juta dewasa dan kanak-kanak menghidap kanser dan 6 juta darinya mati akibat kanser di seluruh dunia.

Di Malaysia, 45,000 rakyat Malaysia dilaporkan mengidap penyakit kanser setiap tahun. Statistik ini sangat membimbangkan kerana tiga dari empat pesakit kanser gagal diselamatkan atau sembuh.

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah mengkelaskan stirena (yang merupakan bahan membuat polistirena) sebagai bahan karsinogen Kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser.

Ketua Pusat Penyelidik Alam Sekitar, Fakulti Kejuteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, bahan stirena yang berasal daripada phemynl memang boleh memberi masalah ke pada sistem kesihatan di mana organ-organ dalam badan manusia akan menerima kesan secara tidak langsung terutamanya kepada sistem pencernaan yang turut melibatkan darah serta hati.

Presiden CAP, S . M. Mohamed Idris menunjukkan bekas makanan dan minuman yang diperbuat dari polistirena menyebabkan pengguna mendapat penyakit kanser. - UTUSAN/Sazali Che Din 
Di Britain pula, terdapat kajian mendapati bahawa polistirena dalam plastik yang digunakan untuk makanan mengandungi sehingga 80 bahagian persejuta (bps) benzena.  

Adakah kita masih tidak sedar akan hal ini? Polisterina merupakan pembunuh senyap di kalangan manusia dan ia juga mampu memusnahkan alam sekitar. Bekas putih ni tak kira siapa, dua-dua dia nak rosakkan, alam dan manusia.

Jika kita lihat sekarang di mana-mana ada sahaja bekas berwarna putih ini digunakan, dan ia digunakan secara meluas seolah-olah tidak dirasakan merbahaya kepada alam.

Malah, kerajaan tidak dilihat serius dalam mengekang hal ini daripada berleluasa.

Seingat saya, dah banyak syarikat di negara ini brjaya mereka bentuk bekas makanan baru menggantikan polistirena. Walaupun ia sedikti mahala berbanding polistirena yang amat-amat murah, pada pendapat saya ia merupakan jalan untuk menyelamatkan alam dan manusia dalam tempoh yang lama.

Namun usaha itu dilihat tidak berjaya dan semkain malap sehinggalah muncul kembali desakan titah Tuanku Syed Faizuddin Putra baru-baru ini.

Sepatutnya kerajaan perlu bersikap terbuka dan proaktif dalam mengekang situasi ini. Ia bukan baru, dah lama.

Kerajaan sepatutnya tidak perlu 'merelakan' kehidupan manusia terjejas hanya disebabkan mahu memberikan keutungan lebih kepada peniaga. Jika perlu harga makanan dinaikkan jika menggunakan bekas makanan yang selamat ini, saya merasakan ia perlu dilakukan, denagn segera, ya SEGERA!

Memang peniaga mampu mengaut keuntungan berlebihan jika bekas makanan polistirena digunakan kerana harganya jauh lebih murah.

Lihat apa yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2009. Mereka berjaya mengharamkan penggunaan bekas polistirena melalui kempen Tapau-Mania.

Melalui kempen Tapau-Mania itu, mereka memberikan alternatif kepada warga pelajarnya sama ada mahu memilih untuk menggunakan bekas sendiri atau bekas makanan mesra alam.

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga telah mengorak langkah menggunakan bekas mesra alam yang dikenali sebagai biopak di mana mereka juga mengenakan tambahan 20 sen kepada pengguna.

Jadi, bagi mereka yang tidak mahu membayar lebih 20 sen, mereka akan membawa bekas makanan sendiri dan ini sedikit sebanyak mampu menghapuskan penggunaan bekas polistirena. Universiti Malaysia Terengganu pun begitu melalui Program Bumi Hijau dan UMT Bans White Coffin.

Kita sebenarnya mempunyai pilihan.

Saya juga sebelum ini degil dan membiarkan penggunaan bekas digunakan dengan sewenang-wenangnya, namun selapa cuba membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah berbuka, terasa satu kepuasan di dalam diri ini.

Pilihan di tangan kita. Kita boleh boikot mana-mana penjual yang masih menggunakan bahan polistirena ini. Semua ni bersangkut paut dengan kehidupan kita. Kenapa kita nak perjudikan nyawa keluarga kita dengan hanya beberapa sen? Fikirkanlah.

Prof. Madya Tengku SifzizulTengku Muhammad (dua dari kiri) bersama warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersepakat tidak menggunakan polistIrena di Program Bumi Hijau dan UMT Bans White Coffin di UMT. - UTUSAN/ Azlan Bahrum

Fathul Bari: Malaysia harus tolong mangsa gempa Iran, namun perlu jaga akidah (Malaysian Insider)

Dipetik dari akhbar Malaysian Insider keluaran 13 Ogos 2012, boleh juga dibaca terus di http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/fathul-bari-malaysia-harus-tolong-mangsa-gempa-iran-namun-perlu-jaga-akidah/

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya berkata, umat Islam di Malaysia haruslah menolong mangsa gempa bumi di Iran, namun perlu menjaga akidah supaya pihak ekstremis Syiah tidak boleh memperdayakan mereka.

Pengerusi jawatankuasa kerja ulama muda Umno itu berkata, dari segi kemanusiaan, Allah telah berfirman bahawa umat Islam haruslah membantu orang lain tanpa mengira agama atau fahaman.

Namun, katanya, golongan yang memerangi Islam seperti kafir harbi yang sentiasa mahu Islam kacau bilau tidak perlu dibantu.

“Terdapat empat kategori dalam golongan kafir, begitu juga dengan Syiah, dan kita tahu bukan semua orang-orang Iran adalah golongan ekstremis seperti Syiah rafidhah, dan golongan itu memang kita tidak harus tolong.

“Mereka sentiasa mahu menipu daya, mahu memerangi ahli Sunnah (Ahlil Sunnah wal Jamaah), kita harus tentang,” katanya lagi.

Katanya, puak Syiah sekarang adalah penggerak untuk menjatuhkan kerajaan Sunnah di Timur Tengah dan tidak mustahil pengaruhnya akan sampai ke Malaysia.

“Sebagai buktinya, mereka dapat dikesan di Kelantan dan jabatan agama Islam negeri berjaya mengesan aktiviti mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau berkata, jika puak Sunnah membantu mereka dengan harapan golongan Syiah rafidhah ini dapat terbuka hatinya untuk berdamai, itu tidak menjadi masalah.

“Kita harus ingat bahawa agama Islam adalah agama keamanan, maka jika kita ada peluang untuk berdamai, itu diterima.”

Fathul juga berkata, jika pimpinan Umno membuat keputusan untuk membantu mangsa gempa bumi di Iran, pihak ulama di Umno tidak menghalang asalkan tidak diganggu akidahnya.

Gempa bumi di Iran berlaku pada 11 Ogos yang lalu, di barat daya negara tersebut, 60 kilometer dari Tabriz, meragut 300 nyawa setakat ini.

UTUSAN: Hukum tazkirah ketika tarawih

Saya ingin bertanya, adakah amalan mengkhususkan tazkirah selepas 4 rakaat tarawih itu dibolehkan? Kalau tidak boleh, adakah ada larangan dalam agama?

- Abu Mu‘aaz, Kuala Lumpur


DI dalam bulan Ramadan, amalan yang paling utama ialah puasa yang dilakukan di siang hari dan qiyam Ramadan yang lebih dikenali dengan solat tarawih yang dilakukan di malam hari selepas selesai Solat Isyak.

Di samping dua amalan utama ini, amalan-amalan kebajikan lain juga masih berjalan seiringan, seperti membaca al-Quran, memberi sedekah, nasihat, bantuan dan sebagainya.

Melihat kepada soalan, kita dapati di kebanyakan masjid dan surau di negara kita, ada dibuat tazkirah iaitu sesi nasihat ringkas semasa melaksanakan solat tarawih.

Waktu tazkirah itu juga berbagai-bagai, ada yang selepas solat Isyak, ada yang selepas empat rakaat, ada yang selepas selesai solat sunat tarawih, bahkan ada juga yang dilakukan antara solat Maghrib dan Isyak.

Justeru, apakah hukumnya? Untuk menjawab soalan ini, dapatlah saya kaitkan dengan masa tazkirah itu.

Pertama, tazkirah dibenarkan jika dibuat di waktu yang tidak mengganggu tujuan utama para makmum yang datang semata-mata untuk solat. Waktu yang dibenarkan adalah antara solat Maghrib dan Isyak dan selepas selesai solat tarawih keseluruhannya.

Kedua, tazkirah yang tidak dibenarkan iaitu jika dibuat di waktu yang mengganggu para makmum yang datang untuk tujuan solat sahaja. Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya.

Mengapakah dibahagikan hukum tazkirah mengikut waktu? Jawapannya pertama, kerana ajaran Islam sentiasa meraikan perasaan manusia.

Di dalam menyampaikan tazkirah dan nasihat, hendaklah kita raikan perasaan pendengar agar mereka tidak bosan. Dalilnya adalah kata-kata Abdullah bin Masud r.a., 

“Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kami secara selang seli dalam hari kerana takutkan kami bosan." (Hadis riwayat al-Imam Muslim, no. 2821)

Kedua, kerana ajaran Islam tidak mengandungi unsur memudaratkan. Di antara maqasid iaitu tujuan asal tazkirah adalah menyampaikan manfaat kepada pendengar.

Dalilnya adalah hadis Ubadah bin al-Samit bahawa “Rasulullah memutuskan bahawa tidak dibenarkan membuat mudarat kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain (La darara wa la dirar)." (Hadis sahih riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 1909).
Akan tetapi jika tazkirah itu mengandungi unsur paksaan, di mana sebahagian para makmum datang hanya untuk solat Isyak dan solat tarawih dan ingin pulang awal kerana pelbagai urusan; maka jika dibuat tazkirah di waktu ini, perkara ini hanya akan melewatkan mereka.

Dalam erti kata lain, perkara ini akan menimbulkan kemudaratan kerana sebahagian para makmum akan mula berasa benci dengan ‘sistem’ tazkirah yang dibuat oleh surau atau masjid.

Sebahagian mereka juga akan berasa berat dan serba salah kerana mereka mempunyai urusan lain tetapi ingin juga melakukan ibadah solat tarawih secara berjemaah.

Secara konklusinya, jika surau dan masjid ingin membuat tazkirah tarawih, buatlah setelah selesai solat tarawih supaya tidak membebankan para makmum.

Boleh juga tazkirah itu dibuat antara solat Maghrib dan Isyak. Semoga amalan kita diterima oleh Allah Taala.


- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan ke alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

10 August 2012

Iftar Jamai'e Al-Islah Perlis

Meriahkan majlis berbuka puasa dengan hadir seisi keluarga ke Islah di Jalan Mata Ayer pada ahad 12 Ogos 2012. Tazkirah Insya-Allah akan disampaikan oleh Ustaz Rizal al-Malaya jam 6.15 petang. Hidangan minuman, nasi dan lauk asas sahaja disediakan. Maka dialu-alukan sumbangan wang, lauk-pauk, kuih dan buah. 

Pesan Nabi “Sesiapa memberi makan orang berpuasa, maka baginya pahala yang sama dengan orang yang diberi makan itu, tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang tersebut” (Tirmizi)

 Sebarkan...



UTUSAN: Perginya ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram

SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada usia 73 tahun.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.

Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.

Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan.

Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.

Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.


Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.

Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.

Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.

Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati hal-ehwal agama.

Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.

Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.

Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.

Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.

Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan jemaah.

Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.

"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.

Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.

Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.

Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.

Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bukhari.

Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama.