19 July 2012

WASIAT IMAM SYAFIE KEPADA UMMAH - DR FADLAN


Ini adalah wasiat Imam al-Syafii rahimahullah kepada Umat Islam supaya berpegang teguh dengan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah. Wasiat ini diriwayatkan oleh Imam al-Sayuti rahimahullah dalam kitab beliau. Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’:

عن أبي منصور محمد بن علي بن صباح البلدني، قال: هذه وصية الإمام الشافعي رضي الله عنه أوصى بها إلى أصحابه: أن يشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأن محمداً عبده ورسوله، لا نفرق بين أحد من رسله، وأن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين لا شريك له، وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين، وأن الله يبعث من في القبور، وأن الجنة حق والنار حق، وأن عذاب النار حق، وأن الحساب حق والميزان والصراط حق، والله عز وجل يجزي العباد بأعمالهم، عليه أحيا وعليه أموت، وعليه أبعث إن شاء الله تعالى، وأن القرآن كلام الله غير مخلوق، وأن الله تعالى يُرى في الآخرة ينظر إليه المؤمنون عياناً جهاراً ويسمعون كلامه، وأنه فوق عرشه، وأن القدر خيره وشره من الله عز وجل لا يكون إلا ما أراد الله وقضاه وقدره، وأن خير الناس بعد رسول الله) : أبو بكر، وعمر، وعثمان، وعلي، رضي الله عنهم. وأتولاهم، وأستغفر لهم، ولأهل الجمل وصفين القاتلين والمقتولين، وجميع أصحاب النبي (، والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف والخلافة في قريش، وأن كل ما أسكر كثيرة فقليله حرام، والمتعة حرام، وأوصي بتقوى الله عز وجل ولزوم السنة والآثار عن رسول الله ( وأصحابه وترك البدع والأهواء واجتنابها؛ فاتقوا الله ما استطعتم، وعليكم بالجمعة والجماعة ولزوم السنة والإيمان والتفقه في الدين، من حضرني منكم فليلقني لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأن محمداً عبده ورسوله، وتعاهدوا الأظفار والشارب، وإذا احتضرت فإن كانت عندي حائض فلتقم، وأن تطيبوا وتدهنوا.



Maksudnya: “Daripada Abu Mansur Muhammad bin Ali bin Sobah al-Baldani katanya: “Ini adalah wasiat Imam al-Syafii radiallahuanhu kepada sahabat-sahabat beliau iaitulah: ‘Hendaklah bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang sebenarnya melainkan Allah sahaja yang tiada sekutu bagiNya dan Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya, kita tidak membezakan (dalam Iman) antara seorang Rasul dengan lainnya, dan sesungguhnya solatku, nusuk (ibadah)ku, hidupku, dan matiku hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam yang tiada sekutu bagiNya , demikianlah aku diperintahkan (oleh Allah) dan akulah orang pertama yang menyerah diri, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupakan semula) ahli kubur, dan syurga itu benar, neraka itu benar, dan hisab itu benar, dan Mizan (Timbangan Amal) itu benar, al-Sirat (Jambatan yang merentang atas neraka menuju syurga) itu benar, dan Allah Taala akan membalas perbuatan hamba-hambaNya, atas pengakuan inilah aku hidup dan mati, dan atasnya juga aku akan dibangkitkan nanti, dan (bersaksi juga) bahawa al-Qur’an itu Kalam Allah bukan Makhluk, dan Allah itu akan dilihat di akhirat di mana orang-orang yang beriman akan melihatNya dengan terang dan jelas serta mendengar Dia berkata-kata, dan Dia berada di atas ArasyNya, dan sesungguhnya Qadar baik dan buruk itu daripada Allah Azza wa Jalla tidak berlaku (dalam alam ini) melainkan apa yang dikehendaki Allah dan dilaksanakanNya dan ditentukanNya, dan sesungguhnya sebaik-baik manusia selepas Rasulullah s.a.w adalah Abu Bakar kemudian Umar kemudian Usman kemudian Ali –reda Allah ke atas semua mereka- dan aku memberi kesetiaan kepada mereka dan berdoa keampunan untuk mereka dan untuk (Sahabat) yang terlibat dalam peperangan Jamal dan Siffin sama ada yang memulakan perang atau yang diperangi, demikian juga semua Sahabat Nabi, dan (aku beriktikad) dengar dan taat kepada pemimpin selama mereka bersolat dan member kesetiaan kepada mereka dan tidak boleh menentang mereka dengan pedang (memberontak) dan Khilafah itu (asalnya) milik Quraish dan apa yang memabukkan apabila diminum dengan banyak maka sedikitnya juga haram dan (nikah) mutaah itu haram dan aku berwasiat (supaya) bertakwa kepada Allah dan mengikut al-Sunnah dan Asar Rasulullah s.a.w dalam agama serta meninggalkan bidaah dan hawa nafsu serta menjauhinya, bertakwalah kamu kepada Allah sekadar mampu kamu. Dan wajib atas kamu (solat) Jumaat dan Jemaah, mengikut sunnah, Iman, dan memahami (belajar) ilmu agama, sesiapa yang datang kepadaku (dalam keadaan aku nazak) maka hendaklah dia mentalkinkan aku dengan ucapan ‘Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan RasulNya, dan jagalah kuku dan misai kamu (yakni pendekkan) dan apabila aku dalam keadaan nazak sedangkan di sisi ku ada wanita haid maka hendaklah dia bangun (beredar), dan hendaklah kamu (yakni sahabat-sahabatnya) memakai minyak wangi dan memakai minyak (mungkin maksudnya minyak rambut)”. 

Faedah daripada Wasiat ini:

1. Imam al-Syafii rahimahullah adalah bermanhaj Ahli Sunnah wal Jamaah
2. Beliau beriman sesuai dengan Manhaj Salafi
3. Beliau Tidak mentakwilkan Sifat seperti Asyairah, Maturidiah, dan lain-lain Ahli Bidaah
4. Imam al-Syafii rahimahullah juga bukan Syiah atau Rafidah bahkan beliau mencintai semua sahabat Nabi dan mengharamkan nikah Mutaah.
5. Tidak ada sunnah yang remeh walaupun berkaitan sunan fitrah seperti mengerat kuku, memotong misai, dan mengemas rambut. Semua perintah Nabi s.a.w adalah penting dan perlu dijaga.
6. Pemerintah terus sah selama dia menunaikan solat dan muslim walaupun fasiq.
7. Allah s.w.t bersemayam di atas Arasyh yang berada atas daripada Sidratul Muntaha di langit.
8. Al-Qur’an adalah Kalam (Perkataan) Allah s.w.t dengan sebenarnya.
9. Awal Wajib atas mukallaf adalah Dua Kalimah Syahadah.
10. Melihat Allah s.w.t di akhirat itu pasti bagi kaum yang beriman dan demikian juga semua manusia akan bercakap dengan Allah dan Allah bercakap dengannya dan dia mendengar suara Allah s.w.t bercakap.
11. Arak dan semua minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak diminum adalah haram hukumnya. Demikian juga sama ada dibuat daripada anggur atau lainnya.
12. Semua yang berlaku dalam alam ini sama ada baik atau buruk adalah berlaku dengan qada dan qadar Allah s.w.t dan ciptaanNya.
13. Wajib mengikut Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yakni Manhaj Salafi.

Teks ini dipetik oleh Ustaz Asri Sobri seperti yang dicatatkan di blog beliau.

PUASA DAN RAHSIA-RAHSIANYA - Ustaz Dr Abdullah Yasin



Soal Jawab Bersama Ustaz Dr Abdullah Yasin

1. Bolehkah Berselawat Ketika Rehat Terawih?http://youtu.be/sPzSCdthPM0

2. Terawih 30 Rakaat tidak ada masalah ? http://youtu.be/sPzSCdthPM0?t=5m23s

3. Isu Hidu Asap Rokok, Asap Ayam Percik, Inhaler, Dialisis dan Pil Penahan Haid pada bulan Ramadan http://www.youtube.com/watch?v=9SUbfi13VxU

4.Bolehkah Memohon Bantuan Jin Islam http://youtu.be/535CUg79A7U

5. Adakah Hasil Jualan Makanan Siang Ramadan Halal? http://youtu.be/535CUg79A7U?t=8m9s

18 July 2012

Haram jatuhkan kerajaan negara Islam


Berita ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 18 Julai 2012 atau boleh juga dibaca terus di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm&fb_source=message
KUALA TERENGGANU 17 Julai - Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan adalah haram bagi umat Islam menyokong kumpulan yang berniat atau bertindak mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan negara Islam walaupun dalam kepimpinan itu didapati berlaku kesalahan melibatkan hukum syarak.

Kata beliau, ia kerana tindakan menjatuhkan kerajaan negara Islam itu adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam tersebut mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.

Tambah Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, hukum berkenaan jelas berpandukan sebuah hadis sahih yang menyatakan perkara tersebut.


 

"Hadis itu ialah "sekiranya datang kepada kamu orang yang mahu memecah-belah kesatuan kamu sedangkan ketika itu kamu bersatu, maka hendaklah kamu pancung tengkuknya'' dan daripada hadis itu hukumnya jelas adalah haram menyokong kumpulan yang mahu memecahkan kesatuan yang sedia ada iaitu kerajaan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan mengenai Perpaduan Senjata Umat Islam pada Program Bicara Tokoh di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.

Program selama tiga jam itu merupakan anjuran kerajaan negeri bersama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) sempena lawatan tiga hari tokoh itu ke negeri ini.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, sekiranya umat Islam tidak suka terhadap kerajaan yang memerintah atau mahu menegur kesalahan yang dilakukan kepimpinan mereka, pastinya ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh golongan itu.

Jelasnya, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah jangan sesekali mengadakan demonstrasi jalanan kerana ia bukan cara menukar kerajaan negara Islam atau memperbetulkan setiap kesilapan yang telah dilakukan pemimpin.

"Demonstrasi hanya boleh menyebabkan sesuatu perkara yang buruk menjadi lebih buruk dan ia bukan ubat penyembuh kepada setiap masalah.

"Justeru, jangan sesekali mengadakan demonstrasi kerana ia menyebabkan masalah lain datang bertimpa-timpa, malah membawa kepada fitnah yang lain," tegasnya.

Ujarnya, cara terbaik untuk mengubah kepimpinan yang baik adalah nasihat menasihati antara satu sama lain.

"Dalam perkara ini, para ulama, cendekiawan mahupun ahli fikir perlu mengambil tanggungjawab ini untuk menegur pemimpin mereka yang membuat salah kerana itu adalah tanggungjawab mereka dan jika gagal berbuat demikian mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.

"Pemimpin perlu ditegur oleh golongan itu dan bukannya rakyat biasa dengan mengadakan demonstrasi jalanan. Apa yang rakyat boleh buat adalah menunjukkan contoh yang baik kepada pemimpin mereka," katanya.

15 July 2012

FORUM AMBIL PEDULI KEHEBATAN RAMADAN

1. Perkara Tersirat Dalam Ambil Berat Kehebatan Ramadan- USTAZ DR FADLAN http://youtu.be/90zfx8tyVs0

2. Hebatnya Kelebihan-kelebihan Bulan Ramadan- USTAZ IDRIS SULAIMAN http://youtu.be/90zfx8tyVs0?t=8m37s

3. Persediaan Agar Kehebatan Ramadan Tidak Berlalu Sia-sia? - USTAZ RIZAL http://youtu.be/90zfx8tyVs0?t=21m31s

4. Apakah Amalan Yang Perlu Diburu Ketika Bulan Ramadan? - USTAZ DR FADLAN http://youtu.be/90zfx8tyVs0?t=37m2s

5. Apakah Kesan Yang Perlu Ada Selepas Melalui Kehebatan Bulan Ramadan? - USTAZ IDRIS SULAIMAN http://youtu.be/90zfx8tyVs0?t=50m31s

6. Kaedah Untuk Tidak Membiarkan Kehebatan Ramadan Berlalu Dengan Sia-sia... - USTAZ MOHD RIZAL http://youtu.be/90zfx8tyVs0?t=1h3m21s


12 July 2012

SINAR: Ajaran sesat dorong jadi imam 'Mahadi' palsu

Berita ini dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 11 Julai 2012 atau dapat juga dibaca terus di pautan http://www.sinarharian.com.my/semasa/ajaran-sesat-dorong-jadi-imam-mahadi-palsu-1.65601

KUALA LUMPUR - Cetek pengetahuan dalam ilmu agama; terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu.

Fathul Bari Mat Jahaya 
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.

"Antara sifat Imam Mahadi digambarkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Abu Daud ialah beliau bangkit memimpin dan menjadi imam kepada seluruh umat manusia," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian amuk seorang lelaki dikatakan mengaku imam Mahadi di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin lepas.

Lelaki berusia 47 tahun itu meninggal dunia di hospital selepas terkena tembakan pada tangan dan bahagian ari-ari, yang dilepaskan polis bagi mempertahankan diri daripada serangan lelaki terbabit. Seorang wanita 28 tahun pengikut lelaki itu juga terkena tembakan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Fathul Bari berkata Imam Mahadi tidak bangkit secara mengaku "akulah Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu" sebalik ciri-ciri dan sifatnya diketahui sendiri orang ramai menerusi kepimpinannya membawa dan mengisi keadilan kepada seluruh dunia.

Ditanya mengapa sejak akhir-akhir ini banyak individu dikultuskan sebagai imam 'Mahadi', Fathul Bari berkata tindakan itu merupakan modus operandi kelompok yang tersasar daripada akidah Islam yang sebenar.

"Pertama sekali mereka ingin diikuti dan dijadikan sebagai ikutan, mereka akan membina kultus mereka sendiri, dia akan tanam bukti-bukti dan ciri-ciri sebagai Imam Mahadi seperti yang berlaku dalam beberapa ajaran sesat.

"Bila mereka mula ke tahap melampau mereka akan mengangkat diri mereka dan mensucikan diri mereka sampai ke tahap apa yang mereka kata mesti benar dan tepat, apa yang mereka kata tak boleh dikritik dan tak boleh disanggah, sehinggakan pengikut mereka kena terima bulat-bulat," katanya.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil.

"Perkara ini berpunca dari kejahilan mereka dan ada yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi.

"Pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya. - Bernama