10 July 2012

KULIAH MAGHRIB BERSAMA USTAZ RIZAL AL-MALAYA


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR, SEBAR-SEBARKAN...

[KULIAH MAGHRIB]

PENCERAMAH: USTAZ MOHD RIZAL AL-MALAYA

Tarikh: 11 Julai 2012, hari Rabu
Tempat: Masjid Al-Nur, Kampung Cantek, Batu 17, Kaki Bukit
Masa: Selepas Solat Maghrib Berjemaah

09 July 2012

Tentatif Lawatan Dr. Fadlan Mohd. Othman Ke Perlis Siri 3 / 2012



Tentatif Lawatan Dr. Fadlan Mohd. Othman Ke Perlis Siri 3 / 2012

(Jumaat 13 Julai – Ahad 15 Julai 2012) 

Dr Fadlan Mohd Othman Ahli Panel Kajian Hadith, Jabatan Mufti Perlis
Pensyarah Kanan, Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam UKM

Jumaat, 13 Julai 2012:
Kuliah Maghrib “WASIAT IMAM SYAFIE KEPADA UMMAH” di Masjid Nurul Mukminin, Alor Ara, Arau

Sabtu, 14 Julai 2012:
> Kuliah Subuh “KEAGUNGAN ISTIGHFAR” di Masjid al-Sakinah, Padang Melangit
> FORUM PERDANA EHWAL ISLAM “AMBIL PEDULI KEHEBATAN RAMADAN” di Dataran Masjid Alwi, Masjid Alwi, Kangar anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan IKRAM Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),selepas solat maghrib

Ahli-ahli Panel:
- Dr. Fadlan Mohd Othman (UKM)
- Ustaz Fathul Bari Mat Jahya (Pendakwah Bebas)
- Ustaz Idris Sulaiman (Kedutaan Arab Saudi)
- Pengerusi: Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor (Majlis Agama Islam Perlis / MAIPs)


Ahad, 15 Julai 2012:
> Kuliah Subuh di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh **)
> Kuliah Khas "MENJADI JIRAN RASULULLAH DI SYURGA” jam 9.45 pagi Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah KM 1.2 Jalan Mata Ayer

(** Tajuk Kuliah Subuh akan dikemaskinikan nanti, Insya-Allah

08 July 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Keliru apa itu maksiat

Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 8 Julai 2012 atau boleh juga dilihat terus di pautan http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_12.htm

Soalan 1
SAYA keliru mengenai maksiat. Setahu saya, maksiat bermaksud duduk berdua-duaan di tempat gelap dan melakukan hubungan seks di suatu tempat. Kawan saya menghadiri kelas motivasi agama. Ustaznya berkata, maksiat boleh berlaku di mana sahaja. Contohnya, mengunjungi festival seperti Jom Heboh kerana ia membuang masa dan melihat hiburan artis.

Benarkah kalau sembahyang jamak seperti zuhur dan asar juga maksiat sebab mahu menghadiri majlis persandingan pengantin. Jadi apakah maksud maksiat dalam Islam serta adakah terdapat beberapa pecahan maksiat?

* NorZahira Zainol

JAWAPAN: Allah mengarahkan kita melakukan kebaikan atau ketaatan dan menghindari keburukan atau maksiat. Menurut kacamata Islam, kebaikan adalah apa sahaja yang diredai Allah manakala keburukan pula apa sahaja yang dimurkai-Nya. Apa yang lebih penting dalam melakukan kebaikan dan menghindari keburukan adalah perasaan kita. Orang yang melakukan kebaikan kerana telah menjadi rutin tidak sama dengan orang yang melakukannya dengan penuh pengagungan terhadap Allah. Begitu juga orang yang menghindari maksiat kerana kebiasaan tidak sama dengan orang yang meninggalkannya kerana takutkan Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan Taqwa. Perhatikan perkara ini di dalam firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 37 yang bermaksud "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Kembali kepada soalan, memang maksiat mempunyai pelbagai kategori dalam Islam. Pertama, maksiat yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam, seperti syirik dan kufur. Antara contohnya, sujud kepada patung, mencaci Allah dan Rasulullah SAW serta menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal. Kedua, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa besar. Contohnya berzina, mengumpat dan mengadu domba. Ketiga, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa kecil. Contohnya meminang wanita yang sudah dipinang oleh orang lain, melihat dan mendengar perkara yang diharamkan.

Memang benar maksiat boleh terjadi di mana sahaja. Bahkan maksiat boleh berlaku daripada orang yang nampaknya seperti berbuat kebaikan. Di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2382), Rasulullah menjelaskan tiga jenis manusia yang dihumban ke neraka sebelum orang lain.

Pertama, orang yang membaca al-Quran untuk digelar qari. Kedua, orang yang sering menderma untuk digelar pemurah dan dermawan. Manakala ketiga, orang yang mati di medan perang semata-mata untuk digelar berani.

Perhatikan bagaimana hadis ini mengajar kita agar sentiasa meneliti dua perkara iaitu kesahihan amalan di samping keikhlasan niat. Kedua-dua perkara ini perlu wujud seiringan dan tidak boleh diasingkan sama sekali.

Setelah memahami kaedah berkaitan ketaatan dan maksiat, dapatlah kita fahami bahawa apa sahaja festival yang membuang masa dan mengandungi hiburan yang tidak menepati norma Islam termasuk dalam maksiat. Lebih khusus lagi, ia tergolong dalam dosa kecil. Ini tidak bermaksud individu muslim itu tidak boleh berhibur. Boleh, asal tidak berbaur maksiat.

Adapun solat jamak kerana mahu menghadiri majlis persandingan pengantin, perkara ini perlu diperincikan. Pertama, persandingan memang tiada dalam Islam. Bahkan ada perbincangan mengatakan bersanding itu asalnya daripada agama Hindu. Ditambah dengan unsur maksiat lain seperti make up' berlebihan di khalayak ramai dan percampuran lelaki dan perempuan. Justeru, dinasihatkan agar perbuatan bersanding ditinggalkan. Yakinlah bahawa jika perkahwinan tiada persandingan, ia tidak cacat sedikitpun insya -Allah. Besar kemungkinan ia lebih diredai Allah.

Sudut kedua pula berkenaan hukum menjamak solat. Berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat al-Imam Muslim (no. 705), Rasulullah telah menjamakkan solat zuhur dan asar, solat maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan ketakutan atau hujan. Apabila Ibnu Abbas ditanya mengapa Rasulullah berbuat demikian, beliau menjawab "Baginda ingin memberi kemudahan kepada umatnya." Berdasarkan hadis ini, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan dibenarkan jamak solat jika ada keperluan. Jika kita lihat kepada kehidupan sekarang, keperluan mencakupi pelbagai perkara. Antaranya mesyuarat, majlis perkahwinan, pembentangan dan seumpamanya.

Riyadus Solihin: Bab Yakin Dan Bertawakal Kepada Allah

AKIDAH: Iman Tanpa Amal Adalah Iman Yang Kosong...

Bulughul Maram: Perkara Yang Dibenarkan Dan Dilarang Semasa Di Masjid...

02 July 2012

(UTUSAN): Bangunkan Perlis

Laporan ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia atau boleh dibaca terus di pautan http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm

KUALA LUMPUR 1 Julai - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru semua anak Perlis, termasuk yang menetap di Lembah Klang membantu pembangunan negeri selaras dengan visi Perlis Maju 2015.

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memotong kek keputeraan baginda bersama Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada Santapan Malam Perlis 2012 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut serta, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (empat, kanan) dan Md. Isa Sabu (dua dari kiri). - utusan/aswad yahya

Titah baginda, sekalipun pelbagai pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi telah dan sedang dirancang oleh kerajaan negeri, namun sumbangan anak Perlis untuk merealisasikan matlamat itu amat dihargai.

Baginda percaya, melalui bantuan anak Perlis daripada pelbagai sudut akan membantu negeri itu secara jangka panjang sambil memberi kesan positif buat Malaysia sendiri.

Baginda bertitah demikian pada majlis Santapan Malam Perlis 2012 anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di Dewan Perdana Felda, di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Majlis itu dihadiri oleh 750 anak-anak Perlis dan ahli PPKL yang bermastautin di Lembah Klang yang diketuai oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Faridah Khalid.

Raja Perlis turut menyatakan kebanggaan baginda setelah PPKL berjaya menarik 300 ahli baru dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

"Beta berharap, anak-anak Perlis yang berkhidmat di luar Perlis dapat mengekalkan budaya kerap pulang ke kampung menjengah ibu bapa, keluarga dan sahabat-handai.

"Pada masa sama dapat juga melihat perubahan yang berlaku di Perlis dan sama-samalah pula membantu menjayakan misi Perlis menjadi negeri maju seperti mana yang dihasratkan oleh kerajaan melalui sumbangan idea dan pelaburan," titah baginda dengan penuh harapan.