09 May 2012

Fatwa: Haram sertai perhimpunan langgar undang-undang (SINAR)

Sinar melaporkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, diharap para pembaca akan mengkaji dan mendalami ilmu agama dengan ilmiah untuk menilai fatwa ini. Laporan tersebut adalah seperti di bawah atau terus ke pautan di http://www.sinarharian.com.my/nasional/fatwa-haram-sertai-perhimpunan-langgar-undang-undang-1.45826


SEPANG - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara. 


Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
Abdul Shukor Husin
 Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas. 


 "Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama. 


 "Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di sini. 


 Sehubungan itu, katanya umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda. 


 Abdul Shukor berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa menggadaikan keamanan negara. Beliau berkata turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam. 
 Selain mengelak daripada terjebak dalam seks songsang seumpama itu, Abdul Shukor berkata umat Islam juga diminta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT. 


 "Untuk orang yang menunjukkan sokongan dan simpati kepada LGBT pun haram juga. Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosa jawabnya," katanya. 


 Beliau berkata tindakan menyanjung pemimpin yang menyokong LGBT juga perlu dielakkan kerana Islam sendiri menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang boleh dipilih antaranya bermoral tinggi, patuh ajaran agama, berpengetahuan dan amanah. 


 Abdul Shukor berkata muzakarah turut menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menyekat gejala seks songsang daripada terus berleluasa. 


 Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin, individu atau media dinasihat menghentikan sikap suka mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak. 


 "Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas," katanya. – Bernama

Dr Juanda: Melayu pecah kerana 'gila kuasa'

Dipetik dari pautan http://www.sinarharian.com.my/politik/dr-juanda-melayu-pecah-kerana-gila-kuasa-1.45489?, isu amat penting untuk dihadam oleh masyarakat. Laporan tersebut boleh dibaca terus seperti di bawah atau klik pautan di atas. 


 KOTA BHARU - Masyarakat Melayu perlu bersatu dalam apa jua keadaan yang mencabar, sebagaimana disaksikan sekarang tetapi sama sekali tidak boleh terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menjadikannya sebagai agenda politik. 
Dr Juanda Jaya
Dr Juanda
 Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, bersatu mesti diusahakan tetapi bebas daripada pengaruh politik kerana parti-parti politik mungkin menggunakan usaha itu untuk kepentingan masing-masing. 


 Katanya, perpecahan berlaku di mana-mana sahaja kerana ada kezaliman dari satu pihak yang mempunyai kuasa. "Satu negeri tak diberi royalti, mesti ada pihak yang marah dan ini realitinya, zalim kepada saudara sendiri, puncanya ialah gila kuasa. 


 "Jangan terpengaruh dengan politik kerana kita semua tahu hala tuju apatah lagi kita ini orang Islam yang mempunyai ajaran yang jelas," kata beliau yang menjadi ahli panel Wacana D'Raja di Kelantan Trade Centre di sini malam tadi. 


 Wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu diadakan sempena Karnival Walk With Me yang berakhir hari ini. Wacana dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia, Datuk A.Aziz Deraman. Dua ahli panel yang lain ialah Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Johari Mat dan Pengasas dan Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu. 


 Wacana kali ini membicarakan tajuk "Bersatu Demi Islam". Dr Johari pula menegaskan bahawa umat Islam sememangnya boleh bersatu sekiranya meletakkan Islam sebagai asas dan perpecahan berlaku apabila masyarakat Islam meninggalkan ajaran Islam itu sendiri. 


 "Semua manusia mempunyai destinasi sama iaitu alam akhirat, jadi ia tidak ada sebab untuk umat Islam berpecah, sejarah membuktikan manusia menjadi lemah kerana tidak berpegang kepada agama," katanya. 


 Katanya, generasi yang benar-benar memahami Islam sukar dibentuk kerana sistem pendidikan lebih memberi keutamaan kepada fardhu kifayah berbanding fardhu ain sehingga pelajaran agama bukan menjadi syarat lulus dalam peperiksaan. "Apabila Islam tidak diikuti dengan betul, maka berleluasalah gejala social, ditambah pula penguatkuasaan yang lemah," katanya. Sementara itu, Mohamad berkata, Melayu diajak bersatu apabila ada desakan dan cabaran dari luar. 


 "Orang Melayu diajak bersatu bila negara dijajah dan kempen perpaduan juga muncul ketika perayaan tertentu seperti Maal Hijrah dan Maulidur Rasul sedangkan semangat perpaduan sepatutnya sedia tertanam dalam jiwa. 


 "Kita lebih memberi tumpuan kepada perpaduan nasional berbanding perpaduan Islam sehingga membantutkan usaha ini sehingga kini. Susah sampai masanya idea perpaduan lahir dari sanubari umat Islam itu sendiri," katanya.

03 May 2012

(BERNAMA) Qatar Sedia Bekerjasama Dengan Perlis



(UTUSAN) ‘Umat Islam mesti segera bersatu’

Bazli Abd. Rahman 

 TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan
 cenderamata kepada Prof. Dr. Sheikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi
di kediaman tokoh ilmuan Islam itu di Doha, Qatar, malam semalam.
Turut hadir Dr. Juanda Jaya (kanan) dan Ahmad Jazri Mohd. Johar. 


DOHA 3 Mei - Tokoh cendekiawan Islam, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi mahu umat Islam berkongsi idea dan kemahiran dalam usaha mengembalikan semula ketamadunan Islam. Kata beliau, keagungan Islam tidak akan dapat dicapai selagi tiada persefahaman sesama umat Islam seluruh dunia yang antara lain berpunca daripada perbezaan pandangan. 


 Bercakap kepada delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis di kediamannya di sini malam tadi, tokoh berusia 86 tahun itu turut menasihatkan umat Islam supaya tidak taksub dengan mazhab masing-masing. “Bagi yang tidak bermazhab pula, mereka mesti menghormati golongan bermazhab dan tidak memusuhi mereka," katanya melalui seorang penterjemah daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis. 


 Delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis itu yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada selama dua hari di Doha bagi lawatan kerja ke Qatar. Pertemuan dengan Qaradawi itu adalah antara beberapa program sepanjang delegasi tersebut berada di Doha termasuk melawat Mahkamah Syariah di ibu negara Qatar itu.


 Qaradawi yang pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah Malaysia pada 2009, turut memuji pembangunan Islam di Malaysia termasuk kecemerlangan urusan haji yang dilaksanakan oleh Tabung Haji. Sementara itu, Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pertemuan dengan ulama itu bertujuan bertukar tukar fikiran mengenai Islam. 


 Baginda berharap Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu terus berjuang dalam usaha beliau menggerakkan dakwah moderat dan tajdid dakwah untuk kepentingan umat Islam sejagat. Tuanku Syed Faizuddin turut berharap ulama terkenal itu mewujudkan kerjasama dengan para ulama Perlis terutama dalam majlis perkongsian ilmu dan kegiatan dakwah.


 Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd. Johar dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - UTUSAN

(UTUSAN) Satukan pemikiran umat Islam - Yusuf Qaradawi

Utusan dan Bernama melaporkan peristiwa penting semasa lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai ke Qatar dan Doha, laporan tersebut boleh dibaca seperti di bawah atau terus ke pautan http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_22.htm&fb_source=message#.T6Lol31j14Q.facebook

DOHA 3 Mei - Tokoh cendekiawan Islam, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi mahu umat Islam menyatukan pemikiran dan tenaga bagi membangunkan semula ketamadunan Islam. 

 Beliau berkata, keagungan Islam tidak akan dapat dikembalikan selagi tiada persefahaman sesama umat Islam di seluruh dunia yang antara lain berpunca daripada perbezaan pandangan. 

 Bercakap kepada delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis di kediamannya di sini malam tadi, tokoh berusia 86 tahun itu menasihati umat Islam supaya tidak taksub dengan mazhab masing-masing. 

 Bagi yang tidak bermazhab, mereka juga perlu menghormati golongan bermazhab dan tidak bermusuh dengan mereka, katanya melalui seorang penterjemah daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis. 

 Delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis itu yang diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada selama dua hari di Doha bagi lawatan kerja ke Qatar. 

Pertemuan dengan Qaradawi itu adalah antara beberapa program sepanjang delegasi itu berada di Doha termasuk melawat mahkamah syariah di ibu negara Qatar itu. 

 Qaradawi yang pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah Malaysia pada 2009 turut memuji pembangunan Islam di Malaysia termasuk kecemerlangan urusan Haji yang dilaksanakan Tabung Haji. 

Sementara itu, Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah pertemuan dengan ulama itu bertujuan bertukar fikiran mengenai Islam. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd Johar dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - BERNAMA

(SINAR) Umat Islam perlu sederhana untuk bangun imej Islam

26 April 2012 
LONDON - Umat Islam perlu bersederhana dalam setiap tindakan dan pengurusan politik kerana sikap melampau mereka akan mencerminkan imej Islam serta negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. 


 Baginda bertitah perbezaan pendapat rakyat Malaysia yang beragama Islam terutama yang berada di luar negara perlu ditangani dengan bijak dan sederhana demi menjaga nama baik negara. 


 "Sikap sederhana dan tidak bertindak melampaui batas ketika menyokong ataupun menentang sesuatu pendapat adalah sejajar dengan kerangka Islam yang sederhana sama ada dalam amalan atau mengeluarkan pendapat," titah baginda. 


 Baginda bertitah demikian pada majlis perjumpaan dengan kakitangan kerajaan Malaysia yang berkhidmat di London di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini. 


 Tuanku Syed Faizuddin bertitah imej Islam di dunia kini telah dicemari dengan unsur melampau sehingga menyusahkan pihak lain. 


 "Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua tindakan termasuk dalam penampilan diri. 


Islam melarang berpakaian selekeh yang menimbulkan salah faham orang lain, demikian juga berlebihan yang menimbulkan syak wasangka," titah baginda. 


 Baginda yang mengetuai delegasi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke London, bertitah sikap sederhana akan membawa perasaan hormat banyak pihak kepada negara Islam. 


"Jika kita memberikan imej yang selekeh kepada negara, itu tidak sederhana. Begitu juga jika kita memberikan imej yang melebihi realiti sehingga pihak lain tersalah sangka, itu juga tidak sederhana," titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam danAdat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). 


 Baginda berada di London sejak 24 April bagi mengetuai delegasi itu yang antara lain turut mengadakan pertemuan dengan imam dan pelajar Malaysia di beberapa institusi pengajian tinggi di sini. 


 Sementara itu satu forum bertajuk "Wasatiyah Dalam Islam" diadakan sempena majlis perjumpaan itu. Forum itu dijayakan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis Dr Abdullah Yasin. 


 Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Seri Zakaria Sulung.- Bernama

02 May 2012

Perspektif Pegawai JAKIM: KISAH GELAP GHULAM AHMAD QADIANI

Artikel berikut ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Aizam Mas’ud, Pegawai Penyelidik Cawangan Aqidah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM): 

 KISAH GELAP GHULAM AHMAD QADIANI 
Saat itu, pada tahun 1888, Mirza Ghulam Ahmad, pengasas Qadianiyah/Ahmadiyah, berkeinginan menikah lagi. Calon yang dipilih, gadis bernama Muhammadi Begum, anak dari Al-Mirza Ahmad Bek, yang merupakan putera dari emak saudaranya. Namun tidak seperti selayaknya lelaki yang hendak meminang, Mirza mendatangi keluarga si gadis dengan memberi ancaman sekaligus janji. Jika pihak keluarga si gadis menerima pinangannya, maka hal itu akan memberikan keberkatan yang besar, namun jika ditolak maka sesuatu yang buruk akan terjadi kepada si gadis. Jika dinikahkan dengan pemuda lain, maka suaminya itu akan mati setelah dua setengah tahun. 

 Mirza juga mengatakan, ”Allah telah memberi khabar kepadaku, ‘gadis Al-Mirza Ahmad Bek yang paling sulung (Muhammadi Begum) akan menjadi isterimu dan keluarganya akan memusuhimu. Dan mereka melarangmu dan berusaha keras untuk menggagalkan hal itu (pernikahan). Akan tetapi Allah akan melaksanakan janjinya dan memberikan kepadamu sama ada dalam keadaan gadis mahupun janda dan hilanglah penghalang dan hal ini terlaksana. Tidak ada yang mampu menolak terhadap apa-apa yang ditetapkan Allah.” 

 Walau Mirza berkali-kali menyatakan bahawa semua itu bersumber dari wahyu, pihak perempuan tetap dengan pendiriannya, tidak mahu menikahkan si gadis dengan Mirza. Malahan gadis itu dinikahkan dengan seorang pemuda lain bernama Al-Mirza Sulthan Muhammad pada tanggal 7 April 1892. 

 Isteri anaknya Mirza, Fadhlu Ahmad, juga tidak setuju akan hal itu, hingga Mirza memerintahkan anaknya agar menceraikan isterinya. Para pengikut Ahmadiyah akhirnya berdoa di masjid-masjid agar ancaman yang disebarkan Mirza sebagai wahyu dan janji Allah itu benar-benar terjadi. Namun, apa yang terjadi? 

 Ternyata setelah keduanya menikah, tidak terjadi apa-apa terhadap wanita tersebut. Dan setelah waktu berlalu dua setengah tahun, suami gadis itu, Al-Mirza Sulthan Muhammad, juga baik-baik sahaja. Bahkan, Mirza meninggal terlebih dahulu pada tahun 1908, sedangkan Sulthan Muhammad masih hidup bersama isterinya hingga perang dunia pertama. 

 Sebelumnya, Mirza pertama kali menikah tahun 1852 atau 1853. Dari pernikahan ini, dia memperoleh dua anak. Kemudian pada tahun 1884 ia menikah lagi di Delhi. Namun, pada tahun 1891 terjadi perceraian, antara Mirza dengan isteri pertamanya. Isteri kedua ini dipanggil oleh para pengikut Ahmadiyah dengan penggilan “ummul mukminin”. (Sirah Al-Mahdi, 1/53) 

 Tak Salatkan Anak kerana Menolak Bergabung 
 Putera sulung Mirza dari isteri pertama yang bernama Fadhlu Ahmad enggan mengikuti seruan ayahnya itu. Hingga ketika meninggal dia pun tidak disalati oleh Mirza, walaupun dalam urusan duniawi dia taat kepadanya. (lihat, Anwar Khilafat, hal. 91) 

 Gaya Hidup Mewah Keluarga Mirza 
 Mengenai gaya hidup keluarga Mirza, Khawajah Kamaluddin pernah mengeluh sama ada kepada Muhammad Ali, pemimpin Ahmadiyah Lahore mahupun Syaikh Surur Syah yang juga pengikut Ahmadiyah. Anak-anak perempuan dan isteri Syaikh Surur Syah mulai menentang pengiriman wang ke Qadian, setelah mereka pergi ke tempat itu dan tinggal sesaat. Anak-anak dan isterinya mengatakan, ”Kami telah menyaksikan kehidupan nabi, para sahabatnya dan isteri-isterinya di Qadian. Sesungguhnya mereka hidup dalam kenikmatan.” Mereka merasa ditipu, dan setelah itu mereka tidak mahu menyumbangkan wang ke tempat itu lagi. (lihat, Kasyfu Al-Ikhtilaf, hal. 13) 

 Khawajah Kamaluddin juga pernah mengatakan kepada Muhammad Ali, ”Sesungguhnya Hadzrat Mirza telah memerintahkan kita berinfaq untuk dakwah, sedangkan dia sendiri hidup dalam kebanggaan dan kenikmatan.” 

 Muhammad Ali menjawab, ”Sesungguhnya saya tidak boleh memungkiri hal ini, namun kita tidak diharuskan untuk mengikuti nabi dalam sifat manusiawinya.” (Haqiqah Al- Ikhtilaf, hal. 50) Sebenarnya, pada awalnya, Mirza hanya seorang pegawai rendah, namun lama-kelamaan taraf hidupnya mulai meningkat. Hingga ia terbiasa dengan makanan yang bergizi dan minyak misk. Terkadang juga dia mengambil minuman penguat yang memabukan alias tonic wine. (Majmu’ Ar Rasail, hal. 5) 

 Di masa remajanya, Mirza pernah memiliki masalah dengan psikologinya, kerana menderita hysteria. Ketika penyakit ini berlaku dia mungkin pengsan dan menjerit-jerit. (Sirah Al-Mahdi, 1/67) 

 Keluarganya termasuk pihak yang amat setia terhadap pemerintahan Inggeris. Bahkan ayahnyalah yang membantu Inggeris dengan 50 ekor kuda untuk kepentingan revolusi tahun 1807. (Kitab Al-Bariyah, hal. 3-5) 

 Meninggal Pasca Mubahalah 
 Pada tahun 1907, setelah memiliki ramai pengikut, Mirza mengadakan mubahalah dengan Maulana Tsanaullah Amritsari, dengan risiko barang siapa berbohong salah seorang di antara keduanya, maka ia akan mati. (Tabligh Ar Risalan, 10/120) 

 Pada Mei tahun 1908 Mirza dijangkiti penyakit kolera parah dan akhirnya meninggal. Ia dimakamkan di pemakaman yang dinamakan sebagai pemakaman syurga (Bahesti) di Qadian. Sedangkan Maulana Tsanaullah Amritsari sendiri baru wafat pada tahun 1948. 




(Sumber: Laman blog ABU HASEEF di alamat: 
http://mufakkir-islami.blogspot.com/2012/03/kisah-gelap-ghulam-ahmad-qadiani.html)