27 October 2009

MEMORANDUM 11 PERKARA


MEMORANDUM 11 PERKARA PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS

TERHADAP LAPORAN POLIS OLEH DEWAN PEMUDA PAS PERLIS

KE ATAS USTAZ MOHD ASRIE SOBRIE PADA 22 OGOS 2009

Pada hari isnin 17 Ogos 2009 lalu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis telah mengundang seorang pendakwah Ahlis Sunnah iaitu Ustaz Mohd Asrie Sobrie untuk berceramah di Masjid Alwi Kangar. Selanjutnya pada 22 Ogos 2009 pula, Dewan Pemuda Parti PAS Perlis telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar atas dakwaan ‘kekeliruan’ dan ‘penghinaan’ pendakwah tersebut.

Apabila terjadinya insiden laporan polis ini, Persatuan Al-Islah Perlis merasa terpanggil untuk menjelaskan pendirian persatuan berhubung dengan insiden ini. Daripada penelitian awal Persatuan Al-Islah Perlis, adalah amat dikesalkan tindakan yang terburu-buru ini sesungguhnya telah secara halus membelakangkan hakikat sejarah, adat-istiadat dan perjuangan Umat Melayu Islam Negeri Perlis di mana teras-terasnya telah dikanunkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis sebagai perlembagaan negeri. Sebahagian teras yang tidak dapat diganggu gugat lagi itu ialah:

- Ketuanan Dinasti Jamalullail sebagai Raja Melayu Islam yang

berkuasa mutlak dalam hal ehwal Agama Islam, serta

- Ahlis Sunnah Wal Jama’ah sebagai tunjang aspek teori dan

praktikal dalam akidah, syariah, akhlak dan segala urusan

berkenaan Agama Islam dalam negeri ini.

Oleh yang demikian Persatuan Al-Islah Perlis mempersembahkan Memorandum 11 Perkara ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagaimana yang berikut:

1 Menyeru semua pihak untuk bertenang, bersabar dan menghormati apa sahaja keputusan DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang bakal dititahkan, serta nasihat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis selaku pakar rujuk yang diamanahkan oleh baginda berdua, mengenai insiden ini dan sebarang persoalan yang berbangkit tentangnya.

2 Menegaskan kedudukan istimewa Ahlis Sunnah wal Jama’ah Al-Salafiyyah selaku elemen penting Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Jika dasar ini diganggu gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap kemerdekaan Perlis sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, terhadap urustadbir hal ehwal Islam di Perlis khususnya dan kepada kesejahteraan umat Islam Perlis umumnya. Oleh itu, formula sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini sepatutnya dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam, Ahlis Sunnah mahupun bukan Ahlis Sunnah.

3 Memohon kuasa-kuasa budi bicara DYMM Tuanku Raja Perlis khasnya dalam urusan hal ehwal Islam dapat dipertahan dan diperkukuhkan dengan segala pendekatan yang mungkin.

4 Memohon supaya semua peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, enakmen-enakmen Negeri Perlis berhubung dengan urusan keislaman dan segala prosedur yang digunapakai dapat diperteguhkan, khususnya bagi menutup segala ruang menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah.

5 Mengingatkan mana-mana supaya pihak tidak menyalahgunakan prosedur laporan polis dan proses mahkamah untuk mempersenda, menandingi dan memperlekehkan kuasa mutlak DYMM Tuanku Raja Perlis dan institusi diraja dalam hal ehwal Agama Islam di Perlis. Sesungguhnya Persatuan Al-Islah Perlis amat khuatir insiden ini akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengambil kesempatan serta memperalatkan perbezaan dan konflik yang kononnya timbul antara kuasa DYMM Tuanku Raja dengan kuasa polis

6 Menginsafi bahawa yang tersirat dalam laporan polis adalah langkah awal membawa insiden ini ke mahkamah dalam suatu ‘pelan induk’ percubaan menghakis dan merombak kedudukan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis dan sistem perundangan Islam di Perlis. Di samping itu, ada pula usaha-usaha pihak tertentu untuk menyamatarafkan status Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah dengan aliran-aliran lain di Malaysia dengan cara memberi penafsiran Ahlis Sunnah melalui pandangan mereka sendiri. Persatuan Al-Islah Perlis merenung dalam-dalam bahawa semua rentetan peristiwa ini sebagai pakej usaha-usaha agresif yang bersifat ofensif terhadap survival manhaj ini

7 Menyeru agar sebarang ketidakpuasan hati berkenaan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah hendaklah dibawa ke meja perundingan ilmiah berasaskan Al-Qur’an dan Al-Sunnah dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrantasi menerusi laporan polis dan ’perang’ di kamar mahkamah hanya akan memancing ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat, serta menjejaskan keharmonian Negeri Perlis yang tercinta ini

8 Menggesa supaya jangan ada tekanan atau gangguan daripada mana-mana pihak berhubung Manhaj Ahlis Sunnah wal Jama’ah Al-Salafiyyah dan penyebarannya oleh para pendakwah di dalam Negeri Perlis. Justeru itu Persatuan Al-Islah Perlis mengutuk tindakan melakukan shut out dan shut up terhadap para pendakwah Ahli Sunnah baik menerusi laporan polis, kenyataan akhbar, demonstrasi, ugutan, cacian, fitnah, surat layang dan segala cara yang tidak beretika untuk menakut-nakutkan mereka dalam menyampaikan ilmu yang sahih berasaskan Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

9 Menggesa setiap pendakwah Ahlis Sunnah baik di dalam Perlis mahupun dari luarnya, untuk berpandangan jauh dan berjiwa besar dengan memperkemaskan bukan sahaja aspek intipati (substance) penyampaian dakwah masing-masing dengan penghujahan Al-Qur’an dan Al-Sunnah secara ilmiah. Bahkan para pendakwah Ahlis Sunnah hendaklah berikhtiar sedaya upaya untuk memastikan aspek pendekatan (form) penyampaian dakwah mereka diminimumkan daripada sebarang bentuk ambiguiti atau kekaburan yang dapat dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga terjadinya fitnah kepada dakwah tauhid yang diberkati Allah ini.

10 Menyesali segala usaha dan tindakan yang boleh mencemarkan keharmonian dan perpaduan Umat Islam Perlis. Oleh itu Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah hendaklah menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan manhaj ini yang sedang diancam

11 Mengucapkan syabas kepada Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang telah menunjukkan tahap profesionalisme yang boleh dibanggakan dalam menangani isu ini.